Followers

Showing posts with label Cetusan Pemikiranku. Show all posts
Showing posts with label Cetusan Pemikiranku. Show all posts

Sunday, December 18, 2011

Low-cost Tamrin


" Semua peserta diwajibkan menyusun kasut dengan baik sebelum masuk dewan kuliah" titah seorang ajk displin.

Dialog di atas adalah salah satu dialog dalam tamrin yang pernah saya hadiri. Tamrin adalah perkataan bahasa arab yang bermaksud 'latihan' dalam Bahasa Malaysia. Dalam bahasa Inggeris dipanggil training.

Dalam sesebuah organisasi yang asasnya Islam atau bukan Islam elemen tamrin/training/latihan ini amat penting untuk meningkatkan kualiti ahlinya. Sepanjang pengalaman saya terlibat dalam bidang kepimpinan di sekolah dan kampus, saya pernah sertai kedua-dua jenis training/tamrin ini.

Ada satu pengalaman saya mengikuti tamrin bagi sebuah organisasi yang asasnya bukan Islam. Keadaannya amatlah mengecamukkan jiwa raga. Memang tidak boleh dilupakan. Doktrin yang diterapkan memang cukup menjadikan kita seorang yang liberal. Balik dari tamrin tersebut, saya perlu masa untuk memulihkan diri. Walaubagaimanapun, tamrin tersebut memberikan pengalaman yang bermakna dalam diri.


Dalam program-program tarbiah Islam, antara elemen penting adalah tamrin. Ia bertujuan untuk melatih para pendakwah dalam aspek-aspek tertentu. Sebagai contoh, dalam aspek displin.

Jadi dalam tamrin bermula dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara boleh dijadikan sebagai latihan mendisplinkan diri peserta. Antaranya dalam aspek displin pengurusan diri iaitu susun kasut dengan kemas sebelum masuk ke dalam dewan kuliah atau surau.

Dalam tamrin juga ingin melatih peserta memantapkan dari aspek kesihatan. Aktiviti-aktiviti riadah disusun. Pendek kata, tamrin ni sangat bermanfaat. Ia akan menjadikan seseorang itu menjadi fardil muslim yang soleh dan musleh yang menepati 10 muwasafat tarbiah.

Untuk menguruskan sesebuah tamrin bukanlah mudah. Kosnya juga amat tinggi. Biasanya kosnya mencecah ribuan ringgit. Kosnya mahal, semahal tarbiah yang terkandung di dalamnya. Justeru, kerana kosnya yang tinggi, ia hanya dibuat secara berkala.

Kemudian, timbul satu cita-cita dalam benak fikiran saya. Alangkah bagusnya jika tamrin ni dapat dijadikan sesuatu yang berterusan bagi seorang muslim terutama bagi yang bercita-cita untuk memperjuangkan agamanya.

Maka lahirlah idea Modul 'Low-cost tamrin'

'Low-cost tamrin' ini sebenarnya adalah satu menifestasi elemen-elemen tarbiah dalam tamrin yang diterjemahkan dalam kehidupan sehari seorang muslim. Semua elemen tarbiah yang dijalankan dalam tamrin dipraktikkan selepas tamat tamrin secara berperingkat.

Sebagai contoh, seperti yang saya tulis di atas tadi, di dalam tamrin peserta akan dilatih supaya menyusun kasut atau selipar yang pakai dengan kemas sebelum masuk ke dewan kuliah atau surau. Ia bertujuan untuk melahirkan seorang yang berdisplin dan tersusun hidupnya. Jadi dalam Modul 'Low-cost tamrin', peserta perlu cuba untuk melakukan perkara yang sama dalam kehidupan hariannya. Jadi selepas tamat tamrin yang dijalani, dia masih perlu menyusun selipar atau kasutnya dengan kemas setiap kali dia ingin masuk ke rumah atau apa sahaja.

Contoh lain adalah, di dalam tamrin peserta di minta untuk mematuhi masa yang ditetapkan. Jadi, dalam kehidupan hariannya dia juga perlu melatih dirinya supaya menepati masa.

Sekiranya, di dalam tamrin peserta diwajibkan untuk menghafal sekurang-kurangnya 1 ayat quran setiap hari, maka peserta juga perlu melatih dirinya untuk menghafal ayat Quran meskipun seminggu 1 ayat Al-Quran.

Dan banyak lagi elemen-elemen tarbiah dalam tamrin yang dapat dipraktikkan dalam kehidupan hariannya. Ia boleh dilakukan secara berperingkat.Sedikit demi sedikit.

Peserta terus menjalani elemen-elemen tarbiah dalam tamrin dalam kehidupannya seharian. Maka di sinilah yang akan membentuk fardil muslim dalam dirinya. Untuk melakukan segala elemen-elemen tamrin dalam kehidupan tidak memerlukan sebarang kos atau jika perlu pun kosnya mungkin sangat rendah berbanding tamrin yang sebenar. Inilah yang dimaksudkan Low-cost tamrin.

Dengan Modul Low-cost Tamrin juga dapat menjadikan segala elemen tarbiah dalam tamrin itu sekadar diamalkan ketika itu sahaja tetapi ia adalah sesuatu yang dihayati dalam kehidupan.

Saya amat merindui tamrin. Banyak perkara yang saya pelajari apabila menjadi peserta tamrin. Apabila saya menguruskan tamrin, saya mempelajari lebih banyak perkara lagi. Tamrin mengajar saya untuk menjadi seorang yang bersedia ditarbiah dalam masa sama bersedia mentarbiah.


Sesetengah orang amat tidak gemarkan tamrin kerana adakalanya elemen tarbiah dalam tamrin adakalanya 'menyakitkan' rohani dan jasmaninya. Mengekang hawa nafsunya. Manakan tidak, kadang-kadang dalam tamrin, peserta hanya dibenarkan tidur untuk tempoh yang terhad. Tetapi di rumah kita boleh tidur sepuas-puasnya.

Pengalaman saya mengikuti tamrin dari sekolah menengah hingga ke sekarang, banyak mengajar dan membentuk peribadi saya hari ini. Ada tamrin amat menyakitkan rohani dan jasmani saya. Pernah selepas satu tamrin yang saya hadiri membuatkan saya down. Ia amat menyakitkan. Apabila tarkiz tarbawi itu disentuh dengan tepat dalam tamrin, adakalanya ia amat menyakitkan. Ibarat mengikis karat pada besi. Kadangkala ia menyakitkan. Namun sakit itu sebenarnya ubat yang menyembuhkan. Mudah-mudahan karat jahiliah itu terlerai.

Inilah nature tarbiah. Adakalanya ia menyakitkan, adakalanya ia menggembirakan. Namun di akhirnya akan menjadikan seseorang itu dari seorang muslim biasa kepada manusia yang luar biasa!

Rinduilah tamrin

rijal tarbawi-bertamrin bersama sahabat alumni sekolah (AMAL).

~oh, rindunya

Saturday, November 12, 2011

Baitul Muslim: "Enta bila lagi?"

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih dan Lagi Maha Penyayang.


Baitul Muslim?


Tiba-tiba saya menulis berkaitan baitul muslim. Buat masa ini, saya seakan sedang diasak dengan persoalan-persoalan baitul muslim. Persoalan tersebut datang dari pelbagai arah pelbagai orang. Ini kerana pada usia saya kini, memang sudah biasanya masyarakat sudah mula berfikir berkaitan baitul muslim. Maka, saya rasa saya perlu menulis sedikit sebanyak berkaitan perkara tersebut.

Di kampus, seorang sahabat baik saya Zhafran baru mendirikan rumah tangga. Dia menikah pada raya kedua yang lalu. Syukur segalanya berjalan lancar. Atas dasar ukhuwaah , saya cuba sedaya upaya untuk hadir ke majlis tersebut. Saya mengambil tiket bas dari Perak ke Kelantan dan Alhamdulillah sampai subuh hari akad nikah.

Bergambar bersama Zhafran sebelum bertolak ke rumah pengantin perempuan. Kalau di kampus, pensyarah dan staf selalu tertukar antara saya dan dia. Memang selalu pensyarah tersilap panggil saya dengan nama Zhafran. Ketika majlis akad nikah tu pun ada seorang ahli keluarga pengantin perempuan bertanya kepada saya, " ni adik beradik pengantin juga ko?".

Sepanjang majlis tersebut, saya melihat betapa gembiranya sahabat saya tersebut setelah selesai angkat nikah. Waktu yang paling mencabar adalah ketika seseorang itu ingin melafazkan akad nikah di hadapan kadi. Semasa sahabat saya angkat nikah, saya berada di tepinya bersama adik beradiknya yang lain. Entah kenapa, masa saya tengok sahabat saya angkat nikah, dada saya berombak, berdebar. Sungguh suspen.

"Patutlah ramai pengantin lelaki tergagap-gagap angkat nikah, aku yang tengok ni pun dah berdebar" bisik saya dalam hati sambil berdoa supaya Allah permudahkan sahabat saya itu.

Saya pun tidak pasti kenapa saya yang berdebar tapi hakikatnya pelbagai perasaan datang bila saya lihat sahabat saya berada di hadapan kadi tersebut. Risau, resah, takut semua hadir bercampur baur dalam hati. Memang perkahwinan ni bukan perkara yang boleh buat main.

Selepas tamat majlis nikah, sahabat saya mengimamkan solat sunat. Makmumnya adalah seorang wanita yang telah menjadi isterinya yang sah.

" Aku tak percaya lagi...aku tak percaya ni...hahaha" seloroh sahabat saya selepas selesai majlis akad nikahnya. Tangannya sejuk seperti mayat. Saya dan rakan-rakan lain tertawa.

Selepas majlis akad nikah selesai, saya bersama rombongan pengantin lelaki pergi ke rumah pengantin perempuan. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.


Balik Kampus

Ramai sahabat-sahabat, adik-adik usrah dan pensyarah-pensyarah yang mengucapkan tahniah kepada sahabat saya tersebut. Memang seronok.

Cuma.......

Apabila setiap kali orang mengucapkan tahniah pada sahabat saya tersebut, soalan kedua yang dia akan tanya ialah:

" Abg ehsan bila pula?"

" Zhafran dah, enta bila pula? "

" Enta bila pula sheikh?"

Aduh...aku terpana bila ditanya soalan ini hingga kadang-kadang bila ada orang ucapkan tahniah pada sahabat saya itu, saya cepat-cepat menjauhkan diri. Takut kena tanya.

Pernah sekali saya pergi ke koperasi, terserempak dengan pensyarah, Ust Asad.

" Dengar kata Zhafran dah berkahwin?" Ust bertanya.

" Ya ust, Alhamdulillah. Raya kedua baru ni" saya menjawab.

" Ehsan pun tak lama lagi dah kan?" 'soalan pakej' yang saya agak akan keluar.

" Err..insyallah ust. Doa-doakan ana ust" saya menjawab dengan ayat 'play safe'.

Pernah juga, dalam satu majlis bacaan yasin di pusat Islam. Seorang adik usrah mengetuai majlis tersebut mengumumkan menggunakan microfon:

" Tahniah kepada abang Zhafran yang baru kahwin. Cuma abang Ehsan ja belum lagi....bla bla..."

panjang lagi sebenarnya dia hurai. Rasa macam tak sanggup nak tulis di sini.

Kadang-kadang jadi pening juga nak menjawab bila semua orang ucapakan tahniah pada Zhafran atas perkahwinannya, kemudian orang akan bertanya pada saya pula. Termasuklah dalam Facebook. Seolahnya, jika Zhafran berkahwin maka saya pula akan menyusul selepas itu.

Jadi, untuk setiap pertanyaan tersebut, saya dah ready dengan jawapan yang standard. Biasanya saya akan menjawab:

" Insyallah, doa-doakan"

sambil tersenyum sambil buat muka macam orang yang tak bersalah. Jawapan 'play safe'.

Bagi saya persoalan perkahwinan atau baitul muslim sangat besar. Ia merupakan maratib amal yang kedua selepas pembentukan fardil muslim. Saya memahami perkara ini sejak terlibat dengan gerakan dakwah semasa di sekolah menengah dulu lagi.

Saya faham bahawa, baitul muslim amat peting bagi kehidupan daie. Sebab itulah sejak dari sekolah menengah lagi saya selalu mengamalkan doa ini:


Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami yang sejuk mata memandang dan jadikanlah kami Imam ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa- Al-Furqan : 74

Doa ini saya bukan baca setakat untuk dapatkan isteri atau anak-anak yang soleh sahaja. tetapi doa diniatkan juga kepada ibu bapa dan adik-adik saya supaya mereka termasuk dalam golongan yang sejuk mata mandang dan berjuang untuk Islam.

Pembinaan baitul muslim perlukan persediaan. Tambah-tambah bagi yang lelaki. Persedian untuk menjadi suami memerlukan pelbagai persedian baik dari segi material mahupun peribadi. Suami adalah ketua keluarga. Dia perlu menjadi contoh tauladan yang baik pada isteri dan anak-anaknya dalam semua aspek. Contoh dari sudut akhlak, ibadah, pengurusan diri, ilmu dan lain-lain.

Pada pandangan saya, peranan seorang ketua keluarga bukan sekadar memberikan nafkah zahir dan batin tetapi dia berperanan untuk memimpin isteri dan anak-anaknya supaya semuanya selamat di dunia dan akhirat. Dia perlu menjadi guru untuk isteri dan anak-anaknya. Dia harus mentarbiah mereka supaya akhirnya semua dapat bertemu di syurga Allah kelak dan selamat dari api neraka. Seperti kata Ust Hazrizal (saifulislam.com) : "Bercinta Sampai ke Syurga"

Memandangkan besarnya peranan seorang suami ini, saya menjadi susah hati dan berusaha untuk mempersiapkan diri bermula sekarang.

Mungkin kita tak tahu bila tarikhnya, siapa jodohnya dan di mana tempat kahwinnya tapi yang penting kita perlu sentiasa bersedia dan melengkapkan diri.

" Orang lelaki ni dia tak boleh berubah sebab malu pada isteri tapi dia kena berubah kerana Allah. Sebab dia 'bos' dalam keluarga. Dia boleh buat apa yang dia suka " emak saya memberi nasihat bila saya mengadu padanya berkaitan kesediaan saya untuk tidak berbaitul muslim lagi buat masa ni lantaran banyak akhlak-akhlak buruk dan kelemahan yang masih banyak dalam diri.

Apa yang mak cuba sampaikan adalah, perubahan yang dibuat sebab malu pada isteri takkan kekal lama. Sebab orang lelaki dia ketua keluarga. Ada egoya sendiri. Istilah mudahnya, 'Ikut suka dialah nak buat apa'.

Tambahan pula kos untuk berkahwin sekarang bukan main tinggi lagi. Kata orang 'tak cukup 10ribu jangan mimpi nak kahwin'. Kata mak: "you are not born with silver spoon". Bila mak cakap macam tu, saya fahamlah apa yang dia nak cuba sampaikan.

Buat masa ni, saya merasakan pada usia yang sangat muda ni banyak perkara yang perlu di teroka dan dipelajari. Saya sudah menyusun perancangan hidup 5 tahun secara explicit dan 10 tahun secara umum. Hidup kena bercita-cita besar untuk umat. Saya selalu bercerita pada mak perancangan-perancangan hidup saya selepas ni.

" Ehsan ni bercita-cita besar. Kena cari isteri yang macam 'Siti Khatijah' " kata emak bergurau.

Bagi sahabat saya, jodol Zhafran mungkin awal. Itu takdir terbaik yang Allah tetapkan untuk dia. Bagitu juga naqib usrah kami, Akh Hafez Sabri yang baru sahaja mendirikan baitul muslim lebih kurang sebulan lebih awal sebelum Zhafran.

Beliau sering berkongsi pengalaman kehidupannya selepas berbaitul muslim. Bila dengar, saya simpan, ambil pengajaran, buat bekal satu masa nanti. Banyak pandangan-pandangan berkaitan baitul muslim yang dia beri pada saya. Memang bermanfaat.

Dalam kesibukan naqib saya di medan amal Islami itu, saya harap dia dapat terus membantu untuk urusan baitul muslim saya. Amin.

Kenangan bersama naqib tersayang, Akh Hafez Sabri di Masjid Shah Alam semasa berjaulah ke Shah Alam untuk urusan dakwah kami


p/s: saya harap post kali ini dapat sikit sebanyak menjawab pertanyaan sahabat-sahabat yang tak pernah jemu-jemu bertanya " Zhafran dah kawen, enta bila lagi?" ('',)

Friday, May 27, 2011

Mari Menjadi Penyokong dan Pendokong





Dengan Allah yang Hakeem.



Assalamualaikum.

Apa khbar semua? semoga sentiasa dalam rahmat Allah dan Limpahan kasih sayangnya. Penulisan kali ini mungkin agak berat. Tetapi saya permudahkan dalam bentuk penceritaan pengalaman. Supaya anda dan 'orang-orang' tertentu dapat dengan mudah. ehem2x...

Bagaimana nak mula ya...

Begini, sejak kebelakangan ini, ada adik-adik junior di kampus bertanya kepada saya berkaitan satu soalan. Soalan yang saya pun tidak tahu bagaimana mereka boleh tahu. Pelik juga. Manakan tidak pelik, tiba-tiba keluar soalan tersebut. Walaupun pelik tapi rasional.

Pernah satu ketika, adik usrah saya Syafiq yang sedang berlajar di Universiti Warwick, UK pun selalu bertanya persoalan ini. Dia kerap menelefon saya untuk meminta pandangan. Entahlah berapa banyak kredit yang dia terpaksa guna untuk setiap kali panggilan.

Bahkan seketika tadi pun ada adik-adik lagi yang bertanya.

Saya termenung seketika.

Rupanya ramai yang berminat sangat berkaitan perkara ini. Mungkin banyak sangat persoalan tidak terjawab yang bermain di dalam kepala. Seperti yang pernah saya alami satu ketika dulu. Saya seperti orang bingung dalam mencari jawapan untuk persoalan-persoalan tersebut. Ramai orang saya rujuk. Telefon sana telefon sini. Maka apa yang adik-adik junior saya alami sekarang ini, saya dapat merasakannya.

Oleh itu, saya buat keputusan untuk menulisnya di dalam blog. Mudah-mudahan ada pencerahan yang bermanfaat untuk semua.

*****


" Akh Esan, betul ke dulu akh pernah join ISMA(Ikatan Muslimin Malaysia) dulu? " tanya seorang adik. Direct. Padat. Padu. Tiada muqadimah.


" Eh, tahu mana? " tanya saya kepelikkan sambil menjaga ke-macho-an yang berbaki pada wajah. Riak wajah terkejut cuba disorok.

" Ada ‘XYZ’ yang beritahu, " adik tersebut menjawab. XYZ itu merupakan salah seorang penyokong dan pendokong ISMA hingga kini. Kebanyakkan adik beradiknya merupakan orang-orang hebat ISMA negeri Perak. Saya pun tidak pasti apa tujuan XYZ beritahu kepada adik-adik bahawa saya pernah ikuti program-program ISMA.

Saya mengangguk tanda membenarkan persoalan tersebut. Saya join program-program ISMA ketika itu dengan mengenali NGO tersebut masih dengan nama Ikatan Siswazah Muslim Malaysia lagi. Kini namanya adalah Ikatan Muslimin Malaysia. Walaupun berubah akronim ‘ISMA’ masih dikekalkan.

Bukan setakat itu sahaja, saya juga pernah sertai program-program PEMBINA (Persatuan Belia Islam Nasional). PEMBINA adalah salah satu NGO yang mempunyai kerjasama dengan ISMA.

Bahkan pernah satu ketika, saya dijemput oleh naqib usrah saya untuk sertai program PEMBINA di shah Alam. Beliaulah yang membawa saya dengan keretanya hingga ke Shah Alam. Sebelum pergi, saya pun tidak jelas bentuk program tersebut. Saya hanya diminta pergi. Sebagai seorang yang sangat meminati program-program Ilmu, saya pergi tanpa banyak soal. Setibanya saya disana, rupa-rupanya ia adalah program PEMBINA peringkat pusat. Setiap negeri menghantar beberapa orang perwakilan yang terpilih sahaja. Yang menariknya, saya yang kerdil ini adalah salah seorang dari perwakilan PEMBINA Perak! Wah!


" kenapa sekarang dah tak join?" adik tersebut sambung bertanya.

Saya menjelaskan kepadanya saya sudah tidak join program-program ISMA kerana terlalu banyak komitmen. Banyak perkara yang perlu difokuskan. Saya semakin kurang mengikuti program-program ISMA ketika memegang jawatan sebagai Naib Yang Dipertua JPP. Diamanahkan sebagai NYDP memerlukan komitmen yang tinggi. Tambahan pula ketika itu, pernah satu ketika sebagian besar dari kepimpinan JPP sedang berpraktikum termasuk YDP. Maka saya dan rakan-rakan JPP yang lainlah terpaksa backup.

Kemudiannya, saya memegang diamanahkan sebagai Timb II Exco Biro Agama dan Kerohanian JPP. Jadi, saya perlu utamakan program-program kampus. Maka, kekangan-kekangan ini antara factor membuatkan saya semakin tidak sempat sertai program-program ISMA. Namun saya sentiasa mengikuti perkembagan ISMA melalui laman webnya.

Mengapa soalan ini ditanya?

Persoalan ini adalah satu rentetan kepada satu topic yang sangat besar. Jika di dalam buku Dr Fathi Yakan Maza Yakni Intima’I fil Islam(Mengapa Saya Menganut Islam) topic ini ditulis dalam bahagian kedua buku tersebut. Ia adalah berkaitan Jemaah Islam. Kewajipan untuk menyertai Jemaah Islam turut diulas.

Dalam sebuah hadis sahih riwayat Muslim yang panjang (hadis ke-3434) ada disebut berkaitan kewajipan bersama Jemaah Islam ini.

Huzaifah bin Al-Yaman r.a katanya:
Manusia sering bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat kerana aku takut ia akan menimpa diriku, lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan (kebenaran), adakah selepas kebenaran ini akan berlaku pula kejahatan? Rasulullah menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah akan berlaku pula kebaikan selepas kejahatan itu? Rasulullah menjawab: Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan. Aku bertanya apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dan perselisihan itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Iaitu satu kaum yang tidak beramal dengan sunnahku dan mengikuti selain dari jalanku, di antara mereka itu ada yang kamu kenal dan ada yang kamu tidak mengenalinya. Aku bertanya lagi: Adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu? Rasulullah menjawab: Ya, ketika itu ada orang-orang yang menyeru atau mengajak manusia ke Neraka Jahanam, sesiapa yang menyahut ajakan mereka, maka orang itu akan dicampakkan ke dalam Neraka itu. Aku berkata lagi: Wahai Rasulullah! Sifatkan mereka kepada kami. Rasulullah menjawab: Baiklah, mereka adalah sebangsa dengan kita dan berbahasa seperti bahasa kita. Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku masih hidup lagi ketika itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: KAMU HENDAKLAH BERSAMA DENGAN JEMAAH ISLAM DAN PEMIMPIN MEREKA. Aku bertanya lagi: Bagaimana sekiranya ketika itu umat Islam tidak mempunyai jemaah (kesatuan) juga tidak ada pemimpin? Rasulullah menjawab lagi dengan bersabda: Kamu hendaklah memencilkan diri kamu dari kumpulan mereka walaupun kamu terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggallah kamu di sana sehingga kamu mati dalam keadaan yang demikian.

Apakah Jemaah Islam?

Secara umumnya, Jemaah Islam merupakan satu institusi yang bergerak memperjuangkan Islam dari sebarang ancaman musuh-musuh Islam.Ia diperlukan untuk membina individu, keluarga, masyarakat, pemerintahan dan pelaksanaan undang-undang Islam.

Selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyah, di Turki maka umat Islam ibarat anak ayam yang kehilangan ibu. Kebingungan. Kelam-kabut kerana tiada pemimpin yang menjadi pusat kepada pemasalahan dan urusan umat Islam di seluruh wilayah Islam. Pendek kata, kekuatan umat Islam menjadi lemah dan tiada kesatuan.

Pada saat kejatuhan khilafah itu jugalah, tanah umat Islam Palestin jatuh ke tangan zionis Israel. Kesannya tertubuhnya Negara haram Israel. Mereka sebelum ini, melalui wakilnya Theodel Hertzel pernah berjumpa dengan khalifah Sultan Abdul Hamid II ingin membeli tanah umat Islam di Palestin. Namun, disebabkan kekuatan dan kuasa yang ada pada Sultan Abdul Hamid II maka baginda tidak membenarkan sama sekali.

Melihat keadaan umat Islam yang semakin lemah akibat tiadanya khilafah Islamiah, maka muncul ulama-ulama gerakan Islam yang mengumpul umat Islam yang sedar dalam satu Jemaah Islam. Jemaah islam yang dibentuk ini disusun dengan tanzim(organisasi) yang munazzomah(sistematik), sistem tarbiah yang berkesan untuk ahli anggotanya seterusnya menyusun strategi-strategi gerak kerja hingga menjadi sebuah gerakan Islam yang kuat!

Pembaca-pembaca budiman sekalian,

Ramai tokoh-tokoh gerakan Islam dunia. Antaranya, jika di Pakistan ialah Abu Ala Al-Maududi. Beliau memipin Jemaah Islam yang dinamakan sebagai Jami’at Islami. Ditubuh pada tahun 1940.

Di Mesir, As-syahid Hassan Al-Banna beliau menubuhkan Ikhwan Muslimin pada tahun 1928. Ikhwan Muslimin telah diharamkan oleh pemerintah. Namun, kuasa Allah mengatasi segalanya. Beberapa hari lepas (Mei 2011) Ikhwan Berjaya menubuhkan parti politiknya setelah jatuhnya rejim Hosni Mubarak.

Di Indonesia, Muhammad Nasir dengan Jemaah islam yang diberi nama Majlis Syura Muslimin (Masyumi).

Siapakah antara tokoh yang memimpin Jemaah Islam di tanah Melayu?

Untuk menerangkan berkaitan sejarah kewujudan Jemaah Islam di tanah Melayu, saya mungkin menulis agak panjang sedikit kerana itulah focus penulisan kali ini.

Antaranya ialah Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan Dr Burhanuddin Al-Helmi yang bekerja keras menubuhkan Jemaah Islam yang diberi nama Hizbul Muslimin (HM) pada tahun 1948. Hizbul adalah bahasa Arab yang bermaksud parti.

Pihak British terhidu dengan gerakan Jemaah Islam HM ini, maka mereka cuba untuk mematikan gerakan ini. Akhirnya, mereka mengambil kesempatan untuk mengharamkan HM dengan menguatkuasakan Ordinan Darurat pada Jun 1948 ketika kominis menyerang. Ulama-ulama ditangkap. Meskipun HM diharamkan, namun semangat dan gerak kerja Jemaah Islam ini tidak tidak pernah padam. Mereka terus bergerak meskipun dalam suasana yang menggigit.

Ulama-ulama yang ada di tanah Melayu ketika itu terus berusaha menggerakkan Jemaah Islam.Pada 23 Ogos 1951 mereka bersidang di Kuala Lumpur dan bersetuju menubuhkan persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya.

Pada satu persidangan ulamak Malaya di bagan Tuan Kecil (Butterworth) nama persatuan ini diubah dengan nama Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Akronim bagi nama PAS diambil dari ejaan jawi Pa, Alif dan Sin.

Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema ”Ulamak ke Jalan Allah” bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Alah.

Strategi bijak para ulama ketika itu dengan mendaftarkan Jemaah Islam PAS atas Parti Politik membolehkan mereka dapat memperjuangkan seluruh ajaran Islam baik ekonomi, politik, pendidikan dan lain-lain. Sekiranya mereka bergerak atas nama persatuan, mungkin gerak kerja memperjuangkan Islam akan terbatas. Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya.

Selain, Jemaah Islam PAS, terdapat juga Jemaah Islam lain yang wujud di tanah bertuah ini. Antaranya;

ABIM, ISMA, JIM (sekarang dikenali sebagai IKRAM),Tabligh, Hizbut Tahrir dan lain-lain lagi. Semuanya bermatlamatkan untuk memperjuangkan Islam di dunia ini. Kebanyakkannya mendaftarkan Jemaah Islam mereka atas nama Non-Government Organization (NGO).

Setiap Jemaah Islam yang ada ini juga menubuhkan jaringan-jaringan NGO mereka yang lain bagi melancarkan dan menyebar luaskan usaha dakwah mereka. Antara salah satu peranan jaringan tersebut bertujuan menyediakan satu platform untuk menarik golongan mahasiswa di university bersama-sama mereka.

Antaranya:

1) ABIM dengan PKPIM

2) ISMA dengan PEMBINA

3) JIM dengan KARISMA

Dan lain-lain.


-(sila google laman web setiap nama-nama di atas untuk maklumat lanjut)


Bagi Jemaah Islam PAS, mereka mungkin tidak dapat menzahirkan secara terang-terangan platform untuk para mahasiswa bersama mereka. Ini kerana pihak HEP university menguatkuasakan AUKU bagi menghalang mahasiswa terlibat dengan parti politik. Jadi sebagai jemaah Islam yang menampakkan identity parti politik,PAS menggunakan pendekatan lain berbanding Jemaah Islam yang ada untuk menarik para mahasiswa untuk bersama mereka.

Bagi saya sertailah mana-mana program yang dianjurkan oleh mana-mana Jemaah Islam ini. Yang baik kita sokong. Asalkan bermanfaat untuk dunia dan akhirat kita. saya sendiri, sertai pelbagai program-program yang dianjurkan oleh jemaah-jemaah Islam yang ada ini.

Namun, seperti mana tuntutan kewajipan berjemaah dalam hadis yang disebut sebelum ini, maka kita perlu memilih mana-mana Jemaah Islam yang ada untuk kita dokong. Pada pandangan saya jika sekadar sertai dan ikuti mana-mana program Jemaah islam itu, kita adalah penyokong. Sekiranya kita menjadi ahli dan memberikan komitmen kepada Jemaah Islam itu, maka kita adalah pendokong.

Untuk menjadi pendokong sesuatu Jemaah Islam itu, kita tidak boleh semberono atau kerana terpengaruh dengan orang lain. Tapi kita mestilah atas dasar kefahaman. Perlu benar-benar memahami ciri-ciri Jemaah Islam dan mengenali benar-benar Jemaah Islam tersebut melalui sejarah kewujudannnya.

Untuk berbincang perkara ini, saya tidak mampu untuk menulisnya. Mungkin pada masa lain. Saya syorkan anda untuk:

1) teruskan pembacaan buku. Antaranya bacalah buku Mengapa saya Menganut Islam yag ditulis oleh Dr Fathi Yakan (seorang tokoh dari Ikhwan Muslimin). Pada bahagian kedua buku tersebut ada disebut tentang ciri-ciri Jemaah Islam. Boleh baca juga buku dibawah.


2)Banyakkan perbincangan serta pertanyaan kepada para ustaz,rakan-rakan serta naqib usrah masing-masing. Berbincang dengan sihat dan dengan fakta yang jelas.

Nasihat saya pada adik-adik yang sering bertanya:

Jadilah penyokong bagi usaha-usaha dakwah setiap Jemaah Islam yang ada. Kemudian, untuk menjadi pendokong, fikirlah semasak-masaknya. Kemudian, buat keputusan melalui istikarah yang panjang. Insyallah anda akan temui jawapannya.

Wahai, tuhan, sesungguhnya aku telah menyampaikan, maka saksikanlah.

p/s: Sebarang cadangan serta teguran dari penulisan ini saya sangat alu-alukan.

Tuesday, May 17, 2011

Rumah Baru Si Anak


Dengan Nama Allah, tuhan yang satu.

Lama blog ini lama tidak diconteng sesuatu. Pada hari ini cuba sedaya upaya untuk menulis.Dalam kekangan masa yang ada, mungkin contengan dalam blog kali ini akan express.

Saya sekadar untuk berkongsi satu analogi. Analogi ini khas untuk orang tertentu yang faham. Mungkin anda.

Rumah Baru Si Anak

Al-Kisah.Ada seorang suami isteri.Si suami adalah seorang kerani dan si ibu adalah seorang suri rumah. Punya anak ana tiga orang. Gaji si suami sekadar seribu ringgit lebih. Cukup-cukup makan untuknya sekeluarga. Cukup-cukup untuk bayar ansuran rumah untuk mereka berteduh.

Dari anak pertama hingga anak ketiga, di rumah itulah tempat mereka bertedung. dari hujan panas. Dari terik mentari. Di rumah itulah tempat si ibu mendidik anak-anak. Pendek kata, rumah itu adalah segalanya untuk mereka sekeluarga. Si ayah, si ibu dan 3 orang beradik itu.

Dalam gaji yang terbatas, dan kos sara hidup yang semakin tinggi, si ayah dengan susah payahnya cuba untuk menyara keluarga. Si anak semakin dewasa, Keperluan mereka semakin banyak. Mereka juga sudah mula berfikir sebagai seorang dewasa. Punya rasa malu.

Apabila si anak melihat rumah teres keluarga mereka, timbul rasa malu. Al-Maklumlah, rumahnya sudah usang.Sudah berusia puluhan tahun.

Mulalah timbul dihatinya, kritikan-kritikan pada ayah mereka kerana malu dengan keadaan rumah mereka.

"Sepatutnya ayah belilah rumah baru"

" Orang sekarang dah tinggal rumah macam ni"

" Berlubang sana...berlubang sini"

"bla2...."

Si ayah hanya memendam rasa. Mungkin si anak tidak tahu kekangan2 yang dihadapi oleh si ayah.

Hinggalah satu ketika, bila anak sulung itu mula bekerja.Sudah bergaji. Dia membeli rumah baru, kemudian dia mengajak dua orang adiknya untuk tinggal sekali. Perkara ini tidak pernah dibincangkan bersama dengan mak ayah mereka. Tidak pernah dibawa naik dalam meeting keluarga. Tiba-tiba sahaja.

katanya, rumah baru ini lebih indah. lebih baik. Tidak ada lubang di sana sini. Bak kata orang, rumah baru ini tersangatlah mantap! Serba serbi mantap!


Si ayah dan ibu kecil hati. Apalah salahnya jika dibawa bincang dalam meeting keluarga dahulu. Apalah salahnya jika rumah sedia ada diubah suai supaya menjadi lebih baik? Boleh mereka tinggal bersama.

Buruk betul akhlak si anak. Bukankah masih ada ibu dan ayah mereka yang patut dihormati dan dirujuk.

Egonya si anak seolah-olah rumah baru yang mereka baru beli itu satu masa nanti tidak akan buruk, tidak akan berlubang di sana sini.





Sunday, November 7, 2010

Memujuk Hati

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih.

Hati ini sifatnya sentiasa berbolak-balik. Ada ketikanya ia boleh menjadi tukang bisik ke pada tuan empunya diri kepada kebaikan. Ada masa, hati juga boleh jadi tukang bisik kepada kejahatan pada tuan badan. Namun, ada kalanya hati itu ia tidak membisikkan, tetapi ia dibisikkan. Hati itu sasaran bisikan para syaiton seperti yang Allah sebut dalam surah An-Nas.

Oleh itu, hati itu perlu dijaga, dipagar, diubati dan dibelai. Pendek kata, hati itu perlu disayangi.

dalam hidup ini, hati perlu ditarbiah untuk sentiasa bersangka baik terhadap Allah. Ia perlu dipujuk dan kadang-kadang kala dipaksa utk bersangka baik dengan Allah.

Memujuk Hati sentiasa bersangka baik kepada Allah.


Pernah satu ketika, adik usrah saya kehilangan handphone yang sangat mahal. Harga handphone tersebut mencecah lebih RM1 ribu. Terasa ada awan mendung di hatinya.

Untuk memujuk hatinya, saya memberikan analogi.

" Katakanlah kalau ana bagi enta pinjam moto ana pada enta dan sepanjang ana pinjamkan moto tersebut pada enta, enta gunakan sebaiknya. dengan moto tersebut enta bawa pergi kuliah setiap pagi, bawa pergi masjid dan lain-lain lagi. Kemudian, satu masa ana cakap ana nak ambik balik motor yang ana pinjamkan pada enta, enta rasa macam mana?"

" Ana tak rasa apa-apa. Ana akan ucapkan terima kasih pada abang".

" Enta tak marah pada ana sebab ambik balik motor tersebut?"

" Nak marah buat apa. Abang dah pinjamkan motor tu pun dah kira terima kasih sangat" jawabnya ringkas.

" Macam tu juga handphone yang hilang tu. Sekarang ni, handphone tu sebenarnya dari siapa?"

" Handphone tu Allah yang pinjamkan. Kalau ikutkan semua benda kat dunia ni pinjaman Allah"

" Ha, jadi bila sekarang ni Allah ambil semula handphone tu dari kita semula, adakah kita perlu rasa sedih? Kita sepatutnya berterima kasih pada Allah kerana selama ni Dia telah beri pinjamkan pada enta handphone tersebut"


*****

Hidup ini tidak selalunya senang. Sering diuji. Allah sering menguji manusia. Melihat tahap keimanan hambanya.

Bila diuji, hati ini perlu sentiasa dipujuk. Dipujuk untuk sentiasa bersangka baik pada Allah.


Atau kadang-kadang ia perlu dipaksa untuk bersangka baik.


Wallahua'alam.

"dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." Albaqarah: 216

Katakanlah, "Ibadahku, hidupku, matiku hanya untuk tuhan semesta alam"