Followers

Sunday, April 1, 2012

Cermin Mata Mukmin


Dengan Nama Allah yang Maha Besar

Alhamdulillah pada ketika ini Allah mengizinkan saya meneruskan coretan di blog ini. Memang sudah lama tidak menulis sesuatu di sini kerana saya banyak menggunakan facebook sebagai medium saya menyampaikan mesej. Sebab itulah saya menganggap facebook saya sebagai 'My second Blog'

Sebenarnya apa yang saya tulis di facebook adalah sesuatu yang bersifat umum dan saya menulisnya dengan lebih berhati-hati.Tetapi di dalam blog ini saya lebih bersifat khusus. Sebab itulah saya seboleh-boleh tidak mahu umum ramai yang tahu kewujudan blog ini.Terutamanya dikalangan guru-guru atau rakan-rakan satu sekolah. Bagi saya, blog ini jika boleh hanya dibaca oleh kenalan-kenalan saya sahaja. Sekadar berkongsi cerita dan rasa.

Untuk kali ini saya terasa sedikit kekuatan untuk menulis berkaitan 'cermin mata mukmin'.
Ia adalah berkenan bagaimana kita melihat perkara yang berlaku dalam hidup kita. Jika kita melihat hidup ini dengan menggunakan cermin mata seorang mukmin maka tindakan yang kita buat dalam hidup kita juga akan seperti seorang mukmin. Jika kita melihat hidup ini dengan cermin mata seorang yahudi, maka hidup kita akan seperti seorang yahudi dan begitulah selanjutnya.

Untuk permulaan ini, saya ingin berkongsi kisah yang saya pernah dengar dari ceramah yang disampaikan oleh seorang ustaz:
Ada dua orang perkerja buruh binaan.Pekerja A dan B. Mereka sedang menyiapkan projek perumahan. Pekerja A bekerja dengan hati yang berat. Mukanya bekerut menahan letih dan bosan bekerja sebagai seorang buruh. Mulutnya berkumat-kamit mengeluh dengan kesempitan hidup. Katanya, gaji rendahlah, penatlah dan lain-lain lagi.

Pekerja B lain pula ceritanya. Dia bekerja dengan hati yang berbunga. Senyumnya sampai ke telinga. Sambil-sambil berkerja menyusun bata dan menyapu simen pada dinding dia menyanyi-nyanyi kegembiraan seorang diri. Kepanasan mentari yang menggigit tidak membuatnya mengeluh.

Keadaan yang ditunjukkan oleh pekerja B jarang berlaku. Rata-rata pekerja buruh binaan lain sifatnya seperti pekerja A. Maka pekerja B ditanya apa yang membuatnya begitu gembira sepanjang melakukan kerja-kerja binaan.

Katanya," semasa saya sedang membuat rumah saya membayangkan rumah yang akan siap nanti. Saya membayangkan keluarga yang akan tinggal di dalam rumah ini. Mereka tentu gembira. Semasa saya sedang membina bahagian dapur, saya membayangkan tempat inilah yang akan menjadi tempat ahli keluarga pemilik rumah ini duduk bersama-sama makan sekeluarga. Sudah pasti anak-anaknya akan gembira"

Pembaca sekalian, ciri-ciri yang ada pada pekerja A. Dia melihat sesuatu dalam hidupnya dengan menggunakan cermin mata seorang mukmin. Seorang mukmin sifatnya suka membahagiakan orang lain kerana mereka menjadi hablumminannas (hubungan sesama makhluk). Jadi bila dia membina rumah tersebut, maka diniatkan dalam hati aku buat ini supaya memudahkan urusan orang lain.


Jadi bagaimana kita?


Saya ingin berkongsi pengalaman hidup saya. Mudah-mudahan jika baik boleh dijadikan saham saya untuk diletakkan dalam beg bekalan saya menuju ke akhirat kelak. Harap-harapnya, jika ada yang amal saya boleh dapat pahala.

Kisah 1
Saya dipostingkan ntuk mengajar di Sarawak. Semasa dapat tahu mengajar di Sarawak berasa gembira. Padahal ada sebagian rakan-rakan saya mengeluh dan kesedihan kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga. Meskipun ketika saya belum tahu bagaimana keadaaan sekolah itu, saya tetap gembira. Dalam pemikiran saya terbentuk dua perancangan. Jika saya dihantar ke sekolah kawasan bandar, maka itu peluang saya untuk menggerakkan dakwah di sana. Mungkin boleh menubuhkan usrah di kawasan tersebut.

Perancangan yang kedua pula, sekiranya saya dihantar ke sekolah pendalaman yang membuatkan saya sukar untuk keluar, saya merancang untuk berperanan seperti Syed Qutub, seorang ahli gerakan Islam di Mesir yang berdekam di dalam penjara. Dia berjaya menulis sebuah tafsir Fi Zilail Quran di dalam penjara tersebut.

Jadi, sekiranya di sekolah pedalaman tersebut saya merancang untuk menulis buku-buku dakwah dan menyiapkan silibus-silibus usrah yang boleh digunakan oleh masyarakat. Kemudian, duit elaun pedalaman yang banyak itu saya akan gunakan untuk infak pada perjuangan Islam.

Sebab itu, bila dihantar mengajar ke Sarawak saya terbang dengan hati yang teruja untuk menggegarkan bumi Sarawak dengan Islam! Bila sampai saya mendapat sekolah di kawasan bandar. Jadi, sekarang saya sedang menjalankan perancangan pertama. Alhamdulillah sekarang ini, saya dan rakan-rakan berjaya mengasakan Saratok Iqra Centre di pekan Saratok ini ynag berperanan untuk menjadi pusat mendidik masyarakat supaya celik Al-Quran. Selain itu kami menghidupkan surau dengan pelbagai aktiviti seperti usrah dan kuliah-kuliah.

Inilah booster yang timbul bila saya melihat hidup dengan cermin mata mukmin. Jika saya tidak melihat dengan cermin mata itu, sudah pasti saya akan mengalami kemurungan krn terpaksa mengajar di Sarawak.


Kisah 2
Selepas sebulan lebih, saya ditukarkan ke sekolah baru. Sekolah baru ini agak jauh dengan rumah saya. lebih kurang 45 km. Saya mengambil masa 40 minit untuk sampai sekolah dan 40 minit utk pulang. Kos minyak kereta juga agak banyak digunakan. Disamping itu, saya perlu bergerak awal ke sekolah.

Dalam keadaan ini, saya melihat ini mungkin satu peluang yang Allah bagi pada saya untuk menambah ilmu. Sepanjang dalam kereta selama 40 minit saya manfaatkan untuk mendengar kuliah mp3 dalam kereta. Sekali pergi, saya dapat mendengar satu sesi ceramah dan balik satu sesi ceramah.

Kemudian, saya melatih diri untuk bersedia awal supaya tidak lewat ke sekolah. Bila sesuatu perkara itu dilazimi sentiasa lama kelamaan ia akan menjadi sikap kita.

Kos minyak kereta yang agak tinggi tu, saya niatkan ia adalah sedekah saya untuk fisabilillah. Saya mengajar di sekolah adalah satu jihad untuk mendidik anak-anak orang Islam supaya berjaya. Suatu masa nanti bila saya sudah tua atau sudah bertemu Allah, mereka inilah yang akan akan menggalas beban dakwah dan perjuangan Islam. Maka jika ini diniatkan sudah pastilah semakin banyak duit minyak yang dikeluarkan semakin banyak pahala infaq yang dapat.

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya. Al-Baqarah : 261

Cara melihat semua ini terbentuk bila kita melihat kehidupan ini dengan cermin mata seorang mukmin. Kadang-kadang bila dengar ada orang mengeluh untuk perkara-perkara kecil, saya dapat bayangkan hidupnya benar-benar sempit.

Pembaca sekalian, semua apa yang saya tulis ini sebenarnya ia adalah berkaitan dengan hadis ini:

Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya." (Riwayat Muslim)

Justeru teman-teman, lihatlah dengan cermin mata seorang mukmin. Insyallah hidup kamu akan sentiasa gembira dan tenang. Bila adik saya meminta nasihat dari saya, saya hanya katakan padanya:


"sentiasa bersangka baik dengan setiap pemberian dari Allah"

1 comment:

nir said...

Syukran atas perkongsian.Sangat menarik dan bermanfaat.