Followers

Wednesday, January 25, 2012

Kali ini Sarawak pula




Dengan nama Allah Tuhanku dan Tuhan kamu.


Ketika saya menulis post ini, saya sudah berada Sarawak. Sedang menyesuaikan diri dengan suasana baru, budaya baru, manusia baru dan medan amal Islami yang baru. Saya diberi amanah untuk mengajar di Sekolah Kebangsaan Abang Abdul Rahman Saratok, Sarawak.

901

Saya masih ingat hari yang bersejarah itu 9 Januari . Pada hari tersebut, seluruh pelajar IPG yang sama batch dengan saya sedang menunggu keputusan tempat posting yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran. Ada yang menghadap laptop sudah berhari-hari sebelumnya untuk menunggu bila senarai tempat posting dikeluarkan. Kemudian apabila twitter timbalan Menteri Pelajaran, Wee Ka Siong memberitahu bahawa keputusan akan dipaparkan lewat petang di laman web, semua dari kami bertambah berdebar. Ada yang online dari pagi semata-mata untuk menunggu keputusan tersebut.

Bagi saya, biarlah ke mana pun dipostingkan, saya tidak terlalu kisah.Kalau boleh makin lambat posting itu lebih bagus. Ibu bapa saya berharap saya dapat di Perak supaya senang pulang ke kampung ketika cuti. Maka ketika mengisi borang posting saya tulis, Perak.

Namun, jauh di hati saya, saya berharap supaya dipostingkan di luar Perak. Mungkin Selangor. Ini kerana di sana peluang untuk saya menambah ilmu banyak tak terkira. Bermula dengan kuliah, seminar, usrah hinggalah sambung master di IPTA lembah Klang.

Bila saya ada rakan yang memberitahu bahawa keputusan posting sudah keluar di laman web, baru ketika itu saya membukanya. Bila saya buka, dan masukkan IC maka keluar,

"Sarawak"

Saya tersenyum lebar hingga ke telinga. Ayah terdiam. Emak seperti nak senyum entah tidak.Suasana sunyi seketika.

~Hati saya berbunga-bunga.

" Kali ni Allah tarbiah aku kat Sarawak pula"

*****
Saya update tempat posting saya di facebook supaya boleh menjawab soalan rakan-rakan yang bertanya melalui SMS. Alhamdulillah banyak comment yang saya terima.Saya ucapkan terima kasih pada semua yang menyokong dan mendoakan.

Terima kasih yang tidak terhingga juga pada yang sebelum ini selalu sebut " yang muda-muda ni diorang hantar Sarawak", kata-kata anda semua akhirnya menjadi doa yang mustajab ^ ^


******
Saya cuma ada 6 hari sahaja untuk membuat persiapan dokumen dan barang-barang sebelum mendaftarkan diri di Sarawak. Maka saya mengambil peluang untuk bertemu dengan semua sahabat-sahabat, adik-adik usrah dan para murabi saya.

11 jan, khamis- saya ke Immigration di Penang untuk memuat Dokumen Penempatan Terhad ke Sarawak.Lewat petang baru pulang kerana orang agak ramai. Lepas magrib terus meluncur ke Seri Iskandar untuk menghadiri mesyuarat consultant saya dan rakan-rakan sebelum ke Sarawak. Menyelesaikan tugasan yang perlu dibereskan.

Oleh kerana mesyuarat habis hingga menjengah 1 pg saya tumpang bermalam di rumah sahabat saya akh hakim. Di rumahnya kami sempat brainstrom beberapa idea baru dan berkongsi cita-cita besar masing-masing. Sedar tidak sedar jam menunjukkan jam 3 pagi.


Esokkan harinya sarapan bersama akh Hakim terus ke Ipoh. Akh Hakim menghadiahkan saya sebuah Kitab Fiqh Jihad tulisan Dr Yusof Qaradawi yang setebal 3 buah kamus saiz biasa. Katanya, " ana bagi kat enta, bila enta dah baca enta boleh sampaikan pada orang."

Bergambar bersama Akh Hakim sebelum bertolak Ipoh.Bagi saya, beliau merupakan mentor saya. Idea-ideanya kadang-kadang mencabar saya. Banyak ilmu diperolehi apabila bekerja dengannya dan kebanyakkanya membuka koridor baru untuk strategi gerak kerja saya. Umurnya hanya setahun lebih tua dari saya. Tapi penglibatannya dalam amal Islam sudah jauh kehadapan. Syukurlah sekarang saya makin mudah berhubung dengan beliau melalui BlackBerry Messager.

Tiba di Jelapang, Ipoh saya singgah seketika untuk menziarahi dengan Ustaz Azhan dan isterinya, Kak Shim. Bagi saya mereka amat hebat. Pada usia yang muda mereka telah berjaya mengasaskan pusat tarbiah, Pusat Motivasi At-taqwa dan Kompleks Tarbiah Raudatul Jannah(KoTaJa). Kewujudan pusat tarbiah tersebut menjadi jantung yang berdegup di tengah masyarakat. Saya dan rakan-rakan antara pengunjung setia program-program yang dianjurkan.

Ketika saya ingin menziarahi ustaz dan keluarganya, mereka semua sedang demam. Namun ustaz Azhan masih sanggup menggagahkan diri untuk bertemu saya seketika. Dalam pertemuan itu, Ustaz banyak berkongsi pengalamannya aktif dalam kerja-kerja dakwah sewaktu di sekolah dulu. Beliau merupakan bekas anak murid emak saya.Beliau juga seronok bercerita pengalaman bagaimana beliau dan isteri mengasaskan Pusat Motavasi At-Taqwa dan KoTaRaJa. Ustaz seronok bercerita, penuh semangat seperti sudah baik dari demam.
Bersama Ustaz Azhan di pejabat Pusat Motivasi At- Taqwa. Beliau juga menghadiahkan saya sebuah buku. Dinding pejabat ini penuh dengan sijil-sijil dan skrol tanda penghargaan yang pihak sekolah beri kepada ust setiap kali dijemput menyampaikan ceramah motivasi.


Naqib

Selepas itu, saya terus ke Stesen Keretapi Ipoh untuk bertemu naqib usrah saya pula, Akh Hafez Sabri. Beliau merupakan naqib saya dan rakan-rakan sejak tahun 2007 lagi ketika mula masuk ke IPG. Saya mengenali beliau ketika beliau menjadi pengerusi majlis dalam satu Forum di Ipoh. Ketika itu beliau masih menuntut di Universiti Malaya. Setelah tamat forum kami berbual-bual sambil saling taaruf diri.Di situ bermulalah usrah kami. Ahli usrah saya pada masa itu adalah Akh Rafiq Razali, Akh Zhafran, Akh Nizam dan Akh Firdaus.


Ketika itu beliau perlu segera ke KL untuk menghadiri mesyuarat pada jam 3 petang. Maka saya segera ke sana. Mujurlah saya sempat bertemu beliau beberapa minit. Kami duduk seketika di kedai makan di stesen tersebut.
Alhamdulillah, sempat berusrah selama beberapa minit bersama naqib Akh Hafez Sabri di Stesen Keretapi Ipoh sebelum beliau bertolak ke KL untuk urusan dakwahnya yang padat. Saya menekuni setiap nasihat dan taujihatnya buat bekalan semasa mengajar di Sarawak nanti. Katanya, " xpa,walaupun jauh orang beriman hatinya diikat dengan ikatan ruh Islam". Suasana syahdu mengakhiri pertemuan kami. Uhibbukafillah
-Gambar yang saya upload di facebook saya bergambar kali terakhir di Cafe Stesen Keretapi sebelum posting ke Sarawak.

Ketika pertemuan tersebut beliau memberikan butir-butir pedoman buat bekalan perjuangan saya. Beliau memberikan cadangan-cadangan bagaimana untuk terus istiqamah apabila berada di sana. Semasa waktu bertolak hampir tiba, kami bersalaman sebelum beliau masuk ke dalam keretapi, dalam pelukan penuh ukhuwah itu, beliau memberikan hadiah berharga kepada saya. Saya berasa amat sebak. Suara semakin mengecil. Dada mula berombak. Saya melihat di mata naqib saya merah dan bergenang air mata.

Air mata saya mengalir tanpa disedari ktk berusrah kali terakhir dgn anak usrah saya sebelum beliau berangkat ke meninggalkan bumi Perak sbntar tadi, beliau ditakdirkan Allah utk posting ke Sarawak, saya berdoa kepada Allah agar beliau terus istiqamah dalam perjuangan Islam walau dimana sekalipun kita ditempatkan dan saya berdoa agar beliau menjadi Murabbi ummah dalam kerjayanya sebagai seoarang guru, sesungguhnya ukhuwwah yg diikat dgn Ruh Tarbiyyah akan terus kekal hingga ke Syurga,insyaAllah
-Dpetik dari status facebook naqib saya.

Selepas itu saya ke rumah sewa sahabat-sahabat usrah saya di IPG ipoh. Kami bertemu berkongsi rasa.Mengerat ukhuwah sebelum jauh merantau di tanah seberang.


Bersama sahabat-sahabat serta adik-adik usrah di rumah sewa mereka. Terharu dengan kehadiran mereka berkumpul apabila mengetahui saya berada di situ. Ketika itu mereka sedang dalam persediaan menghadapi pilihanraya kampus.Saya berkongsi sedikit sebanyak pandangan dan idea berdasarkan pengalaman saya diamanahkan sebagai NYDP dan Pengerusi Jawatakuasa Pilihanraya kampus.Seronok berkumpul sambil menikmati durian.

Selepas asar saya dengan ditemani akh Firdaus menziarahi Ustaz Fairuz, murabi saya dan rakan-rakan. Beliau dan keluarganya banyak berjasa pada kami.Ilmu dan pengalamannya sering membentuk dan membetulkan alignment fikrah saya dalam kehidupan berjemaah. Sebagai contoh, dalam sesetengah isu semasa saya merasakan ia adalah sesuatu yang betul tetapi apabila berbincang dengannya rupanya ada kesilapan. Maka beliaulah sering membetulkannya. Oleh itu saya suka meminta pandangannya.

Lama kami berbual dari selepas asar hingga magrib sambil. Selepas solat magrib, ustaz mengajak kami ke kedai makan.Memang itulah sifat Ustaz, suka melayani tetamu dengan sebaiknya hingga kadang-kala kita menjadi serba salah.

Bergambar bersama Ustaz Fairuz insan yang banyak berjasa sepanjang saya di IPG.Ustaz menghadiahkan kepada saya beberapa buah buku.

Setelah itu saya memohon untuk mengundur diri kerana saya perlu ke Batu Gajah untuk mengambil barang. Perjalanan ke Batu Gajah ditemani oleh Akh Firdaus, ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 10 lebih. Sebaik sahaja selesai mengambil barang terus kami memecut ke Ipoh untuk menghantarnya ke asrama.


Sang murabbi

Dalam perjalanan tiba-tiba saya mendapat satu SMS. Rupanya ia adalah SMS dari Ustaz Shuaid Din, guru dan murabi saya yang amat saya kasihi. Beliau merupakan tempat rujuk saya. Ilmunya amat luas. Daya ingatannya kuat. Sekali taaruf diri padanya insyallah dia akan ingat lagi apabila bertemunya pada masa depan. Antara yang membuatkan saya kagum dengan beliau juga, beliau dan keluarganya membuka asrama anak yatim. Di situ beliau mentarbiah dan membentuk anak-anak yatim tersebut.

SMS yang dihantar oleh Ustaz adalah reply kepada mesej yang saya hantar padanya tengahari tadi. Saya menghantar SMS kepadanya memaklumkan bahawa dapat posting ke Sarawak dan ingin bertemu dengannya seketika. Sengaja saya tidak menelefonnya kerana bimbang mengganggunya.Jadi saya hanya menghantar SMS. Harapannya bila-bila dia free dia baca dan reply mesej saya.

Tetapi puas saya tunggu bila beliau ingin reply. Tiba-tiba lebih kurang jam 11.30malam baru beliau reply SMS tersebut. Beliau menjemput saya datang ke rumahnya. Alangkah gembiranya ketika itu kerana ustaz sudi menerima kunjungan kami walaupun sudah amat lewat.

Ketika bertemu ustaz, kami terpaksa menziarahinya di biliknya tingkat atas kerana ustaz tidak mampu untuk turun bawah. Ketika itu ustaz hanya berehat di atas katil. Beliau perlu menjalani operation jantung bypass di IJN pada 26 Jan 2012. Pilu sungguh melihat keadaan ustaz yang tidak berdaya.Hanya berehat di katil. Kata ustaz,

"Minta maaf sebab baru baca mesej enta. Ana silent handphone. Hari ni ana rasa berpusing kepala, silap-silap boleh jatuh. Kalau jatuh takut kena strok".

Dalam hati saya sedikit lega kerana mujur tidak menelefonnya, Bimbang pula mengganggunya. Namun, saya tetap rasa bersalah kerana mengganggunya hingga lewat malam. Tapi apakan daya kerana saya perlu segara pulang ke rumah di Parit Buntar pada malam itu juga.



Sebelum pulang saya bersalaman dengannya. Memohon maaf atas kelemahan dan salah silap. Saya menundukkan sedikit kepala dan meminta ustaz meletakkan tangannya sambil mendoakan saya. -Kenangan menziarahi ustaz di rumahnya, ditemani Akh Firdaus.Ustaz memang tidak lokek dengan senyuman walaupun kurang sihat.

Selepas itu saya menghantar akh Firdaus ke asrama. Dalam beberapa minit saya mengambil kesempatan untuk bertemu adik usrah saya, Jabar. Dia menghadiahkan key-chain tanda ukhuwwah kami.

Selepas itu saya bertolak pulang ke rumah. Ketika itu jam menunjukkan hampir 12.30malam. Dalam perjalanan saya menerima SMS adik usrah:

Salam, dharapkn abg ehsan slamat bragkat n smpai, xda yg istimewa buat abg tp dharapkn key chain m'jd kenang2ngan dr adik usrah...slamat brjuang..insyaallah..

Dalam perjalanan saya tidak berasa mengantuk kerana satu persatu kenangan datang bermain dalam fikiran saya. Alhamdulillah lebih kurang jam 2 pagi saya tiba di rumah.


P/S:
Seperti dalam tulisan-tulisan saya dalam blog ini, kebanyakkannya adalah berdasarkan pengalaman saya. Tujuan saya menulisnya adalah untuk menyampaikan beberapa mesej dakwah dan tarbiah saya. Memang perangai saya suka menyampaikannya secara tersirat. Biar selepas anda baca, anda sendiri akan merumuskan point-point yang anda rasa bermanfaat dari tulisan ini. Saya lebih suka menyampaikan sesuatu yang saya mampu dan sudah buat. Itu lebih pada kesannya. Bimbang menyuruh orang dengan sesuatu yang kita tidak lakukan. Wallahualam.

Hidup ini perlu ada murabbi~

Saturday, January 7, 2012

Al-Futur

Apakah itu al-futur?
Dari segi bahasa :

1. Terputus atau terhenti sesudah berjalan atau diam sesudah bergerak.

2. Malas; menangguh-nangguh; melengah-lengah sesusah bergerak aktif dan bersungguh-sungguh.

Dari segi istilah :
Tahap al-futur yang paling rendah ialah malas, menangguh-nangguh, melengah-lengahkan dan tahap yang paling tinggi ialah terhenti terus atau diam sesudah bergerak cergas secara berterusan.

Mengubati Al-Futur

1. Menjauhkan diri daripada melakukan maksiat sama ada yang besar mahu pun yang kecil.

2. Berterusan melakukan ibadat harian.

3. Mengintai (mencari kesempatan) waktu-waktu yang afdhal untuk beramal dan melakukan ibadat.

4. Membebaskan diri daripada keterlaluan dalam agama.

5. Meletakkan diri dalam dakapan jamaah.

6. Memberi perhatian kepada sunnatullah yang wujud pada manusia dan alam seluruhnya.

7. Bersedia untuk berhadapan dengan halangan.

8. Meneliti dan bertindak secara sistematik dalam pekerjaan.

9. Sentiasa mendampingi orang-orang yang soleh yang berjihad di kalangan hamba-hamba Allah.

10. Memberi hak kepada tubuh badan.

11. Menghiburkan diri dengan melakukan perkara-perkara yang harus.

12. Sentiasa merujuk dan mengkaji buku-buku Sirah An-Nabawiyyah, sejarah dan biografi pejuang-pejuang di jalan Allah.

13. Sentiasa mengingati mati dan soal kubur.

14. Sentiasa mengingati syurga dan neraka.

15. Sentiasa menghadiri majlis ilmu.

16. Menerima Islam secara keseluruhan.

17. Melakukan muhasabah ke atas diri dan mengkaji setiap masa.

"Wabak Sepanjang Jalan" karangan Dr Al Syed Muhammad Noh

sumber: sini

Sunday, December 18, 2011

Low-cost Tamrin


" Semua peserta diwajibkan menyusun kasut dengan baik sebelum masuk dewan kuliah" titah seorang ajk displin.

Dialog di atas adalah salah satu dialog dalam tamrin yang pernah saya hadiri. Tamrin adalah perkataan bahasa arab yang bermaksud 'latihan' dalam Bahasa Malaysia. Dalam bahasa Inggeris dipanggil training.

Dalam sesebuah organisasi yang asasnya Islam atau bukan Islam elemen tamrin/training/latihan ini amat penting untuk meningkatkan kualiti ahlinya. Sepanjang pengalaman saya terlibat dalam bidang kepimpinan di sekolah dan kampus, saya pernah sertai kedua-dua jenis training/tamrin ini.

Ada satu pengalaman saya mengikuti tamrin bagi sebuah organisasi yang asasnya bukan Islam. Keadaannya amatlah mengecamukkan jiwa raga. Memang tidak boleh dilupakan. Doktrin yang diterapkan memang cukup menjadikan kita seorang yang liberal. Balik dari tamrin tersebut, saya perlu masa untuk memulihkan diri. Walaubagaimanapun, tamrin tersebut memberikan pengalaman yang bermakna dalam diri.


Dalam program-program tarbiah Islam, antara elemen penting adalah tamrin. Ia bertujuan untuk melatih para pendakwah dalam aspek-aspek tertentu. Sebagai contoh, dalam aspek displin.

Jadi dalam tamrin bermula dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara boleh dijadikan sebagai latihan mendisplinkan diri peserta. Antaranya dalam aspek displin pengurusan diri iaitu susun kasut dengan kemas sebelum masuk ke dalam dewan kuliah atau surau.

Dalam tamrin juga ingin melatih peserta memantapkan dari aspek kesihatan. Aktiviti-aktiviti riadah disusun. Pendek kata, tamrin ni sangat bermanfaat. Ia akan menjadikan seseorang itu menjadi fardil muslim yang soleh dan musleh yang menepati 10 muwasafat tarbiah.

Untuk menguruskan sesebuah tamrin bukanlah mudah. Kosnya juga amat tinggi. Biasanya kosnya mencecah ribuan ringgit. Kosnya mahal, semahal tarbiah yang terkandung di dalamnya. Justeru, kerana kosnya yang tinggi, ia hanya dibuat secara berkala.

Kemudian, timbul satu cita-cita dalam benak fikiran saya. Alangkah bagusnya jika tamrin ni dapat dijadikan sesuatu yang berterusan bagi seorang muslim terutama bagi yang bercita-cita untuk memperjuangkan agamanya.

Maka lahirlah idea Modul 'Low-cost tamrin'

'Low-cost tamrin' ini sebenarnya adalah satu menifestasi elemen-elemen tarbiah dalam tamrin yang diterjemahkan dalam kehidupan sehari seorang muslim. Semua elemen tarbiah yang dijalankan dalam tamrin dipraktikkan selepas tamat tamrin secara berperingkat.

Sebagai contoh, seperti yang saya tulis di atas tadi, di dalam tamrin peserta akan dilatih supaya menyusun kasut atau selipar yang pakai dengan kemas sebelum masuk ke dewan kuliah atau surau. Ia bertujuan untuk melahirkan seorang yang berdisplin dan tersusun hidupnya. Jadi dalam Modul 'Low-cost tamrin', peserta perlu cuba untuk melakukan perkara yang sama dalam kehidupan hariannya. Jadi selepas tamat tamrin yang dijalani, dia masih perlu menyusun selipar atau kasutnya dengan kemas setiap kali dia ingin masuk ke rumah atau apa sahaja.

Contoh lain adalah, di dalam tamrin peserta di minta untuk mematuhi masa yang ditetapkan. Jadi, dalam kehidupan hariannya dia juga perlu melatih dirinya supaya menepati masa.

Sekiranya, di dalam tamrin peserta diwajibkan untuk menghafal sekurang-kurangnya 1 ayat quran setiap hari, maka peserta juga perlu melatih dirinya untuk menghafal ayat Quran meskipun seminggu 1 ayat Al-Quran.

Dan banyak lagi elemen-elemen tarbiah dalam tamrin yang dapat dipraktikkan dalam kehidupan hariannya. Ia boleh dilakukan secara berperingkat.Sedikit demi sedikit.

Peserta terus menjalani elemen-elemen tarbiah dalam tamrin dalam kehidupannya seharian. Maka di sinilah yang akan membentuk fardil muslim dalam dirinya. Untuk melakukan segala elemen-elemen tamrin dalam kehidupan tidak memerlukan sebarang kos atau jika perlu pun kosnya mungkin sangat rendah berbanding tamrin yang sebenar. Inilah yang dimaksudkan Low-cost tamrin.

Dengan Modul Low-cost Tamrin juga dapat menjadikan segala elemen tarbiah dalam tamrin itu sekadar diamalkan ketika itu sahaja tetapi ia adalah sesuatu yang dihayati dalam kehidupan.

Saya amat merindui tamrin. Banyak perkara yang saya pelajari apabila menjadi peserta tamrin. Apabila saya menguruskan tamrin, saya mempelajari lebih banyak perkara lagi. Tamrin mengajar saya untuk menjadi seorang yang bersedia ditarbiah dalam masa sama bersedia mentarbiah.


Sesetengah orang amat tidak gemarkan tamrin kerana adakalanya elemen tarbiah dalam tamrin adakalanya 'menyakitkan' rohani dan jasmaninya. Mengekang hawa nafsunya. Manakan tidak, kadang-kadang dalam tamrin, peserta hanya dibenarkan tidur untuk tempoh yang terhad. Tetapi di rumah kita boleh tidur sepuas-puasnya.

Pengalaman saya mengikuti tamrin dari sekolah menengah hingga ke sekarang, banyak mengajar dan membentuk peribadi saya hari ini. Ada tamrin amat menyakitkan rohani dan jasmani saya. Pernah selepas satu tamrin yang saya hadiri membuatkan saya down. Ia amat menyakitkan. Apabila tarkiz tarbawi itu disentuh dengan tepat dalam tamrin, adakalanya ia amat menyakitkan. Ibarat mengikis karat pada besi. Kadangkala ia menyakitkan. Namun sakit itu sebenarnya ubat yang menyembuhkan. Mudah-mudahan karat jahiliah itu terlerai.

Inilah nature tarbiah. Adakalanya ia menyakitkan, adakalanya ia menggembirakan. Namun di akhirnya akan menjadikan seseorang itu dari seorang muslim biasa kepada manusia yang luar biasa!

Rinduilah tamrin

rijal tarbawi-bertamrin bersama sahabat alumni sekolah (AMAL).

~oh, rindunya

Saturday, December 17, 2011

Sahabaku


Oh Tuhanku,

Apalah hebat sangat manusia yang Kau ciptakan ni.Kadangkala meruntun jiwaku. Terasa jauhnya aku kebelakang. Memang Kau hantarnya untuk mentarbiahku. Mentarbiah egoku, mentarbiah rasa hebatku.

Oh tuhanku,

Dia sentiasa merendah diri. Dengan kekurangan ilmunya, kekurangan amalnya. Namun tahap pengorbanannya hanya Kau yang tahu. Tahap ikhlasnya hanya Kau yang tahu. Aku dapat rasakan, namanya sentiasa berdendang dikalangan para makhluk di langit. Sedangkan aku, oh tuhan...Harap hipokrasi itu bukan pakaianku.

Tuhanku,

Hanya Kau sahaja yang tahu betapa aku rasa berdosa dan terhina.Saat dia meminta nasihat dan pandangan dari aku. Lalu mengucapkan terima kasih yang amat sangat apabila aku memenuhi permintaannya...Sedangkan aku yang perlukan nasihat dan pandangan darinya.


Tuhanku,

Tidak sanggup rasanya bila dimahsyar kelak, aku menanggung malu. Hingga mungkin kepala ini tidak mampu diangkat lantaran malu yang membungkus diri. Dengan amal yang nipis. Sedangkan dia, dalam tawaduk dan istiqamahnya itu terus berada di baris hadapan. Aku pula, entah dicelah mana dalam lautan manusia yang menggila.


Tuhanku,

Hari ini dia berjuang lagi. Tanpa penat lelah. Entah betapa banyak harta dan wang ringgit dia korbankan untuk perjuangan suci ini. Aku dapat rasakan. Air mata dan lelah dia kemam sendirian. Semuanya untuk dakwah ini. Tiada siapa yang tahu. Hanya Kau yang tahu.


Tuhanku,

Manusia jenis apalah yang kau kenalkan padaku ini. Sering mengetuk hatiku. Aku ini hambaMu, Engkau adalah Tuhanku. Harap Engkau tidak pernah kecewa dengan hamba seperti aku ini. Tarbiahlah aku oh tuhanku melalui sahabat-sahabat yang Kau kurniakan padaku. Tarbiahlah aku tuhan.


Tuhanku,


Tadi aku lihat dia terlelap keletihan ketika sang murabi memberi kalam kuliah. Tadi aku lihat dia terduduk seketika melepas lelah. Dalam tenaga dan kemampuan terbatasnya itu, jiwanya tetap besar dan langkahnya tetap teguh.

Katanya penuh bangga, hari esok milik Islam.

Insyallah sahabat.

Saturday, November 12, 2011

Baitul Muslim: "Enta bila lagi?"

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih dan Lagi Maha Penyayang.


Baitul Muslim?


Tiba-tiba saya menulis berkaitan baitul muslim. Buat masa ini, saya seakan sedang diasak dengan persoalan-persoalan baitul muslim. Persoalan tersebut datang dari pelbagai arah pelbagai orang. Ini kerana pada usia saya kini, memang sudah biasanya masyarakat sudah mula berfikir berkaitan baitul muslim. Maka, saya rasa saya perlu menulis sedikit sebanyak berkaitan perkara tersebut.

Di kampus, seorang sahabat baik saya Zhafran baru mendirikan rumah tangga. Dia menikah pada raya kedua yang lalu. Syukur segalanya berjalan lancar. Atas dasar ukhuwaah , saya cuba sedaya upaya untuk hadir ke majlis tersebut. Saya mengambil tiket bas dari Perak ke Kelantan dan Alhamdulillah sampai subuh hari akad nikah.

Bergambar bersama Zhafran sebelum bertolak ke rumah pengantin perempuan. Kalau di kampus, pensyarah dan staf selalu tertukar antara saya dan dia. Memang selalu pensyarah tersilap panggil saya dengan nama Zhafran. Ketika majlis akad nikah tu pun ada seorang ahli keluarga pengantin perempuan bertanya kepada saya, " ni adik beradik pengantin juga ko?".

Sepanjang majlis tersebut, saya melihat betapa gembiranya sahabat saya tersebut setelah selesai angkat nikah. Waktu yang paling mencabar adalah ketika seseorang itu ingin melafazkan akad nikah di hadapan kadi. Semasa sahabat saya angkat nikah, saya berada di tepinya bersama adik beradiknya yang lain. Entah kenapa, masa saya tengok sahabat saya angkat nikah, dada saya berombak, berdebar. Sungguh suspen.

"Patutlah ramai pengantin lelaki tergagap-gagap angkat nikah, aku yang tengok ni pun dah berdebar" bisik saya dalam hati sambil berdoa supaya Allah permudahkan sahabat saya itu.

Saya pun tidak pasti kenapa saya yang berdebar tapi hakikatnya pelbagai perasaan datang bila saya lihat sahabat saya berada di hadapan kadi tersebut. Risau, resah, takut semua hadir bercampur baur dalam hati. Memang perkahwinan ni bukan perkara yang boleh buat main.

Selepas tamat majlis nikah, sahabat saya mengimamkan solat sunat. Makmumnya adalah seorang wanita yang telah menjadi isterinya yang sah.

" Aku tak percaya lagi...aku tak percaya ni...hahaha" seloroh sahabat saya selepas selesai majlis akad nikahnya. Tangannya sejuk seperti mayat. Saya dan rakan-rakan lain tertawa.

Selepas majlis akad nikah selesai, saya bersama rombongan pengantin lelaki pergi ke rumah pengantin perempuan. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.


Balik Kampus

Ramai sahabat-sahabat, adik-adik usrah dan pensyarah-pensyarah yang mengucapkan tahniah kepada sahabat saya tersebut. Memang seronok.

Cuma.......

Apabila setiap kali orang mengucapkan tahniah pada sahabat saya tersebut, soalan kedua yang dia akan tanya ialah:

" Abg ehsan bila pula?"

" Zhafran dah, enta bila pula? "

" Enta bila pula sheikh?"

Aduh...aku terpana bila ditanya soalan ini hingga kadang-kadang bila ada orang ucapkan tahniah pada sahabat saya itu, saya cepat-cepat menjauhkan diri. Takut kena tanya.

Pernah sekali saya pergi ke koperasi, terserempak dengan pensyarah, Ust Asad.

" Dengar kata Zhafran dah berkahwin?" Ust bertanya.

" Ya ust, Alhamdulillah. Raya kedua baru ni" saya menjawab.

" Ehsan pun tak lama lagi dah kan?" 'soalan pakej' yang saya agak akan keluar.

" Err..insyallah ust. Doa-doakan ana ust" saya menjawab dengan ayat 'play safe'.

Pernah juga, dalam satu majlis bacaan yasin di pusat Islam. Seorang adik usrah mengetuai majlis tersebut mengumumkan menggunakan microfon:

" Tahniah kepada abang Zhafran yang baru kahwin. Cuma abang Ehsan ja belum lagi....bla bla..."

panjang lagi sebenarnya dia hurai. Rasa macam tak sanggup nak tulis di sini.

Kadang-kadang jadi pening juga nak menjawab bila semua orang ucapakan tahniah pada Zhafran atas perkahwinannya, kemudian orang akan bertanya pada saya pula. Termasuklah dalam Facebook. Seolahnya, jika Zhafran berkahwin maka saya pula akan menyusul selepas itu.

Jadi, untuk setiap pertanyaan tersebut, saya dah ready dengan jawapan yang standard. Biasanya saya akan menjawab:

" Insyallah, doa-doakan"

sambil tersenyum sambil buat muka macam orang yang tak bersalah. Jawapan 'play safe'.

Bagi saya persoalan perkahwinan atau baitul muslim sangat besar. Ia merupakan maratib amal yang kedua selepas pembentukan fardil muslim. Saya memahami perkara ini sejak terlibat dengan gerakan dakwah semasa di sekolah menengah dulu lagi.

Saya faham bahawa, baitul muslim amat peting bagi kehidupan daie. Sebab itulah sejak dari sekolah menengah lagi saya selalu mengamalkan doa ini:


Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami yang sejuk mata memandang dan jadikanlah kami Imam ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa- Al-Furqan : 74

Doa ini saya bukan baca setakat untuk dapatkan isteri atau anak-anak yang soleh sahaja. tetapi doa diniatkan juga kepada ibu bapa dan adik-adik saya supaya mereka termasuk dalam golongan yang sejuk mata mandang dan berjuang untuk Islam.

Pembinaan baitul muslim perlukan persediaan. Tambah-tambah bagi yang lelaki. Persedian untuk menjadi suami memerlukan pelbagai persedian baik dari segi material mahupun peribadi. Suami adalah ketua keluarga. Dia perlu menjadi contoh tauladan yang baik pada isteri dan anak-anaknya dalam semua aspek. Contoh dari sudut akhlak, ibadah, pengurusan diri, ilmu dan lain-lain.

Pada pandangan saya, peranan seorang ketua keluarga bukan sekadar memberikan nafkah zahir dan batin tetapi dia berperanan untuk memimpin isteri dan anak-anaknya supaya semuanya selamat di dunia dan akhirat. Dia perlu menjadi guru untuk isteri dan anak-anaknya. Dia harus mentarbiah mereka supaya akhirnya semua dapat bertemu di syurga Allah kelak dan selamat dari api neraka. Seperti kata Ust Hazrizal (saifulislam.com) : "Bercinta Sampai ke Syurga"

Memandangkan besarnya peranan seorang suami ini, saya menjadi susah hati dan berusaha untuk mempersiapkan diri bermula sekarang.

Mungkin kita tak tahu bila tarikhnya, siapa jodohnya dan di mana tempat kahwinnya tapi yang penting kita perlu sentiasa bersedia dan melengkapkan diri.

" Orang lelaki ni dia tak boleh berubah sebab malu pada isteri tapi dia kena berubah kerana Allah. Sebab dia 'bos' dalam keluarga. Dia boleh buat apa yang dia suka " emak saya memberi nasihat bila saya mengadu padanya berkaitan kesediaan saya untuk tidak berbaitul muslim lagi buat masa ni lantaran banyak akhlak-akhlak buruk dan kelemahan yang masih banyak dalam diri.

Apa yang mak cuba sampaikan adalah, perubahan yang dibuat sebab malu pada isteri takkan kekal lama. Sebab orang lelaki dia ketua keluarga. Ada egoya sendiri. Istilah mudahnya, 'Ikut suka dialah nak buat apa'.

Tambahan pula kos untuk berkahwin sekarang bukan main tinggi lagi. Kata orang 'tak cukup 10ribu jangan mimpi nak kahwin'. Kata mak: "you are not born with silver spoon". Bila mak cakap macam tu, saya fahamlah apa yang dia nak cuba sampaikan.

Buat masa ni, saya merasakan pada usia yang sangat muda ni banyak perkara yang perlu di teroka dan dipelajari. Saya sudah menyusun perancangan hidup 5 tahun secara explicit dan 10 tahun secara umum. Hidup kena bercita-cita besar untuk umat. Saya selalu bercerita pada mak perancangan-perancangan hidup saya selepas ni.

" Ehsan ni bercita-cita besar. Kena cari isteri yang macam 'Siti Khatijah' " kata emak bergurau.

Bagi sahabat saya, jodol Zhafran mungkin awal. Itu takdir terbaik yang Allah tetapkan untuk dia. Bagitu juga naqib usrah kami, Akh Hafez Sabri yang baru sahaja mendirikan baitul muslim lebih kurang sebulan lebih awal sebelum Zhafran.

Beliau sering berkongsi pengalaman kehidupannya selepas berbaitul muslim. Bila dengar, saya simpan, ambil pengajaran, buat bekal satu masa nanti. Banyak pandangan-pandangan berkaitan baitul muslim yang dia beri pada saya. Memang bermanfaat.

Dalam kesibukan naqib saya di medan amal Islami itu, saya harap dia dapat terus membantu untuk urusan baitul muslim saya. Amin.

Kenangan bersama naqib tersayang, Akh Hafez Sabri di Masjid Shah Alam semasa berjaulah ke Shah Alam untuk urusan dakwah kami


p/s: saya harap post kali ini dapat sikit sebanyak menjawab pertanyaan sahabat-sahabat yang tak pernah jemu-jemu bertanya " Zhafran dah kawen, enta bila lagi?" ('',)

Monday, October 17, 2011

Menjadi Golongan Mukhlisin dalam Berjuang

Dengan nama Allah

"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar" (Al-Bayyinah: 5)

Golongan yang terselamat dari godaan syaitan adalah golongan yg ikhlas dalam setiap kerja buatnya. Semua yang dia lakukan adalah kerana Allah semata-mata. Begitu juga dalam perjuangan Islam, seorang kader dakwah itu hanya akan terselamat sekiranya dia benar-benar ikhlas dalam setiap perbuatannya. Perjuangan Islam bukan perkara yang mudah. Musuhnya keliling pinggang. Ada yang nampak ada yang tidak nampak. Musuh terbesar bagi seorang kader dakwah itu ada dirinya sendiri. Sekiranya, dia berhempas pulas berjuang dan bekerja untuk Islam, namun dirinya ada kepentingan lain maka sudah pastilah apa yang dilakukan sepanjang hidupnya menjadi debu yang berterbangan. Sia-sia disisi Allah.

" Ana selalu muhasabah. Kadang-kadang kita ada perselisihan pendapat dengan sahabat-sahabat kita masa mesyuarat. Di luar mesyuarat, masa sambil-sambil bawa kereta kita akan muhasabah balik diri. ..."isk, aku tak patut buat macam tu". Walaupun kita rasa apa yang dibuat tu salah." kata naqib saya semasa dalam usrah.

Muhasabah amat penting dalam perjuanganngan ini. Bahkan untuk kehidupan kita keseluruhannya supaya kita tergelincir dari perjuangan Islam yang sebenar. Niat kita juga sentiasa berpaut padaNya. Bila kita ikhlas dalam berjuangan, saat itu Allah akan melihat usaha kita. Dia akan membantu kita. Merindui munajat kita. Para makhluk di langit akan sentiasa menyebut-nyebut nama kita. Setiap masa para malaikat akan membawa amal soleh kita dalam perjuangan itu untuk dinilai di sisi Allah.

" Biar semua orang benci pada kita tapi makhluk di langit akan menyebut-nyebut nama kita" teringat kata-kata taujihat(motivasi) senior saya di Maahad. Lebih kurang lima tahun dahulu. Saya masih ingat hingga ke hari ini, buat bekalan saat lemah. Ketika itu kami sedang bertamrin dan bermukhayyam(berkhemah) di bawah badan displin untuk kami para pengawas sekolah.

Mendengar kata-kata tersebut cukup mengharukan saya ketika itu. Untuk menjadi pengawas sekolah tidak mudah. Tambah-tambah sekolah yang sama gender dan sekolah aliran agama yang agak syadid(tegas). Cercaan rakan dan cemuhan yang diterima bukan sikit. Ramai yang membenci dari yang suka.

Memang menjadi trademark di Maahad Muhammadi, kuasa pelajar memang kuat. Pengawas atau panggilannya dhobit(bahasa arab) memimpin gerakan pelajar. Zaman saya dulu kami pernah menghantar memorandum, berdemontrasi. Lantang menyatakan bantahan terhadap kemungkaran.
p/s Gambar barisan pengawas zaman adik-adik saya sekarang yang sedang memimpin seluruh pelajar berdemontrasi membantah IFC. Lagi gambar di sini.


Namun itulah harga untuk sebuah perjuangan. Kepentingan diri ditolak seketika, yang penting obor kebenaran tetap digenggam meskipun kadangkala bahang apinya panas menyambar tangan. Dalam hempas pulas itulah menempa sedikit demi sedikit pengalaman. Mengajar dan memahamkan kami pengertian ikhlas secara praktikal dan bukan hanya mengunyahnya secara teori di dalam kelas.

Golongan yang muklisin (ikhlas)

Untuk menjadi golongan yang muklisin dalam berjuang bukan mudah. Di kalangan umat Islam yang faham kewajipan berjuang menegakkan Islam, Di kalangan yang menegakkan Islam tidak ramai yang mampu istiqamah. Di kalangan yang istiqamah pula belum tentu semuanya ikhlas.

Untuk tergolong dalam golongan yang mukhlisin bukan semudah yang disangka. Jiwanya perlu halus. Hatinya perlu lembut. Komunikasi dengan tuhannya di dalam solat perlu hidup. Bisikan nurani sentiasa beralun, memuji dan memuja Tuhannya. Mungkin tiada yang tahu tapi itu rahsia hatinya. Penuh rahsia.

Ikhlas dalam berjuang adalah syarat kemenangan Islam. Bila kita ikhlas, tiada hasad dengki dan agenda peribadi yang dilampirkan secara tersirat semasa memberi cadangan di dalam mesyuarat. Tiada alasan yang dibuat-buat semasa arahan untuknya diberikan. Semuanya "sami'na wa ato'na" -kami dengar dan kami taat.

bukan mudah untuk mendapat pekerja yang benar-benar taat kepada majikannya. Jika ada, sudah pasti si majikan tersebut akan sanggup membayar gaji yang tinggi supaya pekerja tersebut terus bekerja dengannya. Bahkan mungkin majikan tersebut akan sentiasa menaikkan pangkat si pekerja yang ikhlas itu.

Begitu juga bekerja untuk Islam. Majikannya Allah. Pekerjanya kita. Allah akan membayar 'gaji' yang paling tinggi dari kalangan kita yang benar-benar ikhlas. Dia juga akan 'menaikkan pangkat' kita di sisiNya dari kalangan kita yang paling tinggi ikhlasnya. Hanya Dia yang tahu. Dia sahaja yang menilai. Justerus, rebutlah 'pangkat' paling tinggi di sisi Allah.

Saya teringat dalam satu program yang sertai dahulu. Selepas slot ceramah, saya bawa ustaz yang memberi ceramah menikmati sedikit jamuan. Saya agak rapat dengan beliau. Mengutip ilmu dan pengalaman dari mereka yang lama di medan. Dia merupakan seorang pejuang yang teguh. Ketika di UM dahulu dia pernah menjadi presiden Persatuan Mahasiswa Islam.

Sambil menjamu hidangan tersebut beliau menyelit tarbiah kepada saya,

" orang boleh futur(putus asa) dalam berjuangan ni macam-macam. Kadang-kadang sebab terasa hati hati je " kata-kata tersebut menusuk kalbu.Saya simpan dalam-dalam.

"Ustaz, doakan ana. Ana pun risau ni. Ana takut lepas habis kampus ana senyap" . Memang itu kebimbangan saya. Jumpa dengan sesiapa pun saya akan minta mereka doakan saya terus istiqamah. Sudah ramai yang kecundang selepas tamat alam kampus. Dia hanya jadi 'daie kampus' bukan 'daie ummat'. Dunia perjungannya hanya di kampus.

Sedangkan dunia perjuangan golongan mukhlisin adalah seluruh hidupnya. Ya, seluruh hidupnya.


Sunday, September 4, 2011

Selepas Ramadhan



Salam Syawal.

Berlalu sudah Ramadhan. Terasa satu kekosongan yang besar melanda diri. Mencari rentak. Kadang-kadang terasa kebingungan seperti orang yang baru bangun tidur. Aduhai Ramadhan betapa terasanya aku kehilangan mu..

Masih ingat, ketika Ramadhan malam-malamnya sangat meriah. Meriah dengan tarawih, tadarus, tazkirah Ramadhan, qiam dan sahur. Seolah-olahnya seperti tinggal di asrama. Apa yang nak dilakukan semuanya siap teratur.

Pukul tujuh berbuka di masjid, surau atau pusat islam kampus. Lepas berbuka, rehat seketika dan bersiap untuk isyak. Kadang menjadi Imam bertugas di surau berdekatan rumah saya dan rakan-rakan menyewa (surau Osman). Selepas solat Isyak kemudiannya berterawih dan tadarus. Kadang pergi mencari surau atau masjid yang adakan tazkirah Ramadhan.

Tazkirah berkaitan isu Palestin oleh Sheikh Muhammad Siyam, Mantan Imam Masjid al-Aqsa anjuran Muslim Care di Surau Taman Hiburan Tambun.


Pada hujung minggu mencari masjid yang mengadakan qiam. Tidur di sana, beriktikaf.
Gambar ketika solat terawih diimamkan oleh Imam Masjid Madinah di Surau Taman Ilmu Transkrian Pulau Pinang


Setiap kali nak solat terawih, saya dan sahabat-sahabat akan mempertimbangkan beberapa perkara.

1-nak solat terawih kat mana?masjid atau surau?atau di Pusat Islam Al-Hidayah(PIAH) IPG kampus Ipoh ?
2-lepas terawih ada tazkirah Ramadhan atau tidak?

"Sheikh, baik kita terawih kat masjid.Pahala besar skit. Sebab masjid dapat pahala iktikaf. Surau tak dapat"

" Ana kena jadi imam kat surau Osman la.."

" Kita pakat gi semaye PIAH lah. tengok-tengokan adik-adik"

" Memang pahala besar semayang kat masjid, tapi surau Osman kita kena pergi jugak. Kita kena cuba dekat dengan masyarakat. Jadi aulawiyat kita kat situ. Masjid ramai dah orang pergi"

"Kita pergi terawih masjid tu la ada tazkirah sedap.."

"Malam ni ada tazkirah Badar Al-Kubra lepas terawih. Kena pergi ni"

Mendengar kuliah Badar Al-Kubra selepas terawih

Ini antara dialog perbincangan saya dan rakan-rakan ketika mempertimbangkan di mana kami ingin solat. Terutama terawih. Semua faktor menjadi kira-kira. Seronok dan asyiknya Ramadhan.

Berlalunya Ramadhan membuatan diri masih tercari-cari keseronokkan itu.

Tadi solat Isyak di surau Osman. Saf muslimin yang 5 baris di bulan Ramadhan hanya tinggal satu saf. Tiada lagi keriangan kanak-kanak yang bermain di beranda surau ketika ibu bapa mereka sibuk berterawih. Lampu dibahagian solat muslimat malap terus. Tanda tiada muslimat yang datang untuk solat berjemaah lagi. Berbanding pada bulan Ramadhan, saf muslimat hampir melimpah ke luar surau.

Terasa mendung dihati. Rahmat mencurah-curah yang Allah kurniakan pada bulan Ramadhan menyatukan hati-hati setiap muslim dan mukmin untuk beribadah di rumahNya. Memang kini terasa kehilangannya.

*********

Teringat semasa hari terakhir di ipoh sebelum pulang berhari raya. Ketika itu sudah jam 7malam. Kami bertolak agak lewat. Saya dan sahabat saya, Firdaus singgah seketika di rumah anak yatim darussalam. Berjumpa dengan Ust Shuaid dan adik-adik di sana. Berjumpa seketika untuk bersalaman mengucap selamat Hari raya dan memohon kemaafan. Ust Shuaid adalah guru saya yang sangat saya hormati. Beliau dan isteri antara pengasas rumah anak yatim Darussalam tersebut. Adik-adik anak yatim disitu pula saya amat kasih. Seminggu sekali saya akan memberi bimbingan bagi subjek Sains untuk mereka yang akan menghadapi UPSR.

" Sunyi sekarang. Ramai yang dah balik ke?" saya bertanya pada Ust.

" Ha, ramai yang dah balik." Jawab Ust.

Ada kalangan ahli keluarga anak-anak yatim dari rumah tersebut yang ambil mereka pulang beraya bersama saudara-mara. Tiba-tiba datang seorang anak yatim kepada saya bersalaman. Memang menjadi kebiasaan adik-adik di situ akan bersalaman mencium tangan setiap tetamu yang hadir.

" Aik, tak balik ke?" saya bertanya pada adik tersebut spontan kerana agak pelik. Dia tidak menjawab. Hanya tersenyum kelat. Saya tengok pada Ust dan Ummi (panggilan kami pada isteri ust).

" Nampaknya macam tu la kot" jawab Ummi seperti beralas. Mungkin tak nak kecilkan hati adik tersebut.

" Ada 4 orang tak balik. Adik beradik semua " tambah Ummi.

" Err...takpa-takpa. Insyallah nanti lepas raya abang datang balik" jawab saya menyedapkan hati adik tersebut. Tangan saya gosok-gosokan pada bahunya. Memberi sedikit kekuatan walaupun saya sendiri rasa agak sebak ketika itu.

Terasa bersalah tanya pada dia. Cepat-cepat saya tukar tajuk perbincangan kemudian segera meminta izin untuk minta diri daripada Ust dan Ummi. Takut lama-lama nanti 'terhujan' plak. Ust memberikan sedikit kurma untuk berbuka di tengah jalan.

Dalam perjalanan saya termenung seketika teringatkan adik tersebut bersama 3 orang lagi adik beradiknya yang tidak pulang berhari raya.

Allahurabbi. Untungnya kita yang masih ada nikmat punyai ibubapa atau saudara mara yang masih hidup lagi untuk menumpang kasih. Saya mensyukuri nikmat itu..

Ramadhan 1432H kau hadir dengan 1001 kenangan.. Moga ketemu lagi tahun hadapan amin.


p/s: kunjungi blog rumah anak yatim Darussalam di sini. coretan ust shuaid.

Thursday, August 4, 2011

Begitulah kami berRamadhan


Dengan nama Allah.

Salam Ramadhan.

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah kerana masih dipilih untuk hidup di bulan Ramadhan Al Mubarak tahun ni. Tidak semua yang berada pada Ramadhan yang lalu, Allah pilih mereka untuk berada pada Ramadhan pada tahun ini. Diantaranya adalah atuk dan nenek saya. Mereka sempat menikmati hidup dan beribadah pada Ramadhan yang lalu, kemudian dijemput bertemuNya pada bulan-bulan selepasnya. Maka mereka tidak sempat untuk berada di bulan Ramadhan tahun ini. Al-fatihah untuk mereka dan seluruh kaum muslimin.

Agak lama saya tidak update dalam blog ini. Ini kerana saya lebih menyampaikan dakwah dalam IT dalam bentuk facebook. Update mesej-mesej dakwah dalam facebook lebih mudah dan pantas berbanding dalam blog. Selain itu juga, pembacanya lebih ramai dan rencam. Maka lama kelamaan blog Muallim ini hampir tersisih.

Walaubagaimanapun, saya cuba berusaha untuk updatekan juga blog. semoga ianya menjadi ibadah. Terutama dalam bulan Ramadhan yang berkat ini.

Saya ingin kongsikan bagaiamana saya dan warga IPG kampus Ipoh ber'Ramadhan'. Suasana sambutan di Pusat Islam kampus saya akan meriah sepanjang bulan Ramadhan. Pelbagai program disusun. Kebanyakkan aktiviti adalah kesinambungan aktiviti-aktiviti pada tahun-tahun lalu.

Di pusat Islam, bermula hari Isnin hingga khamis akan ada moreh. Semua pelatih dan pensyarah serta staf dijemput. Dana moreh diperolehi dari sumbangan jabatan-jabatan secara bergilir-gilir.
Setiap jabatan akan bergotong-royong masak. Para pensyarah dari setiap jabatan tersebut akan mengumpulkan duit sumbangan dari kalangan mereka untuk jamuan moreh mereka.


Kelas bergotong-royong menyediakan juadah berbuka. Kelihatan seorang non muslim dari kelas tersebut membantu.



Makan di dalam talam secara berjemaah


Ruang tempat makan untuk pensyarah


Suasana selepas selesai solat magrib

Selepas selesai berbuka dan solat magrib berjemaah, setiap kelas akan bertadarus mengikut kelas masing-masing. Setiap kelas telah ditetapkan juzuk yang perlu dihabiskan.



Beginilah kami berRamadhan!

p/s: maaf pada pembaca kerana lama tidak update.Artikel ini pun sebenarnya sudah lama ditulis dan ingin di post.Tapi tersimpan dalam draf. Alhamdulillah akhirnya di post juga dgn izin Allah. Mudah-mudahan ada pahala yang dapat dikutip dari artikel ini. Ameen.