Followers

Showing posts with label Catatan hidup. Show all posts
Showing posts with label Catatan hidup. Show all posts

Sunday, April 1, 2012

Cermin Mata Mukmin


Dengan Nama Allah yang Maha Besar

Alhamdulillah pada ketika ini Allah mengizinkan saya meneruskan coretan di blog ini. Memang sudah lama tidak menulis sesuatu di sini kerana saya banyak menggunakan facebook sebagai medium saya menyampaikan mesej. Sebab itulah saya menganggap facebook saya sebagai 'My second Blog'

Sebenarnya apa yang saya tulis di facebook adalah sesuatu yang bersifat umum dan saya menulisnya dengan lebih berhati-hati.Tetapi di dalam blog ini saya lebih bersifat khusus. Sebab itulah saya seboleh-boleh tidak mahu umum ramai yang tahu kewujudan blog ini.Terutamanya dikalangan guru-guru atau rakan-rakan satu sekolah. Bagi saya, blog ini jika boleh hanya dibaca oleh kenalan-kenalan saya sahaja. Sekadar berkongsi cerita dan rasa.

Untuk kali ini saya terasa sedikit kekuatan untuk menulis berkaitan 'cermin mata mukmin'.
Ia adalah berkenan bagaimana kita melihat perkara yang berlaku dalam hidup kita. Jika kita melihat hidup ini dengan menggunakan cermin mata seorang mukmin maka tindakan yang kita buat dalam hidup kita juga akan seperti seorang mukmin. Jika kita melihat hidup ini dengan cermin mata seorang yahudi, maka hidup kita akan seperti seorang yahudi dan begitulah selanjutnya.

Untuk permulaan ini, saya ingin berkongsi kisah yang saya pernah dengar dari ceramah yang disampaikan oleh seorang ustaz:
Ada dua orang perkerja buruh binaan.Pekerja A dan B. Mereka sedang menyiapkan projek perumahan. Pekerja A bekerja dengan hati yang berat. Mukanya bekerut menahan letih dan bosan bekerja sebagai seorang buruh. Mulutnya berkumat-kamit mengeluh dengan kesempitan hidup. Katanya, gaji rendahlah, penatlah dan lain-lain lagi.

Pekerja B lain pula ceritanya. Dia bekerja dengan hati yang berbunga. Senyumnya sampai ke telinga. Sambil-sambil berkerja menyusun bata dan menyapu simen pada dinding dia menyanyi-nyanyi kegembiraan seorang diri. Kepanasan mentari yang menggigit tidak membuatnya mengeluh.

Keadaan yang ditunjukkan oleh pekerja B jarang berlaku. Rata-rata pekerja buruh binaan lain sifatnya seperti pekerja A. Maka pekerja B ditanya apa yang membuatnya begitu gembira sepanjang melakukan kerja-kerja binaan.

Katanya," semasa saya sedang membuat rumah saya membayangkan rumah yang akan siap nanti. Saya membayangkan keluarga yang akan tinggal di dalam rumah ini. Mereka tentu gembira. Semasa saya sedang membina bahagian dapur, saya membayangkan tempat inilah yang akan menjadi tempat ahli keluarga pemilik rumah ini duduk bersama-sama makan sekeluarga. Sudah pasti anak-anaknya akan gembira"

Pembaca sekalian, ciri-ciri yang ada pada pekerja A. Dia melihat sesuatu dalam hidupnya dengan menggunakan cermin mata seorang mukmin. Seorang mukmin sifatnya suka membahagiakan orang lain kerana mereka menjadi hablumminannas (hubungan sesama makhluk). Jadi bila dia membina rumah tersebut, maka diniatkan dalam hati aku buat ini supaya memudahkan urusan orang lain.


Jadi bagaimana kita?


Saya ingin berkongsi pengalaman hidup saya. Mudah-mudahan jika baik boleh dijadikan saham saya untuk diletakkan dalam beg bekalan saya menuju ke akhirat kelak. Harap-harapnya, jika ada yang amal saya boleh dapat pahala.

Kisah 1
Saya dipostingkan ntuk mengajar di Sarawak. Semasa dapat tahu mengajar di Sarawak berasa gembira. Padahal ada sebagian rakan-rakan saya mengeluh dan kesedihan kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga. Meskipun ketika saya belum tahu bagaimana keadaaan sekolah itu, saya tetap gembira. Dalam pemikiran saya terbentuk dua perancangan. Jika saya dihantar ke sekolah kawasan bandar, maka itu peluang saya untuk menggerakkan dakwah di sana. Mungkin boleh menubuhkan usrah di kawasan tersebut.

Perancangan yang kedua pula, sekiranya saya dihantar ke sekolah pendalaman yang membuatkan saya sukar untuk keluar, saya merancang untuk berperanan seperti Syed Qutub, seorang ahli gerakan Islam di Mesir yang berdekam di dalam penjara. Dia berjaya menulis sebuah tafsir Fi Zilail Quran di dalam penjara tersebut.

Jadi, sekiranya di sekolah pedalaman tersebut saya merancang untuk menulis buku-buku dakwah dan menyiapkan silibus-silibus usrah yang boleh digunakan oleh masyarakat. Kemudian, duit elaun pedalaman yang banyak itu saya akan gunakan untuk infak pada perjuangan Islam.

Sebab itu, bila dihantar mengajar ke Sarawak saya terbang dengan hati yang teruja untuk menggegarkan bumi Sarawak dengan Islam! Bila sampai saya mendapat sekolah di kawasan bandar. Jadi, sekarang saya sedang menjalankan perancangan pertama. Alhamdulillah sekarang ini, saya dan rakan-rakan berjaya mengasakan Saratok Iqra Centre di pekan Saratok ini ynag berperanan untuk menjadi pusat mendidik masyarakat supaya celik Al-Quran. Selain itu kami menghidupkan surau dengan pelbagai aktiviti seperti usrah dan kuliah-kuliah.

Inilah booster yang timbul bila saya melihat hidup dengan cermin mata mukmin. Jika saya tidak melihat dengan cermin mata itu, sudah pasti saya akan mengalami kemurungan krn terpaksa mengajar di Sarawak.


Kisah 2
Selepas sebulan lebih, saya ditukarkan ke sekolah baru. Sekolah baru ini agak jauh dengan rumah saya. lebih kurang 45 km. Saya mengambil masa 40 minit untuk sampai sekolah dan 40 minit utk pulang. Kos minyak kereta juga agak banyak digunakan. Disamping itu, saya perlu bergerak awal ke sekolah.

Dalam keadaan ini, saya melihat ini mungkin satu peluang yang Allah bagi pada saya untuk menambah ilmu. Sepanjang dalam kereta selama 40 minit saya manfaatkan untuk mendengar kuliah mp3 dalam kereta. Sekali pergi, saya dapat mendengar satu sesi ceramah dan balik satu sesi ceramah.

Kemudian, saya melatih diri untuk bersedia awal supaya tidak lewat ke sekolah. Bila sesuatu perkara itu dilazimi sentiasa lama kelamaan ia akan menjadi sikap kita.

Kos minyak kereta yang agak tinggi tu, saya niatkan ia adalah sedekah saya untuk fisabilillah. Saya mengajar di sekolah adalah satu jihad untuk mendidik anak-anak orang Islam supaya berjaya. Suatu masa nanti bila saya sudah tua atau sudah bertemu Allah, mereka inilah yang akan akan menggalas beban dakwah dan perjuangan Islam. Maka jika ini diniatkan sudah pastilah semakin banyak duit minyak yang dikeluarkan semakin banyak pahala infaq yang dapat.

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya. Al-Baqarah : 261

Cara melihat semua ini terbentuk bila kita melihat kehidupan ini dengan cermin mata seorang mukmin. Kadang-kadang bila dengar ada orang mengeluh untuk perkara-perkara kecil, saya dapat bayangkan hidupnya benar-benar sempit.

Pembaca sekalian, semua apa yang saya tulis ini sebenarnya ia adalah berkaitan dengan hadis ini:

Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya." (Riwayat Muslim)

Justeru teman-teman, lihatlah dengan cermin mata seorang mukmin. Insyallah hidup kamu akan sentiasa gembira dan tenang. Bila adik saya meminta nasihat dari saya, saya hanya katakan padanya:


"sentiasa bersangka baik dengan setiap pemberian dari Allah"

Saturday, December 17, 2011

Sahabaku


Oh Tuhanku,

Apalah hebat sangat manusia yang Kau ciptakan ni.Kadangkala meruntun jiwaku. Terasa jauhnya aku kebelakang. Memang Kau hantarnya untuk mentarbiahku. Mentarbiah egoku, mentarbiah rasa hebatku.

Oh tuhanku,

Dia sentiasa merendah diri. Dengan kekurangan ilmunya, kekurangan amalnya. Namun tahap pengorbanannya hanya Kau yang tahu. Tahap ikhlasnya hanya Kau yang tahu. Aku dapat rasakan, namanya sentiasa berdendang dikalangan para makhluk di langit. Sedangkan aku, oh tuhan...Harap hipokrasi itu bukan pakaianku.

Tuhanku,

Hanya Kau sahaja yang tahu betapa aku rasa berdosa dan terhina.Saat dia meminta nasihat dan pandangan dari aku. Lalu mengucapkan terima kasih yang amat sangat apabila aku memenuhi permintaannya...Sedangkan aku yang perlukan nasihat dan pandangan darinya.


Tuhanku,

Tidak sanggup rasanya bila dimahsyar kelak, aku menanggung malu. Hingga mungkin kepala ini tidak mampu diangkat lantaran malu yang membungkus diri. Dengan amal yang nipis. Sedangkan dia, dalam tawaduk dan istiqamahnya itu terus berada di baris hadapan. Aku pula, entah dicelah mana dalam lautan manusia yang menggila.


Tuhanku,

Hari ini dia berjuang lagi. Tanpa penat lelah. Entah betapa banyak harta dan wang ringgit dia korbankan untuk perjuangan suci ini. Aku dapat rasakan. Air mata dan lelah dia kemam sendirian. Semuanya untuk dakwah ini. Tiada siapa yang tahu. Hanya Kau yang tahu.


Tuhanku,

Manusia jenis apalah yang kau kenalkan padaku ini. Sering mengetuk hatiku. Aku ini hambaMu, Engkau adalah Tuhanku. Harap Engkau tidak pernah kecewa dengan hamba seperti aku ini. Tarbiahlah aku oh tuhanku melalui sahabat-sahabat yang Kau kurniakan padaku. Tarbiahlah aku tuhan.


Tuhanku,


Tadi aku lihat dia terlelap keletihan ketika sang murabi memberi kalam kuliah. Tadi aku lihat dia terduduk seketika melepas lelah. Dalam tenaga dan kemampuan terbatasnya itu, jiwanya tetap besar dan langkahnya tetap teguh.

Katanya penuh bangga, hari esok milik Islam.

Insyallah sahabat.

Saturday, November 12, 2011

Baitul Muslim: "Enta bila lagi?"

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih dan Lagi Maha Penyayang.


Baitul Muslim?


Tiba-tiba saya menulis berkaitan baitul muslim. Buat masa ini, saya seakan sedang diasak dengan persoalan-persoalan baitul muslim. Persoalan tersebut datang dari pelbagai arah pelbagai orang. Ini kerana pada usia saya kini, memang sudah biasanya masyarakat sudah mula berfikir berkaitan baitul muslim. Maka, saya rasa saya perlu menulis sedikit sebanyak berkaitan perkara tersebut.

Di kampus, seorang sahabat baik saya Zhafran baru mendirikan rumah tangga. Dia menikah pada raya kedua yang lalu. Syukur segalanya berjalan lancar. Atas dasar ukhuwaah , saya cuba sedaya upaya untuk hadir ke majlis tersebut. Saya mengambil tiket bas dari Perak ke Kelantan dan Alhamdulillah sampai subuh hari akad nikah.

Bergambar bersama Zhafran sebelum bertolak ke rumah pengantin perempuan. Kalau di kampus, pensyarah dan staf selalu tertukar antara saya dan dia. Memang selalu pensyarah tersilap panggil saya dengan nama Zhafran. Ketika majlis akad nikah tu pun ada seorang ahli keluarga pengantin perempuan bertanya kepada saya, " ni adik beradik pengantin juga ko?".

Sepanjang majlis tersebut, saya melihat betapa gembiranya sahabat saya tersebut setelah selesai angkat nikah. Waktu yang paling mencabar adalah ketika seseorang itu ingin melafazkan akad nikah di hadapan kadi. Semasa sahabat saya angkat nikah, saya berada di tepinya bersama adik beradiknya yang lain. Entah kenapa, masa saya tengok sahabat saya angkat nikah, dada saya berombak, berdebar. Sungguh suspen.

"Patutlah ramai pengantin lelaki tergagap-gagap angkat nikah, aku yang tengok ni pun dah berdebar" bisik saya dalam hati sambil berdoa supaya Allah permudahkan sahabat saya itu.

Saya pun tidak pasti kenapa saya yang berdebar tapi hakikatnya pelbagai perasaan datang bila saya lihat sahabat saya berada di hadapan kadi tersebut. Risau, resah, takut semua hadir bercampur baur dalam hati. Memang perkahwinan ni bukan perkara yang boleh buat main.

Selepas tamat majlis nikah, sahabat saya mengimamkan solat sunat. Makmumnya adalah seorang wanita yang telah menjadi isterinya yang sah.

" Aku tak percaya lagi...aku tak percaya ni...hahaha" seloroh sahabat saya selepas selesai majlis akad nikahnya. Tangannya sejuk seperti mayat. Saya dan rakan-rakan lain tertawa.

Selepas majlis akad nikah selesai, saya bersama rombongan pengantin lelaki pergi ke rumah pengantin perempuan. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.


Balik Kampus

Ramai sahabat-sahabat, adik-adik usrah dan pensyarah-pensyarah yang mengucapkan tahniah kepada sahabat saya tersebut. Memang seronok.

Cuma.......

Apabila setiap kali orang mengucapkan tahniah pada sahabat saya tersebut, soalan kedua yang dia akan tanya ialah:

" Abg ehsan bila pula?"

" Zhafran dah, enta bila pula? "

" Enta bila pula sheikh?"

Aduh...aku terpana bila ditanya soalan ini hingga kadang-kadang bila ada orang ucapkan tahniah pada sahabat saya itu, saya cepat-cepat menjauhkan diri. Takut kena tanya.

Pernah sekali saya pergi ke koperasi, terserempak dengan pensyarah, Ust Asad.

" Dengar kata Zhafran dah berkahwin?" Ust bertanya.

" Ya ust, Alhamdulillah. Raya kedua baru ni" saya menjawab.

" Ehsan pun tak lama lagi dah kan?" 'soalan pakej' yang saya agak akan keluar.

" Err..insyallah ust. Doa-doakan ana ust" saya menjawab dengan ayat 'play safe'.

Pernah juga, dalam satu majlis bacaan yasin di pusat Islam. Seorang adik usrah mengetuai majlis tersebut mengumumkan menggunakan microfon:

" Tahniah kepada abang Zhafran yang baru kahwin. Cuma abang Ehsan ja belum lagi....bla bla..."

panjang lagi sebenarnya dia hurai. Rasa macam tak sanggup nak tulis di sini.

Kadang-kadang jadi pening juga nak menjawab bila semua orang ucapakan tahniah pada Zhafran atas perkahwinannya, kemudian orang akan bertanya pada saya pula. Termasuklah dalam Facebook. Seolahnya, jika Zhafran berkahwin maka saya pula akan menyusul selepas itu.

Jadi, untuk setiap pertanyaan tersebut, saya dah ready dengan jawapan yang standard. Biasanya saya akan menjawab:

" Insyallah, doa-doakan"

sambil tersenyum sambil buat muka macam orang yang tak bersalah. Jawapan 'play safe'.

Bagi saya persoalan perkahwinan atau baitul muslim sangat besar. Ia merupakan maratib amal yang kedua selepas pembentukan fardil muslim. Saya memahami perkara ini sejak terlibat dengan gerakan dakwah semasa di sekolah menengah dulu lagi.

Saya faham bahawa, baitul muslim amat peting bagi kehidupan daie. Sebab itulah sejak dari sekolah menengah lagi saya selalu mengamalkan doa ini:


Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami yang sejuk mata memandang dan jadikanlah kami Imam ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa- Al-Furqan : 74

Doa ini saya bukan baca setakat untuk dapatkan isteri atau anak-anak yang soleh sahaja. tetapi doa diniatkan juga kepada ibu bapa dan adik-adik saya supaya mereka termasuk dalam golongan yang sejuk mata mandang dan berjuang untuk Islam.

Pembinaan baitul muslim perlukan persediaan. Tambah-tambah bagi yang lelaki. Persedian untuk menjadi suami memerlukan pelbagai persedian baik dari segi material mahupun peribadi. Suami adalah ketua keluarga. Dia perlu menjadi contoh tauladan yang baik pada isteri dan anak-anaknya dalam semua aspek. Contoh dari sudut akhlak, ibadah, pengurusan diri, ilmu dan lain-lain.

Pada pandangan saya, peranan seorang ketua keluarga bukan sekadar memberikan nafkah zahir dan batin tetapi dia berperanan untuk memimpin isteri dan anak-anaknya supaya semuanya selamat di dunia dan akhirat. Dia perlu menjadi guru untuk isteri dan anak-anaknya. Dia harus mentarbiah mereka supaya akhirnya semua dapat bertemu di syurga Allah kelak dan selamat dari api neraka. Seperti kata Ust Hazrizal (saifulislam.com) : "Bercinta Sampai ke Syurga"

Memandangkan besarnya peranan seorang suami ini, saya menjadi susah hati dan berusaha untuk mempersiapkan diri bermula sekarang.

Mungkin kita tak tahu bila tarikhnya, siapa jodohnya dan di mana tempat kahwinnya tapi yang penting kita perlu sentiasa bersedia dan melengkapkan diri.

" Orang lelaki ni dia tak boleh berubah sebab malu pada isteri tapi dia kena berubah kerana Allah. Sebab dia 'bos' dalam keluarga. Dia boleh buat apa yang dia suka " emak saya memberi nasihat bila saya mengadu padanya berkaitan kesediaan saya untuk tidak berbaitul muslim lagi buat masa ni lantaran banyak akhlak-akhlak buruk dan kelemahan yang masih banyak dalam diri.

Apa yang mak cuba sampaikan adalah, perubahan yang dibuat sebab malu pada isteri takkan kekal lama. Sebab orang lelaki dia ketua keluarga. Ada egoya sendiri. Istilah mudahnya, 'Ikut suka dialah nak buat apa'.

Tambahan pula kos untuk berkahwin sekarang bukan main tinggi lagi. Kata orang 'tak cukup 10ribu jangan mimpi nak kahwin'. Kata mak: "you are not born with silver spoon". Bila mak cakap macam tu, saya fahamlah apa yang dia nak cuba sampaikan.

Buat masa ni, saya merasakan pada usia yang sangat muda ni banyak perkara yang perlu di teroka dan dipelajari. Saya sudah menyusun perancangan hidup 5 tahun secara explicit dan 10 tahun secara umum. Hidup kena bercita-cita besar untuk umat. Saya selalu bercerita pada mak perancangan-perancangan hidup saya selepas ni.

" Ehsan ni bercita-cita besar. Kena cari isteri yang macam 'Siti Khatijah' " kata emak bergurau.

Bagi sahabat saya, jodol Zhafran mungkin awal. Itu takdir terbaik yang Allah tetapkan untuk dia. Bagitu juga naqib usrah kami, Akh Hafez Sabri yang baru sahaja mendirikan baitul muslim lebih kurang sebulan lebih awal sebelum Zhafran.

Beliau sering berkongsi pengalaman kehidupannya selepas berbaitul muslim. Bila dengar, saya simpan, ambil pengajaran, buat bekal satu masa nanti. Banyak pandangan-pandangan berkaitan baitul muslim yang dia beri pada saya. Memang bermanfaat.

Dalam kesibukan naqib saya di medan amal Islami itu, saya harap dia dapat terus membantu untuk urusan baitul muslim saya. Amin.

Kenangan bersama naqib tersayang, Akh Hafez Sabri di Masjid Shah Alam semasa berjaulah ke Shah Alam untuk urusan dakwah kami


p/s: saya harap post kali ini dapat sikit sebanyak menjawab pertanyaan sahabat-sahabat yang tak pernah jemu-jemu bertanya " Zhafran dah kawen, enta bila lagi?" ('',)

Friday, May 27, 2011

Mari Menjadi Penyokong dan Pendokong





Dengan Allah yang Hakeem.



Assalamualaikum.

Apa khbar semua? semoga sentiasa dalam rahmat Allah dan Limpahan kasih sayangnya. Penulisan kali ini mungkin agak berat. Tetapi saya permudahkan dalam bentuk penceritaan pengalaman. Supaya anda dan 'orang-orang' tertentu dapat dengan mudah. ehem2x...

Bagaimana nak mula ya...

Begini, sejak kebelakangan ini, ada adik-adik junior di kampus bertanya kepada saya berkaitan satu soalan. Soalan yang saya pun tidak tahu bagaimana mereka boleh tahu. Pelik juga. Manakan tidak pelik, tiba-tiba keluar soalan tersebut. Walaupun pelik tapi rasional.

Pernah satu ketika, adik usrah saya Syafiq yang sedang berlajar di Universiti Warwick, UK pun selalu bertanya persoalan ini. Dia kerap menelefon saya untuk meminta pandangan. Entahlah berapa banyak kredit yang dia terpaksa guna untuk setiap kali panggilan.

Bahkan seketika tadi pun ada adik-adik lagi yang bertanya.

Saya termenung seketika.

Rupanya ramai yang berminat sangat berkaitan perkara ini. Mungkin banyak sangat persoalan tidak terjawab yang bermain di dalam kepala. Seperti yang pernah saya alami satu ketika dulu. Saya seperti orang bingung dalam mencari jawapan untuk persoalan-persoalan tersebut. Ramai orang saya rujuk. Telefon sana telefon sini. Maka apa yang adik-adik junior saya alami sekarang ini, saya dapat merasakannya.

Oleh itu, saya buat keputusan untuk menulisnya di dalam blog. Mudah-mudahan ada pencerahan yang bermanfaat untuk semua.

*****


" Akh Esan, betul ke dulu akh pernah join ISMA(Ikatan Muslimin Malaysia) dulu? " tanya seorang adik. Direct. Padat. Padu. Tiada muqadimah.


" Eh, tahu mana? " tanya saya kepelikkan sambil menjaga ke-macho-an yang berbaki pada wajah. Riak wajah terkejut cuba disorok.

" Ada ‘XYZ’ yang beritahu, " adik tersebut menjawab. XYZ itu merupakan salah seorang penyokong dan pendokong ISMA hingga kini. Kebanyakkan adik beradiknya merupakan orang-orang hebat ISMA negeri Perak. Saya pun tidak pasti apa tujuan XYZ beritahu kepada adik-adik bahawa saya pernah ikuti program-program ISMA.

Saya mengangguk tanda membenarkan persoalan tersebut. Saya join program-program ISMA ketika itu dengan mengenali NGO tersebut masih dengan nama Ikatan Siswazah Muslim Malaysia lagi. Kini namanya adalah Ikatan Muslimin Malaysia. Walaupun berubah akronim ‘ISMA’ masih dikekalkan.

Bukan setakat itu sahaja, saya juga pernah sertai program-program PEMBINA (Persatuan Belia Islam Nasional). PEMBINA adalah salah satu NGO yang mempunyai kerjasama dengan ISMA.

Bahkan pernah satu ketika, saya dijemput oleh naqib usrah saya untuk sertai program PEMBINA di shah Alam. Beliaulah yang membawa saya dengan keretanya hingga ke Shah Alam. Sebelum pergi, saya pun tidak jelas bentuk program tersebut. Saya hanya diminta pergi. Sebagai seorang yang sangat meminati program-program Ilmu, saya pergi tanpa banyak soal. Setibanya saya disana, rupa-rupanya ia adalah program PEMBINA peringkat pusat. Setiap negeri menghantar beberapa orang perwakilan yang terpilih sahaja. Yang menariknya, saya yang kerdil ini adalah salah seorang dari perwakilan PEMBINA Perak! Wah!


" kenapa sekarang dah tak join?" adik tersebut sambung bertanya.

Saya menjelaskan kepadanya saya sudah tidak join program-program ISMA kerana terlalu banyak komitmen. Banyak perkara yang perlu difokuskan. Saya semakin kurang mengikuti program-program ISMA ketika memegang jawatan sebagai Naib Yang Dipertua JPP. Diamanahkan sebagai NYDP memerlukan komitmen yang tinggi. Tambahan pula ketika itu, pernah satu ketika sebagian besar dari kepimpinan JPP sedang berpraktikum termasuk YDP. Maka saya dan rakan-rakan JPP yang lainlah terpaksa backup.

Kemudiannya, saya memegang diamanahkan sebagai Timb II Exco Biro Agama dan Kerohanian JPP. Jadi, saya perlu utamakan program-program kampus. Maka, kekangan-kekangan ini antara factor membuatkan saya semakin tidak sempat sertai program-program ISMA. Namun saya sentiasa mengikuti perkembagan ISMA melalui laman webnya.

Mengapa soalan ini ditanya?

Persoalan ini adalah satu rentetan kepada satu topic yang sangat besar. Jika di dalam buku Dr Fathi Yakan Maza Yakni Intima’I fil Islam(Mengapa Saya Menganut Islam) topic ini ditulis dalam bahagian kedua buku tersebut. Ia adalah berkaitan Jemaah Islam. Kewajipan untuk menyertai Jemaah Islam turut diulas.

Dalam sebuah hadis sahih riwayat Muslim yang panjang (hadis ke-3434) ada disebut berkaitan kewajipan bersama Jemaah Islam ini.

Huzaifah bin Al-Yaman r.a katanya:
Manusia sering bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat kerana aku takut ia akan menimpa diriku, lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan (kebenaran), adakah selepas kebenaran ini akan berlaku pula kejahatan? Rasulullah menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah akan berlaku pula kebaikan selepas kejahatan itu? Rasulullah menjawab: Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan. Aku bertanya apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dan perselisihan itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Iaitu satu kaum yang tidak beramal dengan sunnahku dan mengikuti selain dari jalanku, di antara mereka itu ada yang kamu kenal dan ada yang kamu tidak mengenalinya. Aku bertanya lagi: Adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu? Rasulullah menjawab: Ya, ketika itu ada orang-orang yang menyeru atau mengajak manusia ke Neraka Jahanam, sesiapa yang menyahut ajakan mereka, maka orang itu akan dicampakkan ke dalam Neraka itu. Aku berkata lagi: Wahai Rasulullah! Sifatkan mereka kepada kami. Rasulullah menjawab: Baiklah, mereka adalah sebangsa dengan kita dan berbahasa seperti bahasa kita. Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku masih hidup lagi ketika itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: KAMU HENDAKLAH BERSAMA DENGAN JEMAAH ISLAM DAN PEMIMPIN MEREKA. Aku bertanya lagi: Bagaimana sekiranya ketika itu umat Islam tidak mempunyai jemaah (kesatuan) juga tidak ada pemimpin? Rasulullah menjawab lagi dengan bersabda: Kamu hendaklah memencilkan diri kamu dari kumpulan mereka walaupun kamu terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggallah kamu di sana sehingga kamu mati dalam keadaan yang demikian.

Apakah Jemaah Islam?

Secara umumnya, Jemaah Islam merupakan satu institusi yang bergerak memperjuangkan Islam dari sebarang ancaman musuh-musuh Islam.Ia diperlukan untuk membina individu, keluarga, masyarakat, pemerintahan dan pelaksanaan undang-undang Islam.

Selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyah, di Turki maka umat Islam ibarat anak ayam yang kehilangan ibu. Kebingungan. Kelam-kabut kerana tiada pemimpin yang menjadi pusat kepada pemasalahan dan urusan umat Islam di seluruh wilayah Islam. Pendek kata, kekuatan umat Islam menjadi lemah dan tiada kesatuan.

Pada saat kejatuhan khilafah itu jugalah, tanah umat Islam Palestin jatuh ke tangan zionis Israel. Kesannya tertubuhnya Negara haram Israel. Mereka sebelum ini, melalui wakilnya Theodel Hertzel pernah berjumpa dengan khalifah Sultan Abdul Hamid II ingin membeli tanah umat Islam di Palestin. Namun, disebabkan kekuatan dan kuasa yang ada pada Sultan Abdul Hamid II maka baginda tidak membenarkan sama sekali.

Melihat keadaan umat Islam yang semakin lemah akibat tiadanya khilafah Islamiah, maka muncul ulama-ulama gerakan Islam yang mengumpul umat Islam yang sedar dalam satu Jemaah Islam. Jemaah islam yang dibentuk ini disusun dengan tanzim(organisasi) yang munazzomah(sistematik), sistem tarbiah yang berkesan untuk ahli anggotanya seterusnya menyusun strategi-strategi gerak kerja hingga menjadi sebuah gerakan Islam yang kuat!

Pembaca-pembaca budiman sekalian,

Ramai tokoh-tokoh gerakan Islam dunia. Antaranya, jika di Pakistan ialah Abu Ala Al-Maududi. Beliau memipin Jemaah Islam yang dinamakan sebagai Jami’at Islami. Ditubuh pada tahun 1940.

Di Mesir, As-syahid Hassan Al-Banna beliau menubuhkan Ikhwan Muslimin pada tahun 1928. Ikhwan Muslimin telah diharamkan oleh pemerintah. Namun, kuasa Allah mengatasi segalanya. Beberapa hari lepas (Mei 2011) Ikhwan Berjaya menubuhkan parti politiknya setelah jatuhnya rejim Hosni Mubarak.

Di Indonesia, Muhammad Nasir dengan Jemaah islam yang diberi nama Majlis Syura Muslimin (Masyumi).

Siapakah antara tokoh yang memimpin Jemaah Islam di tanah Melayu?

Untuk menerangkan berkaitan sejarah kewujudan Jemaah Islam di tanah Melayu, saya mungkin menulis agak panjang sedikit kerana itulah focus penulisan kali ini.

Antaranya ialah Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan Dr Burhanuddin Al-Helmi yang bekerja keras menubuhkan Jemaah Islam yang diberi nama Hizbul Muslimin (HM) pada tahun 1948. Hizbul adalah bahasa Arab yang bermaksud parti.

Pihak British terhidu dengan gerakan Jemaah Islam HM ini, maka mereka cuba untuk mematikan gerakan ini. Akhirnya, mereka mengambil kesempatan untuk mengharamkan HM dengan menguatkuasakan Ordinan Darurat pada Jun 1948 ketika kominis menyerang. Ulama-ulama ditangkap. Meskipun HM diharamkan, namun semangat dan gerak kerja Jemaah Islam ini tidak tidak pernah padam. Mereka terus bergerak meskipun dalam suasana yang menggigit.

Ulama-ulama yang ada di tanah Melayu ketika itu terus berusaha menggerakkan Jemaah Islam.Pada 23 Ogos 1951 mereka bersidang di Kuala Lumpur dan bersetuju menubuhkan persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya.

Pada satu persidangan ulamak Malaya di bagan Tuan Kecil (Butterworth) nama persatuan ini diubah dengan nama Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Akronim bagi nama PAS diambil dari ejaan jawi Pa, Alif dan Sin.

Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema ”Ulamak ke Jalan Allah” bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Alah.

Strategi bijak para ulama ketika itu dengan mendaftarkan Jemaah Islam PAS atas Parti Politik membolehkan mereka dapat memperjuangkan seluruh ajaran Islam baik ekonomi, politik, pendidikan dan lain-lain. Sekiranya mereka bergerak atas nama persatuan, mungkin gerak kerja memperjuangkan Islam akan terbatas. Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya.

Selain, Jemaah Islam PAS, terdapat juga Jemaah Islam lain yang wujud di tanah bertuah ini. Antaranya;

ABIM, ISMA, JIM (sekarang dikenali sebagai IKRAM),Tabligh, Hizbut Tahrir dan lain-lain lagi. Semuanya bermatlamatkan untuk memperjuangkan Islam di dunia ini. Kebanyakkannya mendaftarkan Jemaah Islam mereka atas nama Non-Government Organization (NGO).

Setiap Jemaah Islam yang ada ini juga menubuhkan jaringan-jaringan NGO mereka yang lain bagi melancarkan dan menyebar luaskan usaha dakwah mereka. Antara salah satu peranan jaringan tersebut bertujuan menyediakan satu platform untuk menarik golongan mahasiswa di university bersama-sama mereka.

Antaranya:

1) ABIM dengan PKPIM

2) ISMA dengan PEMBINA

3) JIM dengan KARISMA

Dan lain-lain.


-(sila google laman web setiap nama-nama di atas untuk maklumat lanjut)


Bagi Jemaah Islam PAS, mereka mungkin tidak dapat menzahirkan secara terang-terangan platform untuk para mahasiswa bersama mereka. Ini kerana pihak HEP university menguatkuasakan AUKU bagi menghalang mahasiswa terlibat dengan parti politik. Jadi sebagai jemaah Islam yang menampakkan identity parti politik,PAS menggunakan pendekatan lain berbanding Jemaah Islam yang ada untuk menarik para mahasiswa untuk bersama mereka.

Bagi saya sertailah mana-mana program yang dianjurkan oleh mana-mana Jemaah Islam ini. Yang baik kita sokong. Asalkan bermanfaat untuk dunia dan akhirat kita. saya sendiri, sertai pelbagai program-program yang dianjurkan oleh jemaah-jemaah Islam yang ada ini.

Namun, seperti mana tuntutan kewajipan berjemaah dalam hadis yang disebut sebelum ini, maka kita perlu memilih mana-mana Jemaah Islam yang ada untuk kita dokong. Pada pandangan saya jika sekadar sertai dan ikuti mana-mana program Jemaah islam itu, kita adalah penyokong. Sekiranya kita menjadi ahli dan memberikan komitmen kepada Jemaah Islam itu, maka kita adalah pendokong.

Untuk menjadi pendokong sesuatu Jemaah Islam itu, kita tidak boleh semberono atau kerana terpengaruh dengan orang lain. Tapi kita mestilah atas dasar kefahaman. Perlu benar-benar memahami ciri-ciri Jemaah Islam dan mengenali benar-benar Jemaah Islam tersebut melalui sejarah kewujudannnya.

Untuk berbincang perkara ini, saya tidak mampu untuk menulisnya. Mungkin pada masa lain. Saya syorkan anda untuk:

1) teruskan pembacaan buku. Antaranya bacalah buku Mengapa saya Menganut Islam yag ditulis oleh Dr Fathi Yakan (seorang tokoh dari Ikhwan Muslimin). Pada bahagian kedua buku tersebut ada disebut tentang ciri-ciri Jemaah Islam. Boleh baca juga buku dibawah.


2)Banyakkan perbincangan serta pertanyaan kepada para ustaz,rakan-rakan serta naqib usrah masing-masing. Berbincang dengan sihat dan dengan fakta yang jelas.

Nasihat saya pada adik-adik yang sering bertanya:

Jadilah penyokong bagi usaha-usaha dakwah setiap Jemaah Islam yang ada. Kemudian, untuk menjadi pendokong, fikirlah semasak-masaknya. Kemudian, buat keputusan melalui istikarah yang panjang. Insyallah anda akan temui jawapannya.

Wahai, tuhan, sesungguhnya aku telah menyampaikan, maka saksikanlah.

p/s: Sebarang cadangan serta teguran dari penulisan ini saya sangat alu-alukan.