Followers

Monday, October 17, 2011

Menjadi Golongan Mukhlisin dalam Berjuang

Dengan nama Allah

"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar" (Al-Bayyinah: 5)

Golongan yang terselamat dari godaan syaitan adalah golongan yg ikhlas dalam setiap kerja buatnya. Semua yang dia lakukan adalah kerana Allah semata-mata. Begitu juga dalam perjuangan Islam, seorang kader dakwah itu hanya akan terselamat sekiranya dia benar-benar ikhlas dalam setiap perbuatannya. Perjuangan Islam bukan perkara yang mudah. Musuhnya keliling pinggang. Ada yang nampak ada yang tidak nampak. Musuh terbesar bagi seorang kader dakwah itu ada dirinya sendiri. Sekiranya, dia berhempas pulas berjuang dan bekerja untuk Islam, namun dirinya ada kepentingan lain maka sudah pastilah apa yang dilakukan sepanjang hidupnya menjadi debu yang berterbangan. Sia-sia disisi Allah.

" Ana selalu muhasabah. Kadang-kadang kita ada perselisihan pendapat dengan sahabat-sahabat kita masa mesyuarat. Di luar mesyuarat, masa sambil-sambil bawa kereta kita akan muhasabah balik diri. ..."isk, aku tak patut buat macam tu". Walaupun kita rasa apa yang dibuat tu salah." kata naqib saya semasa dalam usrah.

Muhasabah amat penting dalam perjuanganngan ini. Bahkan untuk kehidupan kita keseluruhannya supaya kita tergelincir dari perjuangan Islam yang sebenar. Niat kita juga sentiasa berpaut padaNya. Bila kita ikhlas dalam berjuangan, saat itu Allah akan melihat usaha kita. Dia akan membantu kita. Merindui munajat kita. Para makhluk di langit akan sentiasa menyebut-nyebut nama kita. Setiap masa para malaikat akan membawa amal soleh kita dalam perjuangan itu untuk dinilai di sisi Allah.

" Biar semua orang benci pada kita tapi makhluk di langit akan menyebut-nyebut nama kita" teringat kata-kata taujihat(motivasi) senior saya di Maahad. Lebih kurang lima tahun dahulu. Saya masih ingat hingga ke hari ini, buat bekalan saat lemah. Ketika itu kami sedang bertamrin dan bermukhayyam(berkhemah) di bawah badan displin untuk kami para pengawas sekolah.

Mendengar kata-kata tersebut cukup mengharukan saya ketika itu. Untuk menjadi pengawas sekolah tidak mudah. Tambah-tambah sekolah yang sama gender dan sekolah aliran agama yang agak syadid(tegas). Cercaan rakan dan cemuhan yang diterima bukan sikit. Ramai yang membenci dari yang suka.

Memang menjadi trademark di Maahad Muhammadi, kuasa pelajar memang kuat. Pengawas atau panggilannya dhobit(bahasa arab) memimpin gerakan pelajar. Zaman saya dulu kami pernah menghantar memorandum, berdemontrasi. Lantang menyatakan bantahan terhadap kemungkaran.
p/s Gambar barisan pengawas zaman adik-adik saya sekarang yang sedang memimpin seluruh pelajar berdemontrasi membantah IFC. Lagi gambar di sini.


Namun itulah harga untuk sebuah perjuangan. Kepentingan diri ditolak seketika, yang penting obor kebenaran tetap digenggam meskipun kadangkala bahang apinya panas menyambar tangan. Dalam hempas pulas itulah menempa sedikit demi sedikit pengalaman. Mengajar dan memahamkan kami pengertian ikhlas secara praktikal dan bukan hanya mengunyahnya secara teori di dalam kelas.

Golongan yang muklisin (ikhlas)

Untuk menjadi golongan yang muklisin dalam berjuang bukan mudah. Di kalangan umat Islam yang faham kewajipan berjuang menegakkan Islam, Di kalangan yang menegakkan Islam tidak ramai yang mampu istiqamah. Di kalangan yang istiqamah pula belum tentu semuanya ikhlas.

Untuk tergolong dalam golongan yang mukhlisin bukan semudah yang disangka. Jiwanya perlu halus. Hatinya perlu lembut. Komunikasi dengan tuhannya di dalam solat perlu hidup. Bisikan nurani sentiasa beralun, memuji dan memuja Tuhannya. Mungkin tiada yang tahu tapi itu rahsia hatinya. Penuh rahsia.

Ikhlas dalam berjuang adalah syarat kemenangan Islam. Bila kita ikhlas, tiada hasad dengki dan agenda peribadi yang dilampirkan secara tersirat semasa memberi cadangan di dalam mesyuarat. Tiada alasan yang dibuat-buat semasa arahan untuknya diberikan. Semuanya "sami'na wa ato'na" -kami dengar dan kami taat.

bukan mudah untuk mendapat pekerja yang benar-benar taat kepada majikannya. Jika ada, sudah pasti si majikan tersebut akan sanggup membayar gaji yang tinggi supaya pekerja tersebut terus bekerja dengannya. Bahkan mungkin majikan tersebut akan sentiasa menaikkan pangkat si pekerja yang ikhlas itu.

Begitu juga bekerja untuk Islam. Majikannya Allah. Pekerjanya kita. Allah akan membayar 'gaji' yang paling tinggi dari kalangan kita yang benar-benar ikhlas. Dia juga akan 'menaikkan pangkat' kita di sisiNya dari kalangan kita yang paling tinggi ikhlasnya. Hanya Dia yang tahu. Dia sahaja yang menilai. Justerus, rebutlah 'pangkat' paling tinggi di sisi Allah.

Saya teringat dalam satu program yang sertai dahulu. Selepas slot ceramah, saya bawa ustaz yang memberi ceramah menikmati sedikit jamuan. Saya agak rapat dengan beliau. Mengutip ilmu dan pengalaman dari mereka yang lama di medan. Dia merupakan seorang pejuang yang teguh. Ketika di UM dahulu dia pernah menjadi presiden Persatuan Mahasiswa Islam.

Sambil menjamu hidangan tersebut beliau menyelit tarbiah kepada saya,

" orang boleh futur(putus asa) dalam berjuangan ni macam-macam. Kadang-kadang sebab terasa hati hati je " kata-kata tersebut menusuk kalbu.Saya simpan dalam-dalam.

"Ustaz, doakan ana. Ana pun risau ni. Ana takut lepas habis kampus ana senyap" . Memang itu kebimbangan saya. Jumpa dengan sesiapa pun saya akan minta mereka doakan saya terus istiqamah. Sudah ramai yang kecundang selepas tamat alam kampus. Dia hanya jadi 'daie kampus' bukan 'daie ummat'. Dunia perjungannya hanya di kampus.

Sedangkan dunia perjuangan golongan mukhlisin adalah seluruh hidupnya. Ya, seluruh hidupnya.


2 comments:

Aezza Khuratuain said...

ya.. SELURUH HIDUPnya..

Siti Syahirah Mohd Nashuha said...

like always, your words sort of touches my heart :")