Followers

Thursday, December 3, 2009

Syukurlah dapat bertuhankan Allah


Kita sering mengucap syukur bila dikurniakan nikmat. Baik nikmat dalam rezki, nikmat dalam kejayaan peperiksaan dan pelbagai lagi. Ini semua adalah nikmat-nikmat yang 'Tuan punya dunia' kurniakan kepada kita selaku 'benda yang diciptaNya'.


Sebagian nikmat milikNya diberikan kepada semua 'benda yang diciptaNya' baik kepada Si Kufur mahupun kepada Si Ingkar. Ini semua adalah jasa sifat Maha PemurahNya, nikmat-nikmatNya yang luas itu disuapkan juga pada setiap mulut-mulut Si Kufur dan Si ingkar. Meskipun mereka-mereka ini tidak menerimaNya sebagai tuhan mereka.


Namun, dalam lautan nikmatNya yang Maha Kaya itu, tidak semua nikmat tersebut diberikan pada 'benda yang diciptaNya'. Ini adalah kerana sebahagian nikmat-nikmatNya bersifat ’eklusif’. Nikmat-nikmat esklusif ini hulurkan pada mereka bertuhankanNya. Nikmat-nikmat eklusif ini adalah nikmat syurga, pahala keredhaanNya dan lain-lain. Jadi mustahil jika si Kufur boleh menikmatinya.


Seperti kasihnya seorang majikan terhadap sebahagian pekerja-pekerjanya yang baik budi pekerti dan bersungguh dalam bekerja, maka diberikan ganjaran yang lumayan pada mereka.
Begitu juga Allah, sudah pastilah Dia berhak memilih-milih dalam memberi ’ganjaranNya pada 'benda yang diciptakanNya'.

Mana mungkin si kufur hendak dibenarkan masuk dalam Jannatul MakwaNya yang mulia? Sudah tentulah mereka ini hanya layak direndam saja dalam SakarNya yang sentiasa lapar dengan pendosa. Biarkan Zabaniah mencela mereka kerana mereka ini mencela Penciptanya semasa dalam gelumang sampah dunia.


Renung

Bila merenung kepada tuhan-tuhan yang dicipta oleh tangan-tangan dan imaginasi batil si kufur, kita harus menadah tangan syukur. Syukurlah kita tidak bertuhankan 'itu'.


Bukannya si kufur tidak tahu. Tapi kerana kesombongan telah membusung lama dalam diri mereka. Akhirnya mereka memilih bertuhankan apa yang dibuat oleh tangan mereka sendiri dari bertuhankan Allah.

"Sungguh, dahulu apabila dikatakan kepada mereka , "La ilaha illallah" (Tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah), mereka menyombong diri. ” As-Soffat: 35

Maka padanlah Nar Jahim itu menjadi tempat tidur mereka kelak. Makhluk bertanduk terlaknat dan sembahan itu telah sedia ternanti di sana mengalu-alukan kehadiran mereka.

(Diperintahkan kepada malaikat), ” Kumpulkanlah orang-orang yang zalim beserta teman sejawat mereka dan apa yang dahulu mereka sembah, selain Allah, lalu tunjukanlah kepada mereka jalan ke neraka” As-Soffat: 22&23

Bila melihatkan tuhan-tuhan si kufur, hati ini panas. Panas kerana ada manusia yakin di sana masih ada tuhan selain Allah. Termakan makar serta tipu daya si syaitan terlaknat. Makhluk inilah yang meracuni anak cucu Adam supaya tidak bertuhankan Allah.

Ingin sahaja saya mencontohi datuk kita Ibrahim.

Kemudian dia(Ibrahim) pergi dengan diam-diam kepada berhala-berhala mereka, lalu dia berkata, "Mengapa kamu tidak makan?(1)"

"Mengapa kamu tidak menjawab?"

Lalu dihadapinya(berhala-berhala) itu sambil memukulnya dengan tangan kanannya.
Kemudian mereka(kaumnya) bergegas kepadanya.

Dia(Ibrahim) berkata,” Apakah kamu menyembah patung-patung yang kamu pahat itu?
Padahal Allah jua yang menciptakan KAMU dan apa yang KAMU PERBUAT itu”.

As-Soffat: 91-96


Bersyukur.

Tiada apa yang dapat diabadikan sebagai tanda syukur yang tidak terhingga kepada Allah melainkan seluruh jiwa raga ini diserahkan sepenuhnya buat ketaatan kepadaNya.


Tiada nikmat yang paling agung selain dapat bertuhankan Allah. Tidakkah amat malang dan hinanya di akhirat kelak jika semasa di dunia kita tidak terpilih sebagai seorang yang menjadikan Allah sebagai tuhan??


Justeru, marilah kita menyinsing lengan menyelamatkan mereka yang masih belum bertuhankan Allah. Mudah-mudahan mereka dapat sama-sama meneguk manisan madu Tauhid.


Pinjaman

Seperti mana semua nikmat-nikmat yang diberikan oleh Allah itu bersifat pinjaman semata-mata. Boleh sahaja bila-bila masa direntapNya kembali. Maka begitu juga nikmat agung itu. Nikmat bertuhankan Allah. Boleh sahaja ditarikNya kembali. Bila-bila masa.


Buktinya, bukankah telinga kita ini sering sahaja mendengar ramai manusia akhir zaman ini yang bertuhankan Allah saat keluar dari rahim si ibu dan menjadi si kufur pula di hujung nafasnya yang terakhir?


Takut

Maka tiada perkara yang lebih besar kita risaukan andai nikmat agung ini direntap olehNya dari kita. Sesungguhnya, Dia sama sekali tidak perlukan kita yang hina lagi celaka ini. Tapi kita yang tidak tahu malu inilah yang sentiasa merengek memerlukanNya.

"Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan Allah dan Allah Dialah Yang Maha Kaya(tidak memerlukan sesuatu), Maha Terpuji." Al-Fatir: 15





(1) Mengejek berhala-berhala itu,kerana dekat berhala itu sudah banyak diletakkan makanan-makanan yang baik sebagai sajian-sajian. (Al-Quran dan Terjemahan: Pustaka darul Iman)


P/s: Tiada nikmat yang paling agung selain iman dan Islam.

1 comment:

محمد حذوان بن حميدان said...

Tiada nikmat yang paling agung selain iman dan Islam.,smoga kte sntiase bersyukur dan mempertahankan nikmat ini.. (^_^)