Followers

Tuesday, December 8, 2009

'Terpenjara' dengan Kampung Akhirat


Sejak kecil saya dan adik-adik dididik mak ayah dengan akhirat. Hampir setiap benda diingatkan dengan akhirat.

Teringat masa kecil, setelah kami bergaduh mak minta kami saling bermaafan. Mak kata, kalau tak maafkan antara satu sama lain nanti kat padang Mahsyar kami akan cari antara satu sama lain semata-mata untuk saling bermaafan. Mak kata, selagi orang tu tak maafkan kita tak boleh masuk syurga. Takutnya.


Setiap kali pergi rumah orang, mak dan ayah akan pesan jaga perangai elok-elok. Tangan jangan pandai-pandai petik bunga atau daun rumah orang tanpa izin. Kalau petik juga berdosa. Nanti bila kat akhirat kena cari orang tu untuk minta dihalalkan bunga atau daun yang dipetik. Kami takut.

Bila balik rumah nenek, saya dan adik-adik suka main batu seremban. Sebab kat rumah nenek banyak batu yang cantik-cantik. Kadang-kadang kami ambil batu-batu tersebut dari tempat tauke Cina buat batu bata sebelah rumah nenek. Jadi bila mak tengok kami main batu seremban, mak akan tanya, dah minta izin dengan tauke Cina ke masa ambik batu-batu ni. Kalau belum, mak suruh pulangkan balik.

Semasa saya belajar di sekolah berasrama di Kelantan, saya aktif dengan program-program Islam sekolah. Kami anjurkan pelbagai aktiviti. Namun, kadang-kadang program tersebut tidak cukup duit. Jadi, saya telefon mak dan ayah di rumah bertanyakan mungkin mak dan ayah nak sumbangkan duit untuk program tersebut. Biasanya mak dan ayah akan suruh saya guna duit saya dulu, nanti mereka akan bank in semula duit dalam akaun saya. Saya sengaja minta sumbangan dari mak dan ayah. Walaupun sekadar RM10. Ini semua kerana saya nak mereka dapat pahala. Lagipun mereka yang didik saya supaya kejar pahala supaya kat akhirat nanti masuk syurga.

akhirat, akhirat, akhirat...hampir semua benda diingatkan dengan akhirat..Dosa, pahala, syurga dan neraka begitulah kami sentiasa dididik.


Dewasa

Kini saya sudah dewasa. Sudah baligh. Dosa pahala saya tanggung sendiri. Kalau saya buat maksiat, saya sendiri yang akan masuk neraka. Saya faham.

Saya membesar dengan makanan tarbiah mak dan ayah tentang akhirat. Kini saya banyak berdikari sendiri. Terutama bila masuk ke alam kampus. Dalam alam kampus saya kenal macam-macam. Sebahagiannya sangat mengiurkan nafsu saya.

Bila saya tengok kawan-kawan layan mesej kasih sayang dengan pasangan bukan muhrim mereka. Saya pun terdetik, saya pun nak try juga. Bila nak buat saya terfikir balik, Allah tahu. Nanti kat padang Mahsyar apa yang saya buat akan ditayangkan pada semua manusia. Pada masa tersebut, aib dan keburukan saya akan terbuka. Malunya buka kepalang. Saya batalkan niat itu.

Di kampus, saya cuba istiqamah untuk solat Subuh secara berjemaah di surau. Selepas selesai solat saya pulang ke bilik untuk baca Al-Quran atau menyambung tidur jika malam semalamnya tidur lewat. Tetapi apabila nak baca Quran, saya sering terfikir, baca quran adalah sunat tetapi ramai kawan-kawan saya yang masih tidak bangun untuk solat Subuh, sedangkan solat itu wajib. Pahala sunat membaca Quran tidak boleh menandingi kewajipan solat.

Lagipun, saya takut jika di padang mahsyar kelak mereka akan mendakwa saya di hadapan Allah kerana tidak menggerakkan mereka solat Subuh. Habislah saya.

Maka dalam keadaan 'terpaksa' kerana takutkan akhirat saya mengajak rakan-rakan mengetuk pintu bilik mereka yang masih bangun untuk solat Subuh.

Bila saya dapat sesuatu ilmu yang baru, saya faham ia harus disampaikan kerana saya beriman dengan hadis nabi:

" Sampaikan dariku walau satu ayat"


Oleh itu saya cuba sedaya upaya untuk menyampaikan setiap ilmu yang saya tahu samada melalui lisan atau tulisan seperti di blog. Saya takut jika Allah tanya di akhirat kelak, adakah saya menyampaikan ilmu yang Dia kurniakan? Maka saya takut saya akan terketar-ketar menjawab, saya tidak menyampaikan.

Inilah kesan tarbiah mak ayah supaya ingat kesannya di akhirat kelak sebelum buat sesuatu. Setiap orang akan mati dan pulang ke kehidupan abadi iaitu di kampung akhirat. Jika buruk semasa hidup di dunia, maka buruk juga semasa di akhirat. Takutnya.

Sebenarnya saya sangat takut untuk kembali ke kampung akhirat. Saya tahu saya takkan terlepas bila di Mahsyar nanti. Saya takkan dapat jawab semua soalan yang didakwa kepada saya.


"apa yang kamu buat bila tengok ada wanita Islam yang tidak bertudung?"

"apa yang kamu buat bila kamu lihat pelakon-pelakon berpelukkan dalam tv?"

" apa yang kamu sumbangkan untuk agama Aku?"

"Bagaimana amalan kamu di dunia?"

"apa usaha kamu untuk saudara kamu di palestin?"



Ini antara soalan yang saya bayangkan akan ditanya kepada saya semasa di padang Mahsyar. Secara jujurnya saya tidak boleh jawab dengan lancar. Ketika itu hanya merintih mengemis mencari syafaat kekasih kita semua, Nabi Muhammad SAW. Itu pun jika saya selalu berselawat kepada baginda. Jika tidak, terkontang-kantinglah saya keseorangan di sana..

Sekarang kita hidup di dunia. Ada manusia tidak kisah nasib mereka di kampung akhirat. Jangan begitu. Biar kita beringat dan cermat supaya di akhirat kita selamat. Biar hidup di dunia terasa 'terpenjara' dengan kampung akhirat, asalkan bebas merdeka di SANA.


5 comments:

Mohamad Shahrilniza said...

alangkah bagusnye kalau sume orang dapat didikan seperti yang Abg Ehsan perkatekan tadi...
tapi malngnye, bukan sume famili mcm tu...

rosamajid said...

salam..

artikel enta sedikit sebanyak memberi kesedaran buat ana. Diharap pelawat blog enta yg lain dpt mencontohi kesedaran enta ni..ALLAH, AlhamduliLLAH.

NORIZAN ZAKARIA said...

Asalkan seseorg tu mengingatkan akhirat,dan azab neraka,pasti xakan berani membuat dosa..

Tapi saya rasa istilah 'terpenjara; tu mungkin perlu ditukar...Ingatan kepada akhirat dan kuasa Allah tidak pernah memenjarakan kita,ia 'mengawal'. jadi terkawal dengan kampung akhirat mungkin lebih tepat..=) sekdar berkongsi pendapat..tapi sy kagum dgn ibu saudara,,didikan yang cukup baik..mendidi anak bukan dengan insentif duniawi tapi insentif ganjran syurga dan takutkan neraka

ehsanhalim said...

to shahril:

btl.tapi anak2 yg fhm mcm sharil inilah yg mencorak keluarga mereka.
mak n ayah abg esan pun bukannya dapat tarbiah dari ayah mereka mcm mereka didik kami sekarang. tp dia bljr melalui usrah yg dia dpt semasa di u.

to rosi:
terima kasih atas kunjungan. semoga Allah terus 'pemurah' utk berikan kita hidayah.

to serikandi Islam:
terima kasih atas pendapat yg baik. ana dari sudut bahasa ni kurang arif sangat.

ana ambil 'terpenjara' pun dari quote:

dunia itu penjara bagi org mukmin dan syurga bagi orang kafir.


tarbiah supaya ingatkan akhirat, adalah tarbiah para nabi kepada sahabat2 n keluarga bginda.

dlm quran pun byk sebut neraka n syurga.

ana rasa mak ayah ana dapat cara didikan ni dari buku n ustaz2.antara buku yg ana jumpa dlm pustakaan mini buku lama mereka adalah buku 'pendidikan kanak-kanak jilid 1 dan 2'karangan abdullah nasih ulwan. tokoh ikhwan yg hebat. buku tu ahli usrah mereka yg hadiahkan.

mungkin kita semua yg bakal menjadi ibu n ayah blh cari buku tersebut.

Nurul Atika Rosli said...

Ana setuju dengan shahril.. alangkah baiknya jika semua ibu bapa mendidik anak-anak mereka sepertimana ibu bapa akh ehsan.. Semoga kita semua dapat berusaha untuk menjadi seseorang yang dapat melahirkan generasi yang soleh dan solehah.. amin...