Dengan Allah yang Hakeem.
Assalamualaikum.
Apa khbar semua? semoga sentiasa dalam rahmat Allah dan Limpahan kasih sayangnya. Penulisan kali ini mungkin agak berat. Tetapi saya permudahkan dalam bentuk penceritaan pengalaman. Supaya anda dan 'orang-orang' tertentu dapat dengan mudah. ehem2x...
Bagaimana nak mula ya...
Begini, sejak kebelakangan ini, ada adik-adik junior di kampus bertanya kepada saya berkaitan satu soalan. Soalan yang saya pun tidak tahu bagaimana mereka boleh tahu. Pelik juga. Manakan tidak pelik, tiba-tiba keluar soalan tersebut. Walaupun pelik tapi rasional.
Pernah satu ketika, adik usrah saya Syafiq yang sedang berlajar di Universiti Warwick, UK pun selalu bertanya persoalan ini. Dia kerap menelefon saya untuk meminta pandangan. Entahlah berapa banyak kredit yang dia terpaksa guna untuk setiap kali panggilan.
Bahkan seketika tadi pun ada adik-adik lagi yang bertanya.
Saya termenung seketika.
Rupanya ramai yang berminat sangat berkaitan perkara ini. Mungkin banyak sangat persoalan tidak terjawab yang bermain di dalam kepala. Seperti yang pernah saya alami satu ketika dulu. Saya seperti orang bingung dalam mencari jawapan untuk persoalan-persoalan tersebut. Ramai orang saya rujuk. Telefon sana telefon sini. Maka apa yang adik-adik junior saya alami sekarang ini, saya dapat merasakannya.
Oleh itu, saya buat keputusan untuk menulisnya di dalam blog. Mudah-mudahan ada pencerahan yang bermanfaat untuk semua.
*****
" Akh Esan, betul ke dulu akh pernah join ISMA(Ikatan Muslimin Malaysia) dulu? " tanya seorang adik. Direct. Padat. Padu. Tiada muqadimah.
" Eh, tahu mana? " tanya saya kepelikkan sambil menjaga ke-macho-an yang berbaki pada wajah. Riak wajah terkejut cuba disorok.
" Ada ‘XYZ’ yang beritahu, " adik tersebut menjawab. XYZ itu merupakan salah seorang penyokong dan pendokong ISMA hingga kini. Kebanyakkan adik beradiknya merupakan orang-orang hebat ISMA negeri Perak. Saya pun tidak pasti apa tujuan XYZ beritahu kepada adik-adik bahawa saya pernah ikuti program-program ISMA.
Saya mengangguk tanda membenarkan persoalan tersebut. Saya join program-program ISMA ketika itu dengan mengenali NGO tersebut masih dengan nama Ikatan Siswazah Muslim Malaysia lagi. Kini namanya adalah Ikatan Muslimin Malaysia. Walaupun berubah akronim ‘ISMA’ masih dikekalkan.
Bukan setakat itu sahaja, saya juga pernah sertai program-program PEMBINA (Persatuan Belia Islam Nasional). PEMBINA adalah salah satu NGO yang mempunyai kerjasama dengan ISMA.
Bahkan pernah satu ketika, saya dijemput oleh naqib usrah saya untuk sertai program PEMBINA di shah Alam. Beliaulah yang membawa saya dengan keretanya hingga ke Shah Alam. Sebelum pergi, saya pun tidak jelas bentuk program tersebut. Saya hanya diminta pergi. Sebagai seorang yang sangat meminati program-program Ilmu, saya pergi tanpa banyak soal. Setibanya saya disana, rupa-rupanya ia adalah program PEMBINA peringkat pusat. Setiap negeri menghantar beberapa orang perwakilan yang terpilih sahaja. Yang menariknya, saya yang kerdil ini adalah salah seorang dari perwakilan PEMBINA Perak! Wah!
" kenapa sekarang dah tak join?" adik tersebut sambung bertanya.
Saya menjelaskan kepadanya saya sudah tidak join program-program ISMA kerana terlalu banyak komitmen. Banyak perkara yang perlu difokuskan. Saya semakin kurang mengikuti program-program ISMA ketika memegang jawatan sebagai Naib Yang Dipertua JPP. Diamanahkan sebagai NYDP memerlukan komitmen yang tinggi. Tambahan pula ketika itu, pernah satu ketika sebagian besar dari kepimpinan JPP sedang berpraktikum termasuk YDP. Maka saya dan rakan-rakan JPP yang lainlah terpaksa backup.
Kemudiannya, saya memegang diamanahkan sebagai Timb II Exco Biro Agama dan Kerohanian JPP. Jadi, saya perlu utamakan program-program kampus. Maka, kekangan-kekangan ini antara factor membuatkan saya semakin tidak sempat sertai program-program ISMA. Namun saya sentiasa mengikuti perkembagan ISMA melalui laman webnya.
Mengapa soalan ini ditanya?
Persoalan ini adalah satu rentetan kepada satu topic yang sangat besar. Jika di dalam buku Dr Fathi Yakan Maza Yakni Intima’I fil Islam(Mengapa Saya Menganut Islam) topic ini ditulis dalam bahagian kedua buku tersebut. Ia adalah berkaitan Jemaah Islam. Kewajipan untuk menyertai Jemaah Islam turut diulas.
Dalam sebuah hadis sahih riwayat Muslim yang panjang (hadis ke-3434) ada disebut berkaitan kewajipan bersama Jemaah Islam ini.
Huzaifah bin Al-Yaman r.a katanya:
Manusia sering bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat kerana aku takut ia akan menimpa diriku, lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan (kebenaran), adakah selepas kebenaran ini akan berlaku pula kejahatan? Rasulullah menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah akan berlaku pula kebaikan selepas kejahatan itu? Rasulullah menjawab: Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan. Aku bertanya apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dan perselisihan itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Iaitu satu kaum yang tidak beramal dengan sunnahku dan mengikuti selain dari jalanku, di antara mereka itu ada yang kamu kenal dan ada yang kamu tidak mengenalinya. Aku bertanya lagi: Adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu? Rasulullah menjawab: Ya, ketika itu ada orang-orang yang menyeru atau mengajak manusia ke Neraka Jahanam, sesiapa yang menyahut ajakan mereka, maka orang itu akan dicampakkan ke dalam Neraka itu. Aku berkata lagi: Wahai Rasulullah! Sifatkan mereka kepada kami. Rasulullah menjawab: Baiklah, mereka adalah sebangsa dengan kita dan berbahasa seperti bahasa kita. Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku masih hidup lagi ketika itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: KAMU HENDAKLAH BERSAMA DENGAN JEMAAH ISLAM DAN PEMIMPIN MEREKA. Aku bertanya lagi: Bagaimana sekiranya ketika itu umat Islam tidak mempunyai jemaah (kesatuan) juga tidak ada pemimpin? Rasulullah menjawab lagi dengan bersabda: Kamu hendaklah memencilkan diri kamu dari kumpulan mereka walaupun kamu terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggallah kamu di sana sehingga kamu mati dalam keadaan yang demikian.
Apakah Jemaah Islam?
Secara umumnya, Jemaah Islam merupakan satu institusi yang bergerak memperjuangkan Islam dari sebarang ancaman musuh-musuh Islam.Ia diperlukan untuk membina individu, keluarga, masyarakat, pemerintahan dan pelaksanaan undang-undang Islam.
Selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyah, di Turki maka umat Islam ibarat anak ayam yang kehilangan ibu. Kebingungan. Kelam-kabut kerana tiada pemimpin yang menjadi pusat kepada pemasalahan dan urusan umat Islam di seluruh wilayah Islam. Pendek kata, kekuatan umat Islam menjadi lemah dan tiada kesatuan.
Pada saat kejatuhan khilafah itu jugalah, tanah umat Islam Palestin jatuh ke tangan zionis Israel. Kesannya tertubuhnya Negara haram Israel. Mereka sebelum ini, melalui wakilnya Theodel Hertzel pernah berjumpa dengan khalifah Sultan Abdul Hamid II ingin membeli tanah umat Islam di Palestin. Namun, disebabkan kekuatan dan kuasa yang ada pada Sultan Abdul Hamid II maka baginda tidak membenarkan sama sekali.
Melihat keadaan umat Islam yang semakin lemah akibat tiadanya khilafah Islamiah, maka muncul ulama-ulama gerakan Islam yang mengumpul umat Islam yang sedar dalam satu Jemaah Islam. Jemaah islam yang dibentuk ini disusun dengan tanzim(organisasi) yang munazzomah(sistematik), sistem tarbiah yang berkesan untuk ahli anggotanya seterusnya menyusun strategi-strategi gerak kerja hingga menjadi sebuah gerakan Islam yang kuat!
Pembaca-pembaca budiman sekalian,
Ramai tokoh-tokoh gerakan Islam dunia. Antaranya, jika di Pakistan ialah Abu Ala Al-Maududi. Beliau memipin Jemaah Islam yang dinamakan sebagai Jami’at Islami. Ditubuh pada tahun 1940.
Di Mesir, As-syahid Hassan Al-Banna beliau menubuhkan Ikhwan Muslimin pada tahun 1928. Ikhwan Muslimin telah diharamkan oleh pemerintah. Namun, kuasa Allah mengatasi segalanya. Beberapa hari lepas (Mei 2011) Ikhwan Berjaya menubuhkan parti politiknya setelah jatuhnya rejim Hosni Mubarak.
Di Indonesia, Muhammad Nasir dengan Jemaah islam yang diberi nama Majlis Syura Muslimin (Masyumi).
Siapakah antara tokoh yang memimpin Jemaah Islam di tanah Melayu?
Untuk menerangkan berkaitan sejarah kewujudan Jemaah Islam di tanah Melayu, saya mungkin menulis agak panjang sedikit kerana itulah focus penulisan kali ini.
Antaranya ialah Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan Dr Burhanuddin Al-Helmi yang bekerja keras menubuhkan Jemaah Islam yang diberi nama Hizbul Muslimin (HM) pada tahun 1948. Hizbul adalah bahasa Arab yang bermaksud parti.
Pihak British terhidu dengan gerakan Jemaah Islam HM ini, maka mereka cuba untuk mematikan gerakan ini. Akhirnya, mereka mengambil kesempatan untuk mengharamkan HM dengan menguatkuasakan Ordinan Darurat pada Jun 1948 ketika kominis menyerang. Ulama-ulama ditangkap. Meskipun HM diharamkan, namun semangat dan gerak kerja Jemaah Islam ini tidak tidak pernah padam. Mereka terus bergerak meskipun dalam suasana yang menggigit.
Ulama-ulama yang ada di tanah Melayu ketika itu terus berusaha menggerakkan Jemaah Islam.Pada 23 Ogos 1951 mereka bersidang di Kuala Lumpur dan bersetuju menubuhkan persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya.
Pada satu persidangan ulamak Malaya di bagan Tuan Kecil (Butterworth) nama persatuan ini diubah dengan nama Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Akronim bagi nama PAS diambil dari ejaan jawi Pa, Alif dan Sin.
Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema ”Ulamak ke Jalan Allah” bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Alah.
Strategi bijak para ulama ketika itu dengan mendaftarkan Jemaah Islam PAS atas Parti Politik membolehkan mereka dapat memperjuangkan seluruh ajaran Islam baik ekonomi, politik, pendidikan dan lain-lain. Sekiranya mereka bergerak atas nama persatuan, mungkin gerak kerja memperjuangkan Islam akan terbatas. Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya.
Selain, Jemaah Islam PAS, terdapat juga Jemaah Islam lain yang wujud di tanah bertuah ini. Antaranya;
ABIM, ISMA, JIM (sekarang dikenali sebagai IKRAM),Tabligh, Hizbut Tahrir dan lain-lain lagi. Semuanya bermatlamatkan untuk memperjuangkan Islam di dunia ini. Kebanyakkannya mendaftarkan Jemaah Islam mereka atas nama Non-Government Organization (NGO).
Setiap Jemaah Islam yang ada ini juga menubuhkan jaringan-jaringan NGO mereka yang lain bagi melancarkan dan menyebar luaskan usaha dakwah mereka. Antara salah satu peranan jaringan tersebut bertujuan menyediakan satu platform untuk menarik golongan mahasiswa di university bersama-sama mereka.
Antaranya:
1) ABIM dengan PKPIM
2) ISMA dengan PEMBINA
3) JIM dengan KARISMA
Dan lain-lain.
-(sila google laman web setiap nama-nama di atas untuk maklumat lanjut)
Bagi Jemaah Islam PAS, mereka mungkin tidak dapat menzahirkan secara terang-terangan platform untuk para mahasiswa bersama mereka. Ini kerana pihak HEP university menguatkuasakan AUKU bagi menghalang mahasiswa terlibat dengan parti politik. Jadi sebagai jemaah Islam yang menampakkan identity parti politik,PAS menggunakan pendekatan lain berbanding Jemaah Islam yang ada untuk menarik para mahasiswa untuk bersama mereka.
Bagi saya sertailah mana-mana program yang dianjurkan oleh mana-mana Jemaah Islam ini. Yang baik kita sokong. Asalkan bermanfaat untuk dunia dan akhirat kita. saya sendiri, sertai pelbagai program-program yang dianjurkan oleh jemaah-jemaah Islam yang ada ini.
Namun, seperti mana tuntutan kewajipan berjemaah dalam hadis yang disebut sebelum ini, maka kita perlu memilih mana-mana Jemaah Islam yang ada untuk kita dokong. Pada pandangan saya jika sekadar sertai dan ikuti mana-mana program Jemaah islam itu, kita adalah penyokong. Sekiranya kita menjadi ahli dan memberikan komitmen kepada Jemaah Islam itu, maka kita adalah pendokong.
Untuk menjadi pendokong sesuatu Jemaah Islam itu, kita tidak boleh semberono atau kerana terpengaruh dengan orang lain. Tapi kita mestilah atas dasar kefahaman. Perlu benar-benar memahami ciri-ciri Jemaah Islam dan mengenali benar-benar Jemaah Islam tersebut melalui sejarah kewujudannnya.
Untuk berbincang perkara ini, saya tidak mampu untuk menulisnya. Mungkin pada masa lain. Saya syorkan anda untuk:
1) teruskan pembacaan buku. Antaranya bacalah buku Mengapa saya Menganut Islam yag ditulis oleh Dr Fathi Yakan (seorang tokoh dari Ikhwan Muslimin). Pada bahagian kedua buku tersebut ada disebut tentang ciri-ciri Jemaah Islam. Boleh baca juga buku dibawah.
2)Banyakkan perbincangan serta pertanyaan kepada para ustaz,rakan-rakan serta naqib usrah masing-masing. Berbincang dengan sihat dan dengan fakta yang jelas.
Nasihat saya pada adik-adik yang sering bertanya:
Jadilah penyokong bagi usaha-usaha dakwah setiap Jemaah Islam yang ada. Kemudian, untuk menjadi pendokong, fikirlah semasak-masaknya. Kemudian, buat keputusan melalui istikarah yang panjang. Insyallah anda akan temui jawapannya.
Wahai, tuhan, sesungguhnya aku telah menyampaikan, maka saksikanlah.
p/s: Sebarang cadangan serta teguran dari penulisan ini saya sangat alu-alukan.
4 comments:
Alhamdulillah sekiranya kita tercari-cari dan tertanya-tanya mengenai isu jemaah ini berbanding dengan mereka yang tidak cakna. Seperti yang penulis katakan untuk menjadi pendokong sesebuah jemaah perlu melalui suatu proses pemilihan.
Nasihat dan peringatan bersama supaya memilih atas dasar ilmu dan kefahaman bukan ikut-ikutan. Maknanya memilih setelah memahami ilmu memilih seperti memasak setelah memahami resepi dan cara untuk memasak. Malah dalam rukun baiah faham itu didahulukan sebelum ikhlas dan amal.
Menjadi pendokong sesebuah gerakan bukanlah suatu perkara mudah. Tanpa ilmu dan kefahaman, tidak mungkin pengorbanan dan ketaatan akan terhasil. Bimbang-bimbang futur yang menjemput.
wallahualam
alhamdulillah abe ana paham ckit akan ape yang abe cube sampaikan pada ana insyaallah ana cube praktikkan dalm kehidupn ...
wallahualam
cik hijau: enti benar.syukran atas pandangan yg baik
syakir: sama2 praktik dan sebar2kan apa yg baik.
syukran di atas pencerahan...=)
Post a Comment