Followers

Sunday, September 4, 2011

Selepas Ramadhan



Salam Syawal.

Berlalu sudah Ramadhan. Terasa satu kekosongan yang besar melanda diri. Mencari rentak. Kadang-kadang terasa kebingungan seperti orang yang baru bangun tidur. Aduhai Ramadhan betapa terasanya aku kehilangan mu..

Masih ingat, ketika Ramadhan malam-malamnya sangat meriah. Meriah dengan tarawih, tadarus, tazkirah Ramadhan, qiam dan sahur. Seolah-olahnya seperti tinggal di asrama. Apa yang nak dilakukan semuanya siap teratur.

Pukul tujuh berbuka di masjid, surau atau pusat islam kampus. Lepas berbuka, rehat seketika dan bersiap untuk isyak. Kadang menjadi Imam bertugas di surau berdekatan rumah saya dan rakan-rakan menyewa (surau Osman). Selepas solat Isyak kemudiannya berterawih dan tadarus. Kadang pergi mencari surau atau masjid yang adakan tazkirah Ramadhan.

Tazkirah berkaitan isu Palestin oleh Sheikh Muhammad Siyam, Mantan Imam Masjid al-Aqsa anjuran Muslim Care di Surau Taman Hiburan Tambun.


Pada hujung minggu mencari masjid yang mengadakan qiam. Tidur di sana, beriktikaf.
Gambar ketika solat terawih diimamkan oleh Imam Masjid Madinah di Surau Taman Ilmu Transkrian Pulau Pinang


Setiap kali nak solat terawih, saya dan sahabat-sahabat akan mempertimbangkan beberapa perkara.

1-nak solat terawih kat mana?masjid atau surau?atau di Pusat Islam Al-Hidayah(PIAH) IPG kampus Ipoh ?
2-lepas terawih ada tazkirah Ramadhan atau tidak?

"Sheikh, baik kita terawih kat masjid.Pahala besar skit. Sebab masjid dapat pahala iktikaf. Surau tak dapat"

" Ana kena jadi imam kat surau Osman la.."

" Kita pakat gi semaye PIAH lah. tengok-tengokan adik-adik"

" Memang pahala besar semayang kat masjid, tapi surau Osman kita kena pergi jugak. Kita kena cuba dekat dengan masyarakat. Jadi aulawiyat kita kat situ. Masjid ramai dah orang pergi"

"Kita pergi terawih masjid tu la ada tazkirah sedap.."

"Malam ni ada tazkirah Badar Al-Kubra lepas terawih. Kena pergi ni"

Mendengar kuliah Badar Al-Kubra selepas terawih

Ini antara dialog perbincangan saya dan rakan-rakan ketika mempertimbangkan di mana kami ingin solat. Terutama terawih. Semua faktor menjadi kira-kira. Seronok dan asyiknya Ramadhan.

Berlalunya Ramadhan membuatan diri masih tercari-cari keseronokkan itu.

Tadi solat Isyak di surau Osman. Saf muslimin yang 5 baris di bulan Ramadhan hanya tinggal satu saf. Tiada lagi keriangan kanak-kanak yang bermain di beranda surau ketika ibu bapa mereka sibuk berterawih. Lampu dibahagian solat muslimat malap terus. Tanda tiada muslimat yang datang untuk solat berjemaah lagi. Berbanding pada bulan Ramadhan, saf muslimat hampir melimpah ke luar surau.

Terasa mendung dihati. Rahmat mencurah-curah yang Allah kurniakan pada bulan Ramadhan menyatukan hati-hati setiap muslim dan mukmin untuk beribadah di rumahNya. Memang kini terasa kehilangannya.

*********

Teringat semasa hari terakhir di ipoh sebelum pulang berhari raya. Ketika itu sudah jam 7malam. Kami bertolak agak lewat. Saya dan sahabat saya, Firdaus singgah seketika di rumah anak yatim darussalam. Berjumpa dengan Ust Shuaid dan adik-adik di sana. Berjumpa seketika untuk bersalaman mengucap selamat Hari raya dan memohon kemaafan. Ust Shuaid adalah guru saya yang sangat saya hormati. Beliau dan isteri antara pengasas rumah anak yatim Darussalam tersebut. Adik-adik anak yatim disitu pula saya amat kasih. Seminggu sekali saya akan memberi bimbingan bagi subjek Sains untuk mereka yang akan menghadapi UPSR.

" Sunyi sekarang. Ramai yang dah balik ke?" saya bertanya pada Ust.

" Ha, ramai yang dah balik." Jawab Ust.

Ada kalangan ahli keluarga anak-anak yatim dari rumah tersebut yang ambil mereka pulang beraya bersama saudara-mara. Tiba-tiba datang seorang anak yatim kepada saya bersalaman. Memang menjadi kebiasaan adik-adik di situ akan bersalaman mencium tangan setiap tetamu yang hadir.

" Aik, tak balik ke?" saya bertanya pada adik tersebut spontan kerana agak pelik. Dia tidak menjawab. Hanya tersenyum kelat. Saya tengok pada Ust dan Ummi (panggilan kami pada isteri ust).

" Nampaknya macam tu la kot" jawab Ummi seperti beralas. Mungkin tak nak kecilkan hati adik tersebut.

" Ada 4 orang tak balik. Adik beradik semua " tambah Ummi.

" Err...takpa-takpa. Insyallah nanti lepas raya abang datang balik" jawab saya menyedapkan hati adik tersebut. Tangan saya gosok-gosokan pada bahunya. Memberi sedikit kekuatan walaupun saya sendiri rasa agak sebak ketika itu.

Terasa bersalah tanya pada dia. Cepat-cepat saya tukar tajuk perbincangan kemudian segera meminta izin untuk minta diri daripada Ust dan Ummi. Takut lama-lama nanti 'terhujan' plak. Ust memberikan sedikit kurma untuk berbuka di tengah jalan.

Dalam perjalanan saya termenung seketika teringatkan adik tersebut bersama 3 orang lagi adik beradiknya yang tidak pulang berhari raya.

Allahurabbi. Untungnya kita yang masih ada nikmat punyai ibubapa atau saudara mara yang masih hidup lagi untuk menumpang kasih. Saya mensyukuri nikmat itu..

Ramadhan 1432H kau hadir dengan 1001 kenangan.. Moga ketemu lagi tahun hadapan amin.


p/s: kunjungi blog rumah anak yatim Darussalam di sini. coretan ust shuaid.

2 comments:

Anonymous said...

ramadhan ini terasa pantas. ya, ramadhan shahrul jihad..persediaan menghadapi perang besar pru 13~

ehsanhalim said...

mmg pantas.hadirnya dinanti,perginya ditangisi.