Followers

Friday, November 14, 2008

Keputusan UPSR 2008 Lebih Baik Berbanding Lima Tahun Lepas


PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini, pada keseluruhannya lebih baik berbanding lima tahun sebelumnya dengan jumlah yang mendapat semua A meningkat.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata daripada 518,616 calon UPSR seramai 46,641 orang atau 9.2 peratus mendapat semua A dalam matapelajaran yang mereka ambil, berbanding 7.8 peratus lima tahun sebelumnya.

Peningkatan juga jelas berlaku pada bilangan calon yang menjawab sepenuhnya soalan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris meningkat dengan seramai 159,234 pelajar menjawab soalan Sains dalam Bahasa Inggeris berbanding 1,324 orang tahun sebelumnya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini bagi mengumumkan keputusan UPSR 2008.

Beliau berkata bagi soalan Matematik, seramai 238,153 pelajar menjawab sepenuhnya di dalam bahasa Inggeris berbanding 1,075 pelajar pada tahun 2007.

"Semua calon dibenarkan menjawab soalan menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya atau Bahasa Melayu atau bahasa ibunda atau bercampur-campur dalam bahasa Inggeris, Melayu dan ibunda," kata beliau.

Alimuddin berkata pencapaian keputusan yang menggalakkan juga dicatat bagi lima mata pelajaran, termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) iaitu Bahasa Melayu Pemahaman, Bahasa Melayu Penulisan, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina Penulisan, Bahasa Tamil Penulisan dan Sains.

"Kesemua mata pelajaran ini menunjukkan peningkatan yang signifikan dari segi gred cemerlang A iaitu 4.1 peratus iaitu bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Penulisan untuk Sekolah Kebangsaan (SK) dan Bahasa Melayu Pemahaman untuk SJK.

"Untuk subjek Bahasa Inggeris SK pula, ia mencatatkan peningkatan sebanyak 4.4 peratus manakala Bahasa Cina Penulisan mencatatkan peningkatan sebanyak 3.9 peratus dengan peningkatan tertinggi sebanyak 4.8 peratus dicatatkan menerusi subjek Bahasa Tamil Penulisan," katanya.

Beliau berkata, aras kenaikan atau penurunan yang signifikan bagi prestasi mata pelajaran yang diukur dari nilai Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) ialah 0.03.

"Enam mata pelajaran yang mempamerkan peningkatan signifikan ialah Bahasa Melayu Pemahaman SK pada aras 0.07, Bahasa Melayu Penulisan SK (0.06), Bahasa Melayu Penulisan SJK (0.11), Bahasa Cina Penulisan (0.07) dan Bahasa Tamil Penulisan pada 0.04, manakala peningkatan tertinggi ialah menerusi subjek Bahasa Inggeris SK pada 0.24," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Radzi Jabar berkata Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara merupakan sekolah jenis kebangsaan yang mencapai keputusan UPSR terbaik (2008) buat kali kedua dengan peratusan pencapaian 5A sebanyak 50.31 peratus.

Di SARAWAK, jumlah pelajar cemerlang bertambah kepada 2,044 pelajar yang mendapat keputusan 5A pada tahun ini berbanding 1,991 pada tahun lepas.

Salah seorang pelajar cemerlang Kimberly Chian, 12, berkata beliau menggunakan kaedah peta minda untuk mempercepatkan proses pembelajaran disamping mudah memahami sesuatu subjek.

"Ibu saya telah mengajar saya untuk membuat peta minda. Saya mengikuti rahsia tersebut kerana ia memudahkan saya mengingati semua nota penting," kata pelajar SK Green Road kepada Bernama di sini hari ini.

Di SABAH, seramai 955 pelajar mendapat semua A dalam matapelajaran yang diduduki mereka berbanding hanya 60 pada tahun lepas, kata Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Muhiddin Yussin.

Di KEDAH, seramai 3,482 pelajar atau 8.69 peratus daripada 40,062 calonnya memperoleh Gred A dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pelajaran Negeri Shahidan Abdul Rahman berkata sebanyak 24,775 calon atau 61.84 peratus telah lulus penuh dalam semua mata pelajaran.

Di PAHANG, lima pelajar Orang Asli adalah di antara 3,140 pelajar yang memperoleh keputusan 5A, kata Timbalan Pengarah Pelajaran negeri Abdul Hamid Abu Bakar.

Beliau berkata, 25 sekolah di seluruh negeri itu mencapai keputusan 100 peratus pada tahun ini berbanding 15 pada tahun lepas.

DI JOHOR, seramai 5,987 atau 9.64 peratus daripada 62,401 calonnya memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diduduki, kata Pengarah Pelajaran negeri Sufaat Tumin.

Beliau berkata Johor merupakan negeri ketiga terbaik pencapaian UPSR 2008 dengan mendapat 2.22 mata Gred Purata Sekolah (GPS).

Di IPOH, sebanyak 4,113 atau 60.70 peratus daripada 45,434 murid yang menduduki UPSR di Perak lulus cemerlang dengan memperoleh A dalam semua mata pelajaran.

Timbalan Pengarah Pelajaran Perak, Muhammat Roli Hassan berkata 2,922 yang memperoleh 5A adalah pelajar Sekolah Kebangsaan (SK), 1,042 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 149 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

"Keputusan UPSR di Perak pada tahun ini mencatatkan sedikit kenaikan berbanding tahun lalu apabila jumlah calon yang lulus adalah sebanyak 27,578 orang atau 60.70 peratus," katanya.

Beliau berkata daripada keseluruhan calon UPSR di Perak, 30,808 calon adalah murid SK, 11,839 calon SJKC dan 2,787 dari SJKT.

Beliau berkata daripada 30,808 murid SK yang menduduki UPSR, sebanyak 5,159 orang berjaya memperoleh A dalam BI manakala 21,590 orang lagi lulus.

-- BERNAMA


p/s: patut ke kita banding keputusan hari ni dengan keputusan 5 tahun lepas?minta komen dari sahabat-sahabat.

1 comment:

dambaKASIH said...

Salam,. Pada pendapat ana, nak bandingkan result tahun ni dengan result 5 tahun lepas x patut. Sebabnye, 5 tahun lepas PPSMI baru je dilaksanakan. Kalau dilihat kepada pemahaman murid-murid. Bagi murid-murid bandar yang memang sudah dibiasakan dengan penggunaan Bahasa Inggeris sejak dari kecil, mungkin tak jadi masalah. Tapi, kepada murid-murid luar bandar yang ibu dan ayahnya kadang-kadang tak habis sekolah pun, atau dijjaga oleh datuk dan nenek, susah juga. Sesetengah murid, sampai dah darjah 6 pun x pandai membaca lagi. Ini menyebabkan keciciran bila murid-murid ni melangkah ke sekolah menengah. Satu lagi, fenomena soalan bocor dan guru bagi jawapan awal semakin menjadi-jadi. Gred lulus pula boleh dinaik turunkan mengikut keputusan.. Jadi, di mana kebolehpercayaan keputusan peperiksaan di Malaysia??
*Maaflah,. komen dengan panjang lebar pula di sini..