Followers

Thursday, August 20, 2009

Bulan Al-Quran

Esok adalah satu Ramadhan. Hati saya berasa berbunga-bunga. Akhirnya bulan yang amat dinanti-nantikan menjelang lagi. Inilah masanya untuk menghenyakkan nafsu yang lama bersarang dalam diri. Disamping itu mengembeling amal ibadah kepada Allah.

Untuk post kali ini saya ingin berkongsi dengan anda sedikit ilmu yang saya dapat semasa menonton Malaysia Hari Ini (MHI) pagi ini. Dalam MHI tersebut, Ust zahazan dijemput menyampaikan sedikit ilmu berkaitan Ramadhan.



Antara ilmu yang paling menarik minat saya adalah apabila ust zahazan menceritakan bulan Ramadhan adalah Bulan Al-Quran. Ia memang disebut dalam hadis. Cuma hadis yang ust zahazan baca itu saya tidak sempat menghafal matannya.Mungkin boleh cari selepas ini.

Ramadhan Bulan Al-Quran

Dalam rancangan MHI tersebut, ust Zahazan ada menceritakan tentang bagaiman sikap Imam Malik ketika membuat persediaan menghadapi Ramadhan.

Imam Malik merupakan seorang Imam yang sangat menghormati hadis rasulullah SAW. Setiap kali sebelum beliau mengajar hadis kepada anak muridnya, beliau akan pastikan pakaiannya dan tubuhnya bersih sebersihnya. Beliau sangat menghormati hadis Rasulullah SAW kerana beliau tahu ia adalah himpunan kata-kata Rasulullah SAW. Apabila beliau ingin mengajar hadis kepada anak muridnya, beliau menyatakan:


”Sesungguhnya aku bukanlah mahu kamu semua menghormati aku, tapi aku mahu kamu semua menghormati segala apa yang terbit dari mulutku kerana apa yang akan terbit dari mulutku adalah hadis rasulullah SAW”.


Ust Zahazan juga menceritakan, pernah satu ketika semasa Imam Malik sedang mengajar hadis rasulullah SAW kepada muridnya, wajah beliau bertukar warna. Sekejap merah, sekejap biru. Kemudian di akhir kelas itu, muridnya bertanya kepada Imam Malik.

Jawab Imam Malik,

”cuba kamu lihat apa yang ada dalam jubahku.”

Apabila dilihat di dlam jubah Imam Malik itu, muridnya sangat terkejut kerana mendapati ada seekor kala jengking ada dalam jubah Imam Malik. Di badan Imam Malik terdapat 13 kesan sengatan kala jengking.


Lihatlah betapa hormatnya Imam Malik kepada hadis Rasulullah SAW hingga sanggup menahan rasa sakit yang di alaminya demi menghabiskan dahulu pengajian hadis Rasulullah.


Namun begitu, walaupun tinggi kecintaan Imam Malik kepada hadis rasulullah SAW, apabila tibanya Ramadhan, beliau akan menyimpan baik-baik kitab-kitab hadisnya dan menfokuskan dirinya untuk membaca Al-Quran.
Inilah kehebatan Imam muktabar zaman silam. Mereka benar-benar merasai kehadiran Ramadhan dan mengisinya dengan bacaan Al-Quran semaksima mungkin.

Ayuh fikir sejenak.

Dari kisah yang saya kongsikan bersama anda, beberapa kesimpulan saya dapat lakukan:

1- Kita haruslah menghormati dan cuba memahami hadis Rasulullah SAW seperti Imam Malik. Cubalah tanya diri kita, berapakah hadis Rasulullah SAW yang sudah kita hafal dan amal? Ada?


2- Bersamalah kita penuhkan Ramadhan dengan membaca Al-Quran. Janganlah sekadar baca Al-Quran untuk mendapatkan pahala semata-mata, tetapi cubalah untuk faham serta menghayati maksudnya. Bagi saya kita, lebih baik baca satu muka surat Al-Quran bersama terjemahannya dari membaca berhelai-helai tapi tidak faham maknanya. Hasan Al-Banna pun sering ingatkan kita perkara ini.

Anda boleh buat beberapa kesimpulan sendiri sebagai tambahan. Sama-samalah kita memanfaat ruang dan peluang Ramadhan kali ini dengan sebaiknya kerana tahun depan belum tentu dapat jumpa lagi dengan Ramadhan.

” Ramadhan, hadirmu dinanti. Pergimu ditangisi.”

"Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu sekalian puasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu sekalian bertaqwa "( QS Al-Baqarah :183 ).

p/s: Ya Allah, mudah-mudah amalanku bulan Ramadhan ini tidak sama dengan bulan-bulan yang lalu.

No comments: