Followers

Friday, May 15, 2009

Tribute untuk mak

Saya ada mak. Begitu juga anda. Ada mak dan ayah. Semua orang ada mak. Tapi tak semua orang ada ayah iaitu nabi Isa.

Ada juga yang tiada mak dan tiada ayah iaitu Nabi Adam dan Hawa. Semua itu kuasa Allah. Dia lebih tahu.

Saya ada mak. dalam hidup saya, mak saya adalah orang no 3 yang paling saya disayangi selepas Allah dan Rasul. Mak mendidik saya dan adik-adik sejak dari kecil. Mak bukan sekadar 'membela' kami. Tapi dia 'mendidik'. Kalau bela, cukup sekadar layanan pada ayam dan itik. Asal dapat makan minum dah cukup.

Mak mendidik saya dan adik-adik dengan tarbiah Islam. Walaupun mak tak berpeluang mendapat tarbiah islam semasa kecil. Maklumlah zaman dulu. Masa zaman sekolahnya, mak hanya berpeluang belajar ke sekolah convent school. Tak seperti saya, dia hantar saya belajar ke sekolah agama arab terkenal di kelantan. Semua ni adalah jasa mak ayah dan dengan inayahNya.

Mak bukanlah membesar dari keluarga yang islamik. Atuk orang kampung biasa. Tapi atas rahman dan rahimnya Allah SWT pada mak saya, semasa mak dapat melanjutkan pelajaran ke USM, Allah telah rezkikan dia mendapat hidayah dan taufiqNya di sana. Dia diajak oleh kakak-kakak seniornya untuk sertai usrah. Dari situ, dia mendapat bimbing demi bimbingan dari naqibah usrahnya. Bermula dari situ, mak yang tidak bertudung akhirnya bertudung labuh. hidupnya berubah. Jadi beruntunglah anda jika anda sama seperti mak saya.


Saya kagum dengan mak. Mak saya adalah segala-galanya pada saya, adik-adik saya. Mak teman seperjuangan ayah. Mak adalah nadi dalam keluarga kami. Mak sumber inspirasi keluarga kami.

Terkenang masa kecil-kecil dahulu. Mak sentiasa mentarbiah saya dan adik-adik dengan aqidah Islam. Mak ajar kami mengenal Allah dan takutkan pada Allah. Saya masih ingat, ketika umur saya di usia prasekolah mak dah kenalkan saya perkataan 'ittaqullah'(bertaqwa/takutlah kepada Allah). Bila mak sebut perkataan tu, saya jadi takut. Walaupun saya tak tahu apa maksudnya. Tapi itulah pengenalan tarbiah yang mak cuba beri pada saya supaya menjadi anak yang bertaqwa.

Masa kecil, mak sering berpesan supaya jangan takut hantu. tapi takutlah pada Allah. Manakala, kawan-kawan saya pula ajar supaya takutkan hantu. Mereka takutkan saya dengan cerita-cerita hantu. Walaupun sekarang bila difikirkan balik cerita mereka,memang tidak logik dan agak lawak, tetapi pada usia prasekolah itu, saya menjadi sangat takut. Tambah-tambah masa nak tidur. Jadi saya baca ayat kursi. Malangnya saya hanya hafal hingga "Allahu la ilaha illa hual hayyul qayyum..". Itulah yang saya ulang-ulang bila takut. Saya pun tak tahu macam mana pada usia begitu saya sudah kenal ayat kursi. Mungkin itulah tarbiah mak.

Mak memang seorang yang menjaga pemakanan. dia akan pastikan hanya makanan yang benar-benar yakin halalnya baru dimakan. Seperti mana dia menjaga makan minumnya, begitu jugalah dia jaga makan minum saya, adik-adik dan ayah.

Saya masih ingat, mak marah betul kalau saya dan adik-adik makan keropok atau gula-gula. Mak memang tak bagi. Mak nak setiap makanan yang kami makan adalah makanan yang halal dan baik. Mak tak nak kami jadi degil sebab makan makanan yang syubahah.

Pernah juga dulu masa kami kecil, ayah balik rumah. Dia beli KFC, satu plastik besar. Memang banyak. Untuk kami sekeluarga. Tapi bila mak tengok, mak bincang dengan ayah. Akhirnya, semua KFC tu dibuang. Takda seorang pun yang makan. Mak nak jaga makan minum kami. Mak tak sanggup tengok saya dan adik-adik membesar dengan makan makanan dari KFC. Lihatlah betapa hebatnya mak saya dan lihatlah betapa memahaminya ayah. Qudwah yang mak dan ayah tunjukkan dalam memilih makanan terkesan pada saya dan adik-adik. Hingga kini, saya memang sangat teliti apabila menyuapkan setiap makanan dalam mulut saya.

Mak tidak lupa mendidik kami dengan akhirat. Dari kecil lagi mak selalu sebut pada kami:

" Nanti bila mak dan ayah dah dalam kubur, ehsan dan adik-adik jangan lupa bacakan quran dan doa untuk mak. Nanti kubur mak dengan ayah lapang la.."

Memang sedih bila mak sebut macam tu. Tambah-tambah masa kami masih di usia kanak-kanak. Tapi itulah cara mak mentarbiah kami. Mak selalu ingatkan tentang mati, dosa, pahala, syurga dan neraka...

Sejak kecil mak saya mentarbiah saya dan adik-adik berjiwa khalifah. Mak bina kepimpinan dalam diri kami terutama saya, abang yang sulung pada adik-adik yang lain. Saya masih ingat pada usia sekolah rendah, waktu petang adalah masa yang paling saya nanti. Saya akan keluar bermain di padang atau berbasikal bersama kawan-kawan.

Tapi satu benda yang membuatkan aktiviti petang saya terganggu. Mak suruh saya bawa adik yang kecil ikut bersama. Jadi terpaksalah sambil-sambil keluar bermain di padang dan dalam masa yang sama kena bawa adik. Saya memang tak suka. Tak bebas. Macam mana nak pergi tangkap ikan di parit kalau adik ada. Nanti bahaya. Hem, aktiviti saya terganggu.

Tapi bila dah dewasa, saya fikir-fikir balik rupanya mak saya sedang mentarbiah saya supaya menjadi abang yang bertanggungjawab terhadap adik-adik. dari situ, saya sedar bahawa saya adalah ketua. Ketua kepada adik-adik. Hasil dari tarbiah mak, jiwa kepimpimpinan wujud dalam diri saya. Ia membantu saya menjalankan amanah sebagai pemimpin di sekolah dahulu dan di kampus sekarang.

Ketika di sekolah menengah, mak hantar saya belajar di Maahad Muhammadi Lilbanin(lelaki), Kelantan. Sedangkan rumah saya di Perak. Memang jauh. 8 jam perjalanan naik bas. Tapi mak dan ayah nak saya dapat pendidikan yang terbaik. Mendalami ilmu agama dalam suasana yang baik, bumi kelantan serambi mekah. Tidak kisah berjauhan. Jadi selama 6 tahun(termasuk lepas spm, saya tak balik perak sbb sambung belajar STAM sementara panggilan Matrik), saya naik bas sendiri bila nak pulang ke rumah kerana cuti sekolah.

Bermula dari tingkatan 1 hingga 6. Dari Kelantan ke Perak. Semuanya naik bas. Seingat saya, sepanjang enam tahun hanya 3 kali keluarga saya datang ke sekolah saya. Kali pertama, adalah masa saya dan ayah naik bas ke dari Butterwoth ke Kelantan untuk duduki ujian kemasukkan ke Maahad, kedua masa saya nak daftar masuk ke asrama dan ketiga masa ayah saya datang melawat saya ketika dia kebetulan berkhursus di terengganu. Tapi kali ketiga tu, ayah saya datang tapi saya tiada di sekolah kerana ada program kemasyarakatan di Tanah merah.

Walaupun hanya 3 kali, tapi saya tak kisah. Saya tak menangis. Kerana mak selalu cakap, mak memang nak datang tapi susah sebab ada adik kecil. Saya faham. Dari situ, mak membina jiwa saya supaya sentiasa teguh. Seteguh jiwa mak.

Sekarang saya sudah dewasa. Usia mak sudah meningkat. Namun kasih mak tidak pernah luntur pada saya, adik-adik dan ayah. Malah makin berputik mekar. Pada usia ini, saya dan mak seperti kawan. Kami sering berkongsi cerita. Saya suka mendengar luahan perasan mak. Terutamanya berkenaan cabaran yang dia hadapi sepanjang diamanahkan sebagai PK HEM. Saya tahu, bila mak dapat bercerita pada saya, hati mak akan gembira dan lega. Walaupun kadang-kadang mak cerita benda yang sama, tapi saya akan tekun mendengar seolah-olah baru pertama kali mendengarnya. Saya nak mak gembira. Anda juga patut cuba buat seperti saya.


Mak memang seorang yang lucu. Setiap kali berbual dengan saya dan adik-adik berbual dengan mak, mesti kami akan terhibur. Mak memang best. Sebab tu saya sentiasa menanti panggilan telefon dari mak bila saya berada di kampus. Dari situ saya akan berkongsi pelbagai perkara dengan mak. Mak adalah mak saya, kawan saya dan kekasih saya.

Saya selalu beritahu pada kawan saya yang bercouple, saya tidak berminat untuk bercouple seperti mereka. Saya tidak perlu wanita yang tiada ikatan syarak dengan saya untuk mengadu rasa dan menagih kasih sayang. Saya tidak perlu, kerana saya ada mak. Cukuplah saya mengadu rasa dan menagih kasih sayang dari mak. Mak saya lebih memahami saya. Kasih mak pada saya bukan PALSU seperti palsunya kasih sayang yang pasangan anda berikan.

Bukankah menagih kasih-sayang ibubapa itu ada pahala di sisi Allah? Sedangkan mengadu rasa dan menagih kasih sayang pada orang yang tiada ikatan syarak dengan diri anda akan mengundang dosa dan murka Allah. Anda harus fikirkan.


Qudwah yang mak tunjukkan pada saya dan adik-adik tidak pernah kering. Mak mendidik kami supaya menghormati dan menyayangi ayah. Mak sentiasa menjadi contoh kepada kami supaya sentiasa menyayangi ayah. Setiap hari, sebelum bertolak keluar dari rumah untuk ke sekolah, mak mesti akan salam dan cium pipi ayah.Maknak dapatkan redha ayah. Saya dan adik-adik juga mencontohi mak. Saya tidak segan untuk mencerita perkara ini kepada anda. Bahkan saya berbangga menceritakannya kerana tidak semua mak mampu buat seperti mak saya. Mereka harus contohi mak saya. Terutama muslimat bila dah berumah tangga. Satu hari nanti, bila anda mencontohi akhlak mak saya ini, maka mak saya pun akan dapat pahala. Walaupun pada masa itu mak saya mungkin telah tiada.

Mak memang seorang isteri yang solehah yang sentiasa memelihara akhlak. Sentiasa berjubah dan bertudung labuh bila diluar rumah. Kalau tak silap saya, mak memang tidak punya baju kurung kerana semuanya jubah.

Akhirnya, saya rasa ayah saya adalah orang yang paling beruntung kerana dapat berkahwin dengan mak saya.


"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia (yang bersopan santun)". Al-Israk: 23



Gambar mak dan ayah-2008

Gambar mak dan ayah semasa hari perkahwinan-Dec 86

p/s: kepada mak dan ayah, selamat hari guru.

2 comments:

*f@ryh@* said...

terharunya baca kisah anta ni..bertuah betul dapat mak sperti itu..

AiSyAh HuMaIrAh said...

Terharunya baca kisah ni..