Followers

Thursday, December 25, 2008

Mendesak PPSMI Dihentikan Adalah Satu Agenda Ummah

Mendesak PPSMI dihentikan adalah satu AGENDA UMMAH.

Usaha untuk menghentikan perlaksanaan dasar PPSMI tidak harus dilihat bukan sekadar isu biasa bahkan ia harus dipandang serius dan dinilai sebagai satu AGENDA UMMAH. Perjuangan mendesak PPSMI dihentikan harus digalasi oleh semua umat Islam di Malaysia khususnya.

Ini kerana perlaksanaan PPSMI dilihat mengundang bencana besar terutama kepada ramai di kalangan pelajar Melayu Islam.

Antara kesan perlaksanaan PPSMI adalah :

1-Perlaksanaan PPSMI ini bakal merudumkan lagi penguasaan pelajar Melayu Islam dalam bidang Matematik dan Sains.

Jika dilihat sebelum perlaksanaan PPSMI, pelajar kita sudah sedia lemah dalam menguasai dua subjek penting tersebut dan berada agak terbelakang berbanding dengan pelajar dari bangsa lain.

Lebih mendukacitakan kelemahan dalam menguasai dua subjek tersebut bukan sahaja berlaku di kalangan pelajar Melayu Islam luar bandar malah juga di bandar.

Kini apabila pengajaran dan pembelajarannya ditukar kepada bahasa Inggeris, ia menyukarkan lagi penguasaan mereka dalam subjek tersebut.

Hasilnya umat Islam di Malaysia pada masa depan bakal mengalami ketandusan sedikit demi sedikit pakar-pakar dalam bidang Matematik dan Sains. Kos-kos penting seperti perubatan dan kejuruteraan di IPTA dan IPTS hanya akan didominasi oleh mahasiswa dari bangsa lain lantaran pelajar Melayu Islam tidak mempunyai kelayakan yang cukup untuk memohon kos-kos tersebut.

Akhirnya, pada masa hadapan kita sukar sekali dapat melihat umat Melayu Islam tampil menjadi golongan professional di Malaysia.

2- Dasar PPSMI juga bakal menggelapkan masa depan pelajar Melayu Islam di kawasan luar bandar dan masyarakat orang asli di pedalaman.

Kesan kesukaran mempelajari subjek matematik dan sains paling dirasai oleh golongan ini kerana mereka memang benar-benar bergantung kepada guru mereka di sekolah untuk belajar subjek tersebut.

Berbanding pelajar yang tinggal bandar, mereka berpeluang untuk mendapatkan tuisyen selepas waktu sekolah. Selain itu juga, rata-rata daripada mereka terdiri dari keluarga yang berpendidikan. Justeru, mereka masih dapat mengulangkaji pelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris dengan bantuan ibubapa mereka.

Namun, kebanyakkan ibubapa pelajar yang tinggal di luar bandar terdiri dari petani dan peniaga kecil. Mereka tidak dapat membantu secara langsung anak-anak mereka. Mereka juga sukar untuk mendapatkan tuisyen tambahan. Maka mereka akan terus ketinggalan dalam menguasai subjek Matematik dan Sains sekaligus menjejaskan keputusan peperiksaan mereka.

Kesannya, kebanyakkan pelajar Melayu Islam yang tinggal di luar bandar hanya akan layak melanjutkan pelajaran dalam kos-kos yang tidak popular di universiti. Risiko dari tindakan ini berlakulah gejala pengangguran.

3- Dasar PPSMI juga dilihat sebagai satu usaha kearah mengikis keyakinan dan jati diri pelajar Melayu Islam.

Mereka seolah-olah didoktrin kejayaan hanya akan dicapai apabila kita mengikut cara Barat termasuklah untuk menuntut ilmu. Sedangkan Jepun, Perancis dan Jerman tetap maju walaupun menggunakan bahasa mereka sendiri.

Antara kejayaan penjajah semasa menjajah sesuatu bangsa itu adalah dengan memadamkan keyakinan diri bangsa yang dijajah. Bangsa tersebut menjadi tidak yakin dengan kemampuan yang mereka miliki termasuklah untuk menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri.

Kesan untuk jangka panjang, pemikiran pelajar Melayu Islam akan berkiblatkan barat dan tiada lagi keyakinan terhadap jati diri mereka sebagai bangsa Melayu yang beragama Islam.

Perkara ini amat ditegah dalam Islam. Firman Allah:

"Dan bahawa inilah jalanku yang lurus, maka ikutilah ia dan janganlah kamu mengikuti
jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya.
Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertaqwa".
(Al-An'aam: 153)

Peranan kita mahasiswa Islam IPG

1- Menulis dan menghantar tulisan demi tulisan pada KPM, akbar dan majalah yang mendesak supaya dasar PPSMI ini dihentikan. Jangan mengharapkan orang lain melakukannya tetapi sepatutnya kita.Tulislah walaupun sekadar mengolah isi yang sama kerana usaha ini amat memberi kesan.

2- Menerangkan kepada rakan-rakan di IPGM masing-masing tentang dasar PPSMI dan kesan buruk pelaksanaannya melalui sebaran artikel dan berusaha menjadikannya isu PPSMI ini antara ‘topik sembang’di kalangan rakan-rakan.

3- Menyokong usaha yang dilakukan oleh mana-mana individu atau kumpulan yang memperjuangkan supaya PPSMI dihentikan.

4-Memohon dan bermunajat kepada Allah SWT supaya Allah membantu dalam merealisasikan hasrat kita.

Kesimpulan

Justeru, seluruh Mahasiswa Islam IPG harus segera sedar akan realiti dasar PPSMI ini. Kita bukanlah menentang Bahasa Inggeris. Namun, cara untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar ialah dengan memperkasakan subjek Bahasa Inggeris dan bukan mengaplikasikan dasar PPSMI ini.

Kita selaku Mahasiswa Islam IPG yang terlibat secara langsung dalam dunia pendidikan di Malaysia seharusnya kita adalah komuniti yang lebih lantang dan sensitif dalam sesuatu isu pendidikan negara. Sudah tiba masanya kita maju setapak kehadapan untuk lebih berani dalam menyatakan pendirian dan memunggah idealisma mahasiswa kita ke tengah masyarakat.

Secara kesimpulannya, usaha mendesak dasar PPSMI dihentikan harus dilihat sebagai satu agenda ummah. Semoga atas nawaitu ini, segala usaha ke arahnya akan diterima sebagai amal kebajikan di sisi Allah SWT.

Firman Allah:

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.. ".
(At-Taubah: 111)

P/S: Ini adalah pendapat saya. Segala kelemahan dan kekurangan dalam artikel ini adalah dari kekurangan ilmu diri sendiri. Mohon teguran dari sahabat-sahabat.

2 comments:

zazolnizam said...

Salam... ehsan , saya mjawab berdasarkan situasi sebenar sbg pnddk dgn bahasa biasa dan tidak beretorik seindah retorik bahasa awak.

Baik secara amnya, dasar menetapkan pengajaran sc n math wajib menggunakan bahasa inggeris sepenuhnya. itu pekeliling yang pertama dan ianya tidak berubah hingga kini.

kedua, semua peperiksaan utama LPM telah menggariskan beberapa penyesuaian kepada format menjawab soalan peperiksaan utama tersebut. cth: surat LPM dan pekeliling KPM membenarkan calon peperiksaan serendah UPSR boleh menjawab menggunakan BI sepenuhnya, BM sepenuhnya atau campuran BM dan BI.

Rentetan daripada dua perkara yang berbeza ini, maka kerajaan telah menubuhkan PEMBELA yang mengkaji keberkesanan PPSMI ini. Hasil kajiannya program ini dikatakan 'kurang' berjaya. wbgmnpun, kerajaan tidak membesarkannya kerana mereka mahu dasar ppsmi dikekalkan hingga kini.

Menjawab soalan awk, sbg guru ada byk faktor yang harus diaambilkira untuk menyokong atau membantah dasar ini. Sbg k/tangan kerajaan adalah ditegah utk kita membantah dasar ini. Kita juga dilarang utk mbuat pnyataan terbuka kerana kita terikat dgn pjanjian dan etika kakitangan kerajaan. wbagaimanapun saya bertuah kerana terpilih sebagai 10 sampel kajian guru ppsmi bagi negeri pulau pinang. kami disoal beberapa aspek berkaitan keberkesanan ppsmi ini, persediaan guru dan penerimaan murid. beberapa pendapat kami juga direkodkan dlm kajian ini.

Secara individu, tahun ini tahun pertama pelajar batch ptama ppsmi ini dari tahun satu, saya mengajar mereka penuh dlm bi. selepas pekeliling baru keluar, saya mengubah pendekatan dengan mengajar kelas pertama dan kedua dalam bahasa inggeris dan kelas ketiga dan kelima dalam BM.

Rasional, kelas 1 dan 2 lebih bersedia menjawab sc n math dlm bi manakala kela3 3-5 mempunyai TOV ketika itu sekitar 30% kelulusan. Justeru, pentadbiran mahukan keputusan subjek sentiasa kekal sedangkan sehingga OTI3 keputusan masih tidak memuaskan. akhirnya pentadbiran dan guru math n sc bersetuju mengajar sc n math dlm BM bagi 3 kelas belakang dan menggunakan sehingga 30% BM dalam kelas 1&2. Pegawai yang bertanggung jawab menyelia kurikulum sc juga sering menekankan boleh menggunakan sehingga 30% BM utk mgajara SC n Math.

Hasilnya, keputusan UPSR SKPTM utk subjek sc n math berjaya dikekalkan sedangkan sekolah lain yang berdekatan cth sk methodist parit buntar yang dpt 23 org 5A sama dgn keputusan SKPTM untuk tahun 2007 merundum dengan hanya tinggal 11 orang 5A. tetapi skptm masih kekal 23 orangn 5A dengan IPS lebih tinggi dari IPS kebangsaan.

Tahun ini, sejak awal lagi byk NGO mahukan perubahan, sebagai rakyat malaysia memang benar dasar ini harus disemak semula. sepatutnya semua bentuk interaksi mestilah menggunakan bahasa kebangsaan iaitu BM. kalau kita tak daulatkan Bm sape lagi kan. apapun ketidaksefahaman inilah yang menyebabkan murid2 yg berada di luar bandar terus tercicir dan tercicir untuk menguasai sc n math spt murid2 lain d bandar.

itu pendpt sy yg relate dgn situasi sbnar. so, sbg guru pelatih, teori xsama dgn praktik. inovasi dan pengubahsuaian (adapt and adopt) dperlukan utk mjadikan sesuatu dasar itu berjaya.

Kalau awk jd penggubal dasar di bawah PPK manalah tahu kan satu hari kelak, pastikan dasar yg digubal tidak semata2 bmotif politik, individu ataupun mengejar kemahsyuran diri semata2. renungkan sedikit utk keseimbangan bangsa kita agar tak dihimpit dengan arus pembangunan yang berlari pantas.

Sekian, moga anda menjadi guru yg bjaya kelak. Salam Maal Hijrah n Selamat Tahun Baru 2009!

ehsanhalim said...

masyallah, macam mana hari ni(09.12.2009) saya baru baca comment cikgu ni.

maafkan saya cikgu, sbb masa tulis entry ni saya masih bertatih menulis blog. tak tau yg blh comment kt bwh.

hari ni bl buka balik entry lama baru terjumpa.

maaf cikgu.terima kasih atas pendapat cikgu.